Diana Danielle terkesan lihat mangsa banjir



KEPERITAN dan kemusnahan yang dihadapi oleh mangsa banjir ketika ini turut memberi kesan yang amat mendalam kepada pelakon wanita, Diana Danielle. ‎Apatah lagi, apabila membayangkan kehidupan mereka yang penuh cabaran selepas pasca banjir.

Ada yang kehilangan tempat tinggal, harta benda mahupun nyawa, semuanya itu membuatkan hatinya begitu tersentuh.

"Apabila melihat anak kecil, saya dapat merasakan apa yang mereka alami. Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya mahu anak saya tidur dalam keadaan selesa, bersih dan tenang.

"Kita sebagai orang tua, faham. Tetapi, budak-budak ini akan tertanya-tanya mengapa jadi begini. (Yang sedang berpantang pula) memang sangat terkesan dan saya pernah lalui masa itu dan tahu bagaimana rasanya dengan badan lemah lagi," katanya, yang berdarah kacukan Melayu-Amerika, kepada Bernama. ‎

Terpanggil untuk turut serta menghulurkan bantuan, isteri kepada pelakon, Farid Kamil, ini terus menyuarakan persetujuan sebaik sahaja diajak menjayakan #DermaKilat2'.




MASA KRITIKAL

Berbentuk persembahan amal, #DermaKilat2 telah berlangsung Sabtu lepas (17 Januari), bertujuan mengumpul dana bagi membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir.

Dianjurkan oleh Penerbitan Pancasona, bayaran dikenakan hanyalah RM25 dan ia telah dijayakan oleh beberapa artis dan kumpulan muzik tempatan. Antaranya, Datuk Ramli Sarip, Salammusik, Altimet, Aizat Amdan, Amir Jahari, Monoloque, Atilia Haron dan ramai lagi.

Untuk program ini, Diana, 23, yang merupakan pelakon filem Magika telah menyanyikan dua buah lagu berjudul Muzik dan Pujaan Hatiku.

"Ada orang kata, masalah sudah selesai selepas banjir mulai surut dan tidak perlu risau lagi. Tetapi, pasca banjir adalah masa yang amat kritikal. Kita kena fokus apa yang boleh bantu mereka.

"Ia, kena berterusan. Kalau kita berhentikan bantuan setakat waktu banjir sahaja, ini akan membuatkan mereka terkapai-kapai. Mangsa memerlukan sokongan moral dan dana untuk bangkit semula," katanya ketika ditemui pada persembahan amal itu.


APALAH SANGAT

Tinggal jauh dari kawasan yang terjejas teruk akibat bencana banjir dan tidak ada saudara mara yang menjadi mangsa, bukanlah alasan untuk tidak mengambil kisah. Malahan, penyanyi Jazz tempatan, Raja Putri Atilia Raja Haron merasakan beliau perlu melakukan sesuatu atas dasar keprihatinan manusia.

Biarpun sedikit, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka. Sudah menganggap mangsa-mangsa banjir itu sebagai 'keluarga', kata anak kepada penyanyi Salamiah Hassan ini, sumbangan yang diberikan melalui persembahan amal itu tidaklah seberapa berbanding penderitaan ditanggung mereka.

"Beberapa hari lepas, seorang pemuda yang datang ke rumah saya untuk membuat penyelenggaran menceritakan rumah keluarganya sudah hanyut akibat banjir. Itu membuatkan saya terfikir macam mana mereka hendak mulakan kehidupan.

"Saya rasa dengan datang ke sini menyumbangkan lagu, sedikit sebanyak telah membantu mereka. Itu lebih baik daripada saya duduk di rumah dan hanya menonton televisyen," katanya yang lebih dikenali sebagai Atilia.

Ceritanya lagi, bukan mudah untuk membersihkan kawasan rumah dan persekitaran daripada lumpur banjir terutamanya bagi warga tua yang tinggal keseorangan.


PERPADUAN

Tetapi, semangat perpaduan dan gotong-royong masyarakat membantu mangsa banjir menerusi aktiviti kesukarelawan, adalah sesuatu yang amat menarik dan adalah keunikan buat negara ini.

"Biarpun mangsa banjir adalah kebanyakan bangsa kita (Melayu), tetapi saya lihat semua orang membantu. It is a beautiful thing (Ia sesuatu yang indah) kerana dapat melihat kita bersatu tanpa adanya sempadan perkauman," katanya.

Menyanyikan dua buah lagu berjudul Gelombang dan Old Love, aktiviti kebajikan bukanlah perkara baharu buat penyanyi kecil molek ini. Aktif mengajar senaman yoga secara percuma, segala sumbangan kewangan yang diberikan oleh pelajarnya akan disalurkan terus kepada unit kanser kanak-kanak, Hospital Kuala Lumpur.

Manakala penyanyi yang terkenal dengan lagu Pergi, Aizat berasa amat berbesar hati diberi peluang untuk turut menjayakan program amal #DermaKilat2 ini.

"Ia seperti 'zakat bakat' kerana dengan kebolehan yang kita ada (bakat dalam nyanyian) digunakan dengan membantu mangsa-mangsa banjir," katanya yang juga melelongkan bajunya pada program tersebut.


PENGARUH BESAR

Konsert amal #DermaKilat2 ini adalah kesinambungan daripada program sama sebelum ini yang pernah dijalankan pada Disember 2013 bertujuan membantu mangsa banjir. Berkonsepkan berhibur sambil beramal, segala hasil kutipan tiket dan penjualan barangan peribadi artis akan disalurkan semuanya kepada mangsa banjir tanpa diambil satu sen pun oleh penggiat seni terlibat.

Menganggapnya sebagai 'zakat bakat' mahupun 'zakat kudrat', kata vokalis kumpulan Monoloque iaitu Khairil Ridzwan Annuar atau lebih dikenali sebagai Loque, beliau berasa terharu dengan sokongan daripada rakan artis yang menjayakannya.

"Tidak susah, kerana mereka terus bersetuju untuk usaha murni ini. Apa yang kita lakukan ini, bukanlah untuk populariti. Tetapi, ingin membantu golongan yang dilanda musibah.

"Ini menunjukkan golongan penggiat seni juga prihatin dan bukannya mata duitan sangat. Kita kena tengok tempat, kalau untuk kebaikan ia tidak ada masalah," katanya yang juga individu bertanggungjawab mencetuskan idea #DermaKilat.

Kira-kira RM11,000 berjaya dikumpulkan #DermaKilat2 dan memilih pertubuhan Mercy Malaysia sebagai saluran pengagihan bantuan mangsa banjir.


NILAI MURNI

Gerakan amal ini juga secara tidak langsung dapat menidakkan kata-kata sinis yang sering mengaitkan industri hiburan dengan perkara-perkara berbaur negatif. Dianggap mengkhayalkan, ramai yang masih mempunyai persepsi serong dengan penganjuran sesuatu konsert itu, walhal bukan semua persembahan hiburan itu tidak membawa ke arah kebaikan, kata Loque.

Contohnya, persembahan amal #DermaKilat yang bukan hanya menghiburkan tetapi tunjang utamanya adalah menarik perhatian masyarakat untuk turut menderma bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Masyarakat (segelintir) tidak perlu cepat sangat melatah dan memandang serong kepada konsert. Kalau kita pergi konsert derma kilat dan pandang negatif, ia tetap akan jadi negatif.

"Semuanya, terletak pada mentaliti dan bukan keadaan itu. Di Malaysia, artis selalu dipandang stereotaip, hanya boleh menyanyi (atau berlakon) dan menjalankan perniagaan sahaja. Walhal, artis juga bekerjaya dan berpendidikan," kata Loque.

Sesuai dengan pekerjaan mereka yang berseni, ujar Loque aktiviti derma yang dijalankan juga adalah antara cabang seni yang dilakukan dengan cara tersendiri dalam mempamerkan keprihatinan terhadap golongan dilanda musibah.



Previous Post Next Post