Fasha Sandha kini melalui fasa kehidupan yang sempurna.
Pelakon Fasha Sandha belum bersedia membenarkan anak-anaknnya iaitu Putra Rayfal Ramli yang berusia setahun dan Putri Raysha Jemaima, 2 bulan untuk terlibat sebagai model kanak-kanak dalam dunia periklanan.
Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 31, berkata, kedua-dua kanak-kanak itu masih kecil untuk terdedah dengan perkerjaan tersebut.
"Ada tawaran untuk iklan produk tapi saya terpaksa tolak kerana bagi saya mereka masih terlalu kecil lagi untuk terlibat dengan bidang tersebut.
"Buat masa ini biarlah mereka jadi duta produk kosmetik saya sahaja dahulu yang akan keluar tidak lama lagi," ujarnya kepada Artis Meletop.
Fasha berkata demikian ketika diminta mengulas tentang anak-anak selebriti yang sering mendapat perhatian dan tawaran iklan ketika masih bayi.
Bagaimanapun katanya, perkara itu terpulang kepada ibu-bapa bayi tersebut yang lebih mengetahui tentang anak mereka.
"Ia terpulang kepada individu itu untuk membenarkan anak mereka terlibat dengan kormersil atau tidak. Apa yang penting mereka lebih tahu tentang anak mereka," ujarnya.
Dalam pada itu Fasha berkata kehidupan keluarganya kini dirasakan lengkap dengan kehadiran bayi perempuan yang lahir pada 7 November lalu.
Dia juga sedang melalui fasa kehidupan yang indah dalam menguruskan rumah tangga.
"Alhamdulillah kehidupan saya kini lengkap dan sangat indah dengan kehadiran anak kedua ini.
"Lebih mengharukan anak pertama saya sudah pandai memanggil saya 'bu' (singkatan kepada ibu) beberapa hari lalu.
"Ketika itu perasaan saya sebagai ibu memang sukar digambarkan dan rasa sebak," ujarnya.
Jelasnya, biarpun anak sulung masih belum memahami tentang kehadiran adiknya, namun bagi Fasha, dia sentiasa memberi keutamaan kepada anak lelakinya itu agar tidak timbul perasaan terpinggir.
Katanya, Rayfal kadang-kala menunjukkan sikap cemburu terhadap adiknya apabila sering diberi perhatian.
"Sekarang dia masih belum paham lagi dan akan cungkil mata adik dia kerana dia sangkakan anak patung.
"Saya terpaksa beri keutamaan pada dia agar dia tidak rasa tersisih dan cemburu kepada adiknya," ujarnya.