Hanis Zalikha dan kekasihnya Hairul Azreen.
Kisah lamaran Hairul Azreen terhadap Hanis Zalikha yang dijadikan sebagai gimik serta kejutan semasa berlangsungnya kemuncak pertandingan Gegar Vaganza baru-baru ini, ternyata mendapat pelbagai reaksi ramai pihak.
Ia turut mengundang perhatian pakar agama yang menyifatkan cara itu bertentangan dengan nilai Islam serta budaya masyarakat Melayu, selain menjatuhkan maruah wanita yang dilamar itu jika perhubungan berkenaan terputus di tengah jalan.
Hanis Zalikha yang dihubungi BH Online sebentar tadi mengenai beliau mengikuti dan memahami apa saja yang diperkatakan mengenai kisah lamaran berkenaan, tetapi tidak mahu terlalu ambil pusing dan memanjangkan apa yang sudah berlalu.
"Bagi saya mahupun dia (Hairul), kami tak terjejas dengan apa saja skeptikal mahupun kata-kata orang. Cukup keluarga kami masing-masing faham. Malah ketika ia ditonton secara langsung, sanak saudara pun tumpang gembira.
"Gambaran itu sudah cukup untuk kami terus merencana masa depan bersama. Senang kami nak meneruskan proses seterusnya untuk mendirikan masjid. Insya-Allah jangkanya memang tahun ini juga kami akan berkahwin," katanya.
Hanis yang sebelum berlakon dan mengacara mula dikenali sebagai penulis blog, masih tidak dapat berkongsi tarikh mereka bakal disatukan. Baginya hal kahwin membabitkan persetujuan keluarga kedua-dua pihak.
"Saya masih sibuk di lokasi penggambaran drama Kutinggalkan Cinta Di Okinawa bergandingan dengan Sharnaaz Ahmad dan disebabkan itu perjumpaan membabitkan keluarga masih belum dapat diadakan," katanya si tinggi lampai berusia 25 tahun itu.
Menurut Hanis, beliau sebenarnya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab baru sebagai isteri orang.
Sejak 20 tahun lagi beliau sudah membayangkan dirinya sebagai isteri dan beliau sebenarnya tidak pernah langsung membayangkan konsep perkahwinan yang terlalu kebaratan.
"Cukup majlis nikah diadakan di rumah keluarga saya di Bukit Jelutong dan paling penting makanan yang dijamukan kepada tetamu kena sedap.
"Biar tetamu yang datang puas hati dan tersenyum. Lagipun saya ini memang jenis kaki makan. Jadi bab makanan itu sangat penting.
"Hanya majlis resepsi saja berkemungkinan besar diadakan di hotel. Saya juga akan pastikan tetamu akan dibekalkan balik dengan cenderahati di panggil Berkat yang cukup terkenal di kalangan orang Jawa. Ia berisi nasi dan lauk yang boleh dijadikan bekal buat tetamu untuk di bawa balik ke rumah. Tak lupa juga telur pindang yang popular di Johor.
"Ikutkan hati nak nikah pakai songket tapi jenis kain itu akan buat saya cepat berpeluh kalau majlis nikah dibuat di rumah. Tengoklah macam mana. Saya juga impikan bunga manggar diarak dari kaunter pengawal hingga ke rumah. Paluan kompang itu wajib dan mereka yang memalu kompang itu kena pakai baju Melayu bersampin lengkap bergaya," katanya.
Mengenai Hairul, Hanis menyifatkan kekasihnya yang dikenali bermula sebagai kawan sejak 2004 itu sebagai seorang yang tebal dengan sikap nakal kerana gemar mengusik tetapi penuh dengan kematangan.
"Entahlah cinta kami bukan cinta monyet, tapi saya selesa kelaskannya sebagai cinta belia remaja. Biarpun nampak dia sebagai seorang yang keanak-anakan tapi dalam banyak hal dia yang putuskan segala keputusan. Termasuklah hal nak kahwin ini.
"Sebelum nak lamar dan nak kahwini saya lagi, dia sudah berhasrat mahu stabilkan diri daripada sudut ekonomi.
"Dia ambil tawaran kerja bertali arus, buat pelaburan itu dan ini selain membuka studio penggambaran sendiri untuk disewa syarikat produksi," katanya yang membantu Hairul daripada sudut mereka cipta dan rundingan untuk projek studio penggambaran itu.