Michael Buble teruja bertemu peminat di Malaysia



BERITA baik buat penggemar muzik jazz, penyanyi terkenal dari Kanada, Michael Buble bakal kembali sekali lagi ke Malaysia untuk mengadakan konsert di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 27 Januari ini.

Berikutan kejayaan yang ditempa menerusi konsert yang terdahulu iaitu pada 2007 dan 2011, Buble akui tidak sabar untuk kembali beraksi menghiburkan peminat tegarnya di sini.




“Dua kali membuat persembahan di Malaysia banyak beri kenangan indah buat saya dan membuatkan saya ingin kembali.

“Sudah pasti peluang ini saya akan gunakan sebaik mungkin bagi memastikan persembahan kali ini mampu memberi kepuasan kepada peminat yang tidak jemu menyokong karier saya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persembahan ke tiganya, Buble bagaimanapun menjanjikan persembahan yang berlainan dari konsert sebelumnya.

“Saya akui kini saya bukan lagi penyanyi yang membuat persembahan tiga tahun lalu di mana saya terlalu mahukan sesuatu yang mampu memberikan pulangan yang hebat.

“Pengalaman banyak mengajar saya untuk menjadi seorang penyanyi yang lebih baik dan persembahan kali ini akan lebih menonjolkan siapa diri saya yang sebenarnya.

“Saya amat berharap, konsert kali ini bakal menjadi pembuka yang baik buat karier saya di 2015. Buat peminat, saya akan berikan persembahan yang terbaik dan berbaloi untuk mereka ,” ujarnya.

Selain Malaysian, pemenang empat kali Grammy Awards itu juga bakal singgah di beberapa negara Asia seperti Hong Kong, Jakarta, Manila, Tokyo dan Singapura.



Previous Post Next Post