Romeo Kota taruhan pertama Aaron Aziz



NAMA Aaron Aziz dalam bidang lakonan sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Namun buat pertama kalinya, Aaron memberanikan diri untuk melangkah setapak lagi ke hadapan selaku pengarah filem.

Bukan sahaja bertindak sebagai pengarah, Aaron turut terlibat selaku pelakon utama dalam filem pertama arahannya, Romeo Kota.

Selain Aaron, filem ini turut dijayakan oleh Nabil Ahmad, Fizo Omar, Sleeq, Shenthy Feliziana, Nina Juren, Soffi Jikan dan ramai lagi.

Dengan kos sekitar RM1.7 juta ini, filem Romeo Kota telah menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur, selama 27 hari.

Filem ini mengisahkan dua orang anggota polis iaitu Koperal Sharomi atau Romi, bersama rakan setugasnya, Lans Koperal Fakhrul yang sering bergandingan dalam tugas membanteras jenayah.




Suatu hari, seorang pelajar kolej ditemui berada dalam keadaan koma setelah beberapa bungkus dadah yang ditelannya pecah di dalam perut.

Romi dan Fakhrul telah ditugaskan untuk menyiasat kes berkenaan dan mendapatkan maklumat serta mengetahui siapa dalang di sebalik kejadian tersebut. Mereka berdua telah ditugaskan secara samaran di bawah kod ‘KRIPTIK’ dan diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikannya.

Melalui beberapa petunjuk, mereka memasuki kolej Bestari di mana Romi, menyamar selaku pensyarah dan Fakrul sebagai pelajar kolej.

Pada masa yang sama, Ema, antara pelajar yang menjadi kegilaan ramai di kolej, telah menawan hati Koperal Romi dan Lans Koperal Fakrul, hingga melibatkan berlakunya cinta tiga segi antara mereka. Cinta tiga segi itu telah menyebabkan hubungan keduanya renggang.

Melihat pada jalan ceritanya, penulis tidak nafikan ia adalah sebuah filem yang memaparkan perjalanan plot ringkas dan pernah dilihat.

Namun ia bukan alasan untuk orang di luar mempertikaikan hasil pengarahan pertama Aaron di layar perak.

Ini kerana, penulis sendiri kagum dengan garapan Aaron yang kemas terutamanya dalam babak aksi, bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan filem ini setaraf dengan filem-filem aksi hebat yang pernah dihasilkan.

Apatah lagi, dengan bantuan pakar aksi dari Thailand, menjadikan setiap aksi perlawanan yang dipertaruhkan nampak hidup dan tidak di buat-buat.

Di tambah pula dengan gerak dan sudut kamera yang bertepatan membuatkan anda akan rasa berpuas hati menonton filem ini.

Bukan itu sahaja, kecekapan Aaron menarik perhatian penonton menerusi babak aksi seawal minit pertama tayangan juga membuatkan anda berasa teruja untuk mengikuti perjalanan filem ini dari awal hingga akhirnya.

Meletakkan Nabil sebagai penghibur di dalam filem ini juga dilihat sebagai satu pemilihan yang tepat. Tanpa perlu lawak yang berlebihan, Nabil berjaya menggeletek penonton dengan lakonannya yang cukup bersahaja.

Malah kali ini juga, anda berpeluang melihat Nabil menjayakan watak yang lebih serius, biarpun ada ketikanya tetap nampak lawaknya.

Trailer: Romeo Kota



Kelemahan plot cinta

Cuma satu yang penulis kecewa dengan filem ini adalah permainan babak cinta pada pertengahan jalan cerita yang sedikit mengganggu mood.

Ia juga menyebabkan perjalanan cerita menjadi sedikit perlahan. Namun apabila memasuki babak perlawanan dan teka-teki untuk menyelesaikan kes, ia mula menarik semula.

Namun secara keseluruhan meliputi sudut teknikal, lakonan dan jalan cerita, hasil kerja Aaron selaku pengarah untuk filem pertamanya ini memang boleh dibanggakan.

Justeru bagi anda yang ingin mengetahui keseluruhan jalan cerita dan bagaimanakah mereka menyelesaikan kes itu, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.



Previous Post Next Post