Seventh Son kisah Dendam ahli sihir



SEHINGGA kini filem epik masih menjadi pilihan kebanyakan pengarah serta penerbit tersohor Hollywood. Lihat sahaja filem-filem box-office seperti Gladiator, The Lord of the Rings, The Last Samurai, Star Wars dan Braveheart yang masih relevan untuk ditonton serta punya peminat tersendiri hingga ke hari ini.

Terbaharu, giliran pengarah kelahiran Russia, Sergei Bodrov, pula mencuba nasib dalam filem genre seumpama ini. Tersohor dengan filem Monggol (2007) dan Prisoner of the Mountains (1996), kredibilitinya terus dinilai menerusi filem epik Seventh Son, sebuah karya adaptasi novel The Last Apprentice hasil ciptaan Joseph Delaney.

Selepas beberapa kali menukar tarikh tayangan, filem epik tersebut kini sedia menemui peminat di pawagam! Pernah dikatakan bakal menandingi kehebatan filem The Lord of the Rings dan Jack the Giant Slayer, ternyata filem arahan Sergei Bodrov ini tidak mengecewakan.

Seventh Son mengisahkan Master Gregory (Jeff Bridges), pahlawan yang mempunyai kuasa untuk menyingkir serta menghapuskan ahli sihir. Namun keputusannya mengurung ratu sihir yang paling jahat dan berkuasa, Mother Malkin (Julianne Moore), menjadi satu kesilapan besar.

Setelah kembali bebas, Malkin nekad membalas dendam. Dia ingin menghapuskan Gregory dan ingin berkuasa di muka bumi.

Sedar kuasa jahat Malkin semakin sukar dibendung, Gregory terus menjejak pembantu baharunya, 'Seventh Son' iaitu Tom Ward (Ben Barnes), yang merupakan petani biasa.




Biarpun tidak kelihatan seperti seorang pahlawan namun Tom mempunyai kuasa luar biasa yang dirahsiakan dari Gregory, sehinggalah takdir menentukan nasibnya.

Namun pertemuan Tom dengan ahli sihir jelita, Alice (Alicia Vikander), sedikit sebanyak mempengaruhi misi Tom dalam menghapuskan Malkin.

Siapakah Malkin dan apakah kaitannya dengan Alice serta Gregory? Dan berjayakah Tom menghapuskan Malkin? Anda hanya akan mengetahui kesudahannya setelah menonton filem ini di pawagam!

Seperti mana filem-filem epik Hollywood yang sedia ada, Seventh Son, boleh disifatkan sebagai filem yang agak klise. Kisah pahlawan yang membendung ahli sihir adalah kisah yang agak biasa kita dengar dalam dunia epik Hollywood.

Pun begitu ia masih punya kekuatan tersendiri dari segi jalan cerita, prop, seting dan juga keberkesanan pelakonnya.

Dari segi jalan cerita, sejak awal lagi ia sarat dengan unsur suspens, aksi, thriller serta pengembaraan sehebat filem The Lord of the Rings dan The Hobbits.

Menepati ciri-ciri filem epik, nyata pengarahnya tidak memandang enteng terhadap elemen prop dan seting yang memainkan peranan cukup besar dalam filem genre seumpama ini.

Malah kewujudan makhluk-makhluk pelik dengan karakter luar biasa bagaikan menjadi kemestian dalam filem epik dan dapat dilihat menerusi setiap babak pengembaraan.

Malah penulis yakin sesiapa sahaja yang penonton filem ini tidak akan berasa bosan kerana ada sahaja babak yang membuatkan anda teruja. Walaupun ada babak yang sudah dijangka dan agak klise ditonton, namun ia bukanlah isu besar bagi mereka yang menggemari filem epik sebegini.

Trailer: Seventh Son



Gandingan lama dan baharu

Diterajui pelakon lama seperti Jeff Bridges (Gregory) dan Julianne Moore (Mother Malkin), Seventh Son turut tertumpu pada pelakon baharu seperti Ben Barnes (Tom) dan Alicia Vikander (Alice).

Sebagai teraju utama, lakonan Barnes sebagai Tom dan juga Seventh Son dilihat agak biasa. Mungkin ia dipengaruhi oleh karakternya sebagai petani biasa. Tanpa ciri-ciri seorang pahlawan, karakter Barnes tak ubah seperti Jack (Nicholas Hoult) dalam filem Jack The Giant Slayer yang lebih tertumpu pada nasib dan takdir tersendiri.

Meskipun pernah membintangi The Chronicles of Narnia: Prince Caspian dan Stardust, aktor muda ini bagaimanapun dilihat masih kurang menyerlah dan bakatnya perlu digilap lagi, terutama dari segi penghayatan serta emosi.

Beralih mengenai lakonan Bridges (True Grit, Iron Man) dan Moore (The Hunger Games: Mockingjay Part 1, The Kids Are All Right), sebagai orang lama ternyata mereka berdua berjaya menguasai watak yang diberikan sekali gus memberikan nafas terhadap keseluruhan cerita. Lakonan mereka dilihat hidup sekali dan mampu meninggalkan kesan buat penonton.



Previous Post Next Post