Antara barisan artis yang menjayakan pementasan Teater Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta.
SEMPENA Maulidur Rasul, sebuah pementasan Islamik iaitu Teater Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta karya Erma Fatima dihidangkan kepada penonton di Panggung Sari, Istana Budaya, bermula 3 hingga 7 Januari.
Diterajui 20 pelakon utama antaranya Datin Sri Umie Aida, Beto Kusyairy, Datuk Rahim Razali, Ellie Suriaty, Shiha dan Jessie Lim, teater ini turut dibantu dengan 80 pelakon tambahan, serta 15 pemuzik secara langsung.
Malah penampilan penyanyi tersohor tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Awie serta penyanyi cilik dari Indonesia, Tegar, menyerikan lagi pementasan itu.
Berlangsung lebih dua jam, Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta, bukan sahaja membuai perasaan penonton menerusi nyanyian-nyanyian merdu artis yang terlibat, bahkan turut berpeluang menghayati perjuangan Rasulullah tercinta.
Tepat jam 9 malam, tirai pementasan dibuka dengan alunan selawat kepada Rasulullah oleh penyanyi Rock, Awie, bagi memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Bagai dipukau, penonton terus terpegun dengan persembahan penuh penghayatan Awie yang nyata berbeza dari persembahannya sebelum ini.
Bahkan kemunculan Siti Nurhaliza, Tegar dan Amy Search disambut dengan tepukan gemuruh daripada penonton setiap kali tiba giliran persembahan mereka.
Bukan sahaja para pelakon dan penyanyi dilihat menitiskan air mata, penonton turut terbawa emosi dan berdiri bersama-sama mengalunkan nyanyian selawat oleh Siti Nurhaliza ketika pementasan berakhir.
Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta mengisahkan kelahiran bayi bernama Muhammad Bin Abdullah yang membawa cahaya ketika hati manusia dilanda kegelapan akibat kufur kepada ALLAH SWT.
Masyarakat Quraisy ketika itu menyembah pelbagai berhala termasuk Latta Uzza sebagai tuhan yang memberi nikmat dan kemakmuran Makkah.
Keangkuhan mereka semakin tinggi apabila menganggap Lata Uzza telah mengalahkan tentera bergajah (Abrahah) dengan menghantar segerombolan burung yang membawa batu menghancurkan tentera itu.
Kehadiran Nabi Muhammad SAW pula dianggap penderhaka kepada ajaran Latta Uzza dan mereka bertindak kejam terhadap Rasulullah sehingga Baginda berhijrah ke Madinah.
Begitulah antara perjalanan teater Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta yang dipaparkan begitu hebat sekali oleh para pelakon. Biarpun menggunakan bayang-bayang sahaja untuk watak Rasulullah, isteri dan para sahabat Baginda, teater ini begitu menyentuh jiwa dan emosi sesiapa sahaja.
Banyak pengajaran yang diperoleh daripada kisah Nabi Muhammad SAW dan bagaimana kesabaran Baginda ketika menempuhi pelbagai halangan untuk menegakkan panji Islam ketika itu.
Penceritaan pula tampak hidup dengan permainan visual dan prop ala Arabian walaupun kadang kala masalah teknikal menyulami persembahan mereka.
Dugaan Erma Fatima
Walaupun pementasan ini dianggap berjaya mencuit emosi penonton, pengarahnya, Erma Fatima bagaimanapun meluahkan rasa kurang puas hati dengan masalah teknikal dan visual yang berlaku sepanjang tempoh dua jam itu.
Katanya, pelbagai dugaan yang dihadapi pihak produksi sejak awal lagi pementasan itu berlangsung dan dia cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut agar tiada gangguan kepada penonton.
Jelasnya, masalah visual berlaku di saat-saat akhir ketika pementasan rasmi bermula. Pihaknya cuba sedaya upaya untuk memperbaiki masalah itu agar tidak berulang pada malam-malam seterusnya.
Selain masalah itu, dia juga berhadapan dengan penarikan penaja utama dari sebuah agensi namun Erma menjelaskan perkara tersebut tidak menjejaskan pementasan itu.
“Dugaan demi dugaan tidak sesekali mematahkan semangat saya dan menganggap ia sebagai satu hikmah di sebalik apa yang berlaku.
“Soal penajaan saya tolak tepi, apa yang penting niat kita untuk mementaskan teater ini lebih penting terutamanya melibatkan Maulidur Rasul.
“Jika pihak berkenaan tidak mahu menaja, saya tidak mampu kata apa-apa lagi kerana semua yang saya buat kerana ALLAH SWT,” tegasnya.
Dalam pada itu, dia turut menjelaskan kekeliruan gambar pelakon Remy Ishak dicetak pada poster dan banner teater tersebut berikutan artis itu menarik diri pada saat-saat akhir.
Menurut Erma, pelakon drama Antidot itu tidak dapat menyertai pementasan tersebut selepas semua bahan promosi sudah siap dicetak.
“Remy terpaksa menarik diri di saat akhir kerana jadual pementasan bertindih dengan jadual kerjanya. Kami meneruskan sahaja promosi dengan poster yang tertera gambar Remy kerana tidak mahu menanggung kos tambahan,” ujarnya,
Eily Suriati dibayangi watak
Lakonan mantap Eily Suriati tidak dapat dipertikaikan lagi dalam pementasan ini dengan membawa watak antagonis, Hindun mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.
Menurutnya, watak Hindun benar-benar menguji kemampuannya bukan kerana perwatakan jahat ia merupakan sejarah dalam Tamadun Islam sendiri.
Katanya, tawaran buat kali kedua sebagai wanita Quraisy itu bukan sahaja cabaran terbesar baginya selaku pelakon namun mengenangkan pengorbanan Rasulullah yang menyampaikan syiar Islam menjadi alasan utama dia menerima watak itu.
“Sebelum memulakan pementasan, saya berdoa dan selawat ke atas Nabi supaya semuanya berjalan dengan lancar.
“Perasaan risau dan takut tetap ada walaupun ia merupakan kali kedua saya membawa watak ini. Apatah lagi ia berkaitan dengan perjalanan kisah hidup Rasulullah, Nabi junjungan umat Islam,” katanya.
Dalam masa sama, dia turut memuji keberanian Erma selaku pengarah teater ini untuk meneruskan pementasan buat kali ketiga.
“Jika saya hanya memegang watak pelakon pembantu sudah hampir gila apatah lagi Erma yang mengarahkan satu persembahan besar.
“Alhamdulillah. Saya sangat bersyukur segala-galanya dipermudahkan walaupun awal-awal pementasan saya rasa satu perasaan lain macam untuk melakonkan watak ini,” katanya.
Secara ringkasnya, wanita bernama Hindun binti Utbah antara mereka yang membantah ketika agama Islam diperkenalkan. Malah beliau dikenali kerana tindakannya memakan hati bapa saudara Nabi Muhammad SAW di medan perang.
Awie sebak
Sementara itu, penyanyi popular Awie menyifatkan penglibatannya dalam pementasan itu sebagai perkara paling manis dalam hidupnya.
Bahkan Awie dilihat menitiskan air mata ketika persembahan nyanyian selawat Siti Nurhaliza dan cuba sedaya upaya menahan sebak ketika pementasan berakhir.
Menurutnya , tawaran daripada Erma disambut dengan hati terbuka walaupun agak terkejut pada mulanya.
“Saya akui tawaran ini merupakan panggilan terbaik dan cuba untuk melaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Bahkan saya rasa direstui dan diberkati kerana berpeluang untuk melaungkan nama-nama ALLAH di pentas berprestij ini,” katanya.
Menyifatkan perkara itu sebagai kejutan tahun baharu, Awie berkata ia juga sebagai permulaan baik untuk kerjaya mahupun perjalanan hidupnya.