Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan 13 April depan sebagai tarikh perbicaraan tuntutan mutaah RM300,000 oleh pelakon, Rita Rudaini Mokhtar terhadap bekas suaminya, Aidil Zafuan Abd Razak.
Hakim Syarie, Mawardi Che Man menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Rita Rudaini, Datuk Zaidi Mohd Zain untuk anak guamnya tampil memberi keterangan.
Zaidi berkata, selain anak guamnya, dua lagi saksi akan turut memberi keterangan pada hari yang sama.
Beliau turut memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk pihak defendan memberi keterangan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan itu dengan menetapkan 11 Mei depan untuk pemain bola sepak itu dan dua saksinya memberi keterangan.
Rita Rudaini, 39, memfailkan tuntutan itu di sini pada 25 Ogos tahun lalu.
Bekas pasangan suami isteri yang dikurniakan dua anak lelaki hasil perkahwinannya itu disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Seremban pada 5 September 2003.
Sebelum itu, Aidil Zafuan, 28, melafazkan cerai melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) terhadap Rita Rudaini pada 4 Ogos 2003.