KETIKA bertemu penyanyi popular Hafiz Suip pada satu majlis baru-baru ini, anak mata terpana seketika apabila terpandang tangan kiri penyanyi itu berbekas warna kemerahan inai yang masih melekat pada tiga batang jarinya.
Malah, apa yang mengejutkan pandangan mata, pada jari manis penyanyi berusia 25 tahun itu juga tersarung elok sebentuk cincin.
Namun, dibiarkan sahaja pelantun lagu Awan Nano itu membalas soalan berkaitan peribadi terlebih dulu sebelum menunggu masa sesuai untuk menyerkap si empunya badan mengenai inai dan cincin yang dipakainya itu.
Apabila ditebak dengan soalan cepumas itu, sambil ketawa besar, penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak tersebut jujur sahaja mengakui cincin tersebut merupakan cincin merisik.
Terkejut dengan khabar gembira itu, laju sahaja Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip menghebahkan berita bahawa dirinya bakal melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihan hati pada 27 Februari depan.
Juara program Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu turut menjelaskan, majlis merisik pihak perempuan telah pun diadakan di rumah bakal tunangnya itu pada 21 Disember tahun lepas.
Ikuti temu bual bersama Hafiz yang nyata teruja dengan majlis pertunangannya yang berbaki tidak sampai sebulan itu.
Artis Meletop!: Boleh kongsikan sedikit mengenai maklumat majlis pertunangan Hafiz?
Alhamdulillah. Majlis pertunangan saya telah ditetapkan pada 27 Februari depan dan diadakan di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak.
Mengapa pilih tarikh tersebut dan jika tidak kisah boleh kongsikan dengan peminat siapakah gerangan gadis bertuah itu?
(Ketawa) Apa yang saya boleh kongsikan identiti bakal tunang saya itu, nama dia Effy dan berumur awal 20-an. Maaf, tetapi itu sahaja yang boleh kongsikan dengan semua buat masa ini. Sebab saya harus hormat permintaan keluarga dan dirinya sendiri yang tidak mahu mendedahkan identitinya.
Mengenai tarikh itu pula, sengaja saya pilih tarikh 27 Februari kerana ia merupakan tarikh hari lahir saya. Maklumlah, saya ini jenis seorang yang pelupa. Jadi, saya ambil tarikh yang mudah diingat untuk perkara penting seperti ini.
Sejak bila kalian mula menjalinkan hubungan serius sehingga menuju kepada fasa perkahwinan?
Sebenarnya kami sudah mula berkawan sejak lima tahun yang lalu, sebelum saya bergelar artis lagi. Waktu itu, kami hanya kawan biasa dan tidak sangka lama-kelamaan hubungan kami bertukar menjadi cinta. Bagaimanapun, kami hanya mula menjalinkan hubungan cinta sekitar dua tahun lalu iaitu pada awal tahun 2013.
Apakah keistimewaan yang ada pada Effy?
Banyak sikap dia yang berjaya mencuri hati saya. Tetapi dalam banyak-banyak sikap itu, perkara yang paling membuatkan saya tertarik dengan dia adalah sikap lemah lembut dan menghormati orang tua. Kalau dia ada sikap menghormati orang yang lebih tua daripadanya, jadi tidak mustahil dengan ibu bapa saya sendiri, bahkan dengan orang lain juga dia akan hormat. Itu istimewanya dia pada pandangan mata saya (senyum).
Selepas bertunang, berapa lama masa yang kalian ambil sebelum melangsungkan perkahwinan?
Kalau diikutkan memang pada usia sekarang saya mahu menamatkan zaman bujang tetapi mungkin saya mengikat tali pertunangan dalam tempoh setahun. Perkahwinan kami mungkin diadakan pada pertengahan tahun 2016 nanti. Ini kerana saya menghormati situasi bakal tunang yang masih melanjutkan pelajaran di sebuah universiti swasta ketika ini. Kalau boleh, saya mahu dia habiskan pelajaran terlebih dahulu sebelum berfikir soal kahwin (ketawa). Sebagai seorang lelaki dan bakal menjadi suami, saya harus bersedia dari segala aspek. Mungkin dalam tempoh setahun mengikat tali pertunangan itu saya akan mantapkan diri dengan persediaan ilmu rumahtangga sebelum bergelar seorang ketua keluarga.
Memandangkan usia anda yang masih muda dan populariti juga semakin meningkat naik ketika ini, tidakkah anda risau dengan penerimaan peminat jika sudah melangsungkan perkahwinan kelak?
Insya-Allah, saya percaya kepada rezeki. Saya tidak takut untuk berkahwin pada usia muda sebab rezeki semuanya datang daripada Allah, bukan manusia. Apa yang penting, saya perlu pandai mengatur langkah dan menyusun strategi dalam perjalanan karier seni, Insya-Allah semuanya akan dipermudahkan.
Bolehkah anda kongsikan perkembangan terkini?
Alhamdulillah, hasil sambutan memberangsangkan Showcase Hafiz & Friends yang diadakan di Hard Rock Cafe Melaka pada Jun tahun lalu, tahun ini kami bakal tampil sekali lagi menemui peminat di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pula. Diadakan pada 25 Januari depan, persembahan itu menampilkan Akim & The Magistrate, Hazama dan Aril selain membawa masuk dua bintang baharu kelahiran AF, Faizul Sany dan Firman AF2014. Perkembangan lain, mungkin saya fokuskan kepada lagu single terbaharu yang tidak sempat dikeluarkan dalam album kedua berjudul Luahan Hati Anak Seni sebelum ini. Saya tidak ada keyakinan untuk keluarkan single ciptaan sendiri dalam album itu memandangkan semua lagu dalam album tersebut mendapat sentuhan ciptaan komposer-komposer hebat. Selain karier seni, perjalanan bisnes Restoran THYMES Kafe di Seri Kembangan, Selangor yang saya usahakan sudah hampir setahun berjalan dengan baik.