Saat usia kandungan yang sudah memasuki bulan kelapan membuatkan Fizz tidak berani meninggalkan Almy keseorangan di rumah.
MEMBINA mahligai bahagia sebagai suami-isteri pada tanggal 26 April lalu, pasangan selebriti popular Fizz Fairuz dan isteri, Almy Nadia kini sedang meniti saat gembira menantikan kehadiran orang ketiga dalam hidup mereka.
Almy, 28, yang kini sedang sarat hamil lapan bulan dijangka melahirkan bayi sulungnya pada tarikh 27 Februari hadapan.
Mengakui sangat teruja dan tidak sabar menanti kehadiran bayi perempuan itu, Fizz, 34, menyatakan dia sudah cukup bersedia menggalas tugas sebagai seorang ayah kelak.
“Ini zuriat pertama, sudah tentunya saya teruja dan tidak sabar untuk bergelar seorang ayah dan menjalankan tanggungjawab kepada anak saya nanti.
“Segala persiapan termasuklah barang kelengkapan bayi sudah siap. Apa yang penting sekarang, kami mahu tunggu bayi ini keluar dahulu,” ujar pelakon Dollah Superstar itu ceria.
Meskipun jadual kerjanya begitu padat untuk tahun ini, anak kelahiran Raub, Pahang itu tetap tidak mengabaikan tanggungjawab yang digalasnya sebagai ketua keluarga, suami dan bakal bapa.
“Jadual saya sangat padat. Dari awal tahun sehingga bulan Ogos nanti, semuanya sudah penuh. Sebab itu sekarang kalau tengok, badan saya semakin susut.
“Kerja yang padat sangat memenatkan saya sebab dalam satu masa saya harus bijak bahagikan masa antara kerja dengan keluarga,” ujar Fizz yang ditemui usai majlis pelantikannya sebagai duta Go Motorshow Malaysia (GoMoMa) di Hard Rock Kafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
GoMoMa merupakan karnival permotoran yang menghimpunkan semua pemilik kelab atau persatuan motosikal berkuasa tinggi di seluruh negara.
Karnival tersebut bakal menjelajah ke semua bandar-bandar utama terpilih seluruh negara bermula pada 27 Mac depan di Stadium Shah Alam, Seksyen 13, Selangor sebelum meneruskan misi ke lokasi seterusnya di Johor, Pahang dan Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut mengenai pelantikannya sebagai duta karnival tersebut, Fizz memanjatkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan untuk menjadi duta apatah lagi bidang permotoran berkuasa tinggi merupakan minatnya sejak dulu.
“Saya memang seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi. Sejak sebelum berkahwin, saya memang pernah menyertai aktiviti seperti ini.
“Jadi, apabila saya dipilih menjadi duta kepada GoMoMa, ia bagaikan satu penghargaan yang besar kepada saya.
“Meskipun penat dengan jadual kerja yang banyak, namun ini semua saya anggap sebagai satu pengorbanan demi keluarga. Alhamdulillah, apa yang boleh saya katakan, ini adalah rezeki anak kami,” ujar pelakon filem Bisikan Syaitan itu ceria.
Kongsi Fizz lagi, sejak kandungan Almy semakin sarat, dirinya tidak pernah membiarkan isterinya itu tinggal keseorangan di rumah. Semuanya gara-gara risaukan keselamatan isteri yang pernah disampuk makhluk halus beberapa bulan lalu.
“Waktu itu kandungan dia berusia enam bulan. Saya pernah tinggalkan dia dan keluar bekerja. Seminggu kemudian, bahagian tangan dan mukanya timbul bintik-bintik merah seperti terkena penyakit demam campak.
“Selepas saya rasa ada yang tidak kena, saya minta abang ipar merawat dia. Selepas baca ayat suci al-Quran dan sapukan air tersebut pada tempat yang berbintik itu, muka dia seperti terbakar. Tidak sampai 10 minit, segala bintik itu hilang.
“Sebab itu sekarang, pergi ke mana sahaja, saya akan bawa dia bersama. Dalam masa yang sama, dia sekarang sudah seperti pengurus saya,” ujar Fizz sambil ketawa.
Sementara itu, Almy berkata, sejak berbadan dua, dia menghentikan seketika karier lakonan demi menjaga kesihatan diri dan bayi yang dikandungnya.
Namun, kerana darah seni yang mengalir dalam tubuhnya tidak pernah luntur, anak kelahiran Ipoh, Perak itu nekad akan kembali ke layar seni selepas tamat tempoh berpantang nanti.
“Saya sudah terbiasa berdikari. Walaupun kini sudah berumah tangga tetapi saya tidak sampai hati juga mahu minta duit belanja daripada suami memandangkan saya lihat sendiri bagaimana penatnya dia bekerja.
“Lagi pula, Fizz tidak pernah halang saya untuk kembali berlakon. Kami masing-masing berada dalam industri yang sama, jadi dia faham benar tentang kerja masing-masing,” ujar Almy ceria.