BIARPUN kali terakhir beraksi di konsert jelajah pada 1994, persembahan kumpulan rock lagenda, Wings menerusi konsert ‘Menakluk Kosmos’ yang berlangsung di Pulau Pinang, Sabtu lalu masih lagi mampu menunjukkan bisanya.
Hujan lebat yang membasahi Tapak Ekspo Seberang Jaya sebelum konsert bermula tidak sedikit pun menjejaskan mood kumpulan ini untuk mempamerkan persembahan yang mantap.
Kesungguhan dan kesetiaan lebih kurang 5000 peminat fanatik yang tidak berganjak dek kerana cuaca yang tidak mengizinkan itu juga telah membakar keterujaan Wings pada malam konsert.
Tepat jam 9.20 malam, konsert bermula dengan baik apabila hujan mulai berhenti dan kemunculan anggota kumpulan Wings iaitu Awie, Joe, Eddie dan Black di atas pentas dimeriahkan dengan sorakan peminatnya.
Sebagai pembukaan, Wings memilih lagu rancak seperti Amuk, Bujang Senang dan Pengabdian Ku Kekasih untuk menghangatkan lagi konsert itu.
Sekali imbas, suasana konsert yang dimeriahkan dengan cahaya LED dan susunan pentas yang berlangsung pada malam itu seakan mengimbau kembali era kegemilangan mereka.
Ditambah pula dengan kelincahan dan vokal mantap Awie yang sememangnya menghiburkan penonton yang hadir.
Konsert diteruskan dengan persembahan memukau peminat dengan dendangan beberapa buah lagu yang dipetik daripada album lama dan terbaharu mereka seperti Komplikasi, Awang Trasher, Peti Pandora, Ranggi Metropolis dan Sayap Illusi.
Persembahan yang berlangsung lebih dua jam itu turut memberi ruang kepada anggota kumpulan yang lain menerusi segmen solo di mana mereka membuktikan kemahiran dalam memainkan instrumen masing-masing.
Perasaan peminat terus dibuai dengan persembahan medley yang membawakan lagu-lagu hit Wings seperti Taman Rashidah Utama, Di Ambang Wati, Semalam Yang Hangat dan Sejati sebagai persembahan penutupnya.
Lancar tabung banjir
Dalam pada itu, sensitif dengan kisah duka yang menimpa mangsa banjir di seluruh negara, Wings turut mengambil kesempatan melancarkan Tabung Bencana Banjir Pantai Timur Wings Menakluk Kosmos pada konsert tersebut.
Tabung ini bertujuan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Menurut Awie, konsert masih diteruskan walaupun keadaan negara dalam duka cita dan sebagai inisiatif serta tanda keprihatinan terhadap mereka yang berkurang nasib baik, Wings turut mengambil bahagian hulurkan bantuan.
“Kami turut bersimpati dengan apa yang berlaku kepada negara, tapi pada masa yang sama kami juga ada perjuangan yang harus diteruskan.
“Selain menyediakan tabung, sebahagian kutipan bagi penjualan tiket konsert ini juga kami akan salurkan kepada mangsa banjir.
“Kami mahu peminat yang hadir pada malam ini bukan sahaja terhibur dengan persembahan kami, malah turut berjasa dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya pada konsert tersebut.
Konsert Menakluk Kosmos ini bakal meneruskan siri jelajahnya pada 31 Januari ini di lokasi MITC, Melaka dan untuk tempahan tiket secara online, layari www.ticket2u.biz.