Rindu peminat terhadap Ziana Zain bakal terubat apabila penyanyi itu bakal muncul dengan dua single terbaru tahun ini.
Menggunakan khidmat komposer tempatan serta Indonesia, Ziana akan mengalunkan lagu genre pop yang menjadi makanannya selama ini namun disegarkan mengikut arus muzik semasa.
Perkara itu dikongsi diva kesayangan ramai ini ketika menghadiri majlis akikah puteri Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rania di Hotel Royal Bintang, Damansara pada Rabu lalu.
Ibu empat cahaya mata itu memaklumkan, proses rakaman akan dilakukan selewat-lewatnya Februari depan dan Ziana akui sangat teruja kerana sudah lama tidak merakam lagu baru.
"Harap kemunculan dua single ini dapat menghilangkan kerinduan peminat yang ternanti-nanti buah tangan daripada saya.
"Saya masih meÂngekalkan konsep pop namun ia diberi sentuhan segar oleh dua komposer pilihan ini. Saya suka hasil ciptaan dua komposer ini dan harap dapat diterima baik orang ramai," katanya.
Ziana juga bersedia menjayakan konsert jika ada penaja. Katanya, untuk 2015 jadual seninya tidak begitu sibuk untuk tiga bulan pertama.
Katanya, dia punya lebih masa untuk fokus pada rakaman lagu dan kembali sibuk dengan pelbagai agenda seni bermula April depan, termasuk menjayakan pesembahan Minggu Setiausaha.
"Tawaran sudah ada namun belum boleh saya kongsi. Insya-Allah sampai masa, saya akan dedahkan kepada media," katanya ramah.
Mengenai lakonan, Ziana akui rindu untuk kembali beraksi di layar lebar mahupun kaca TV. Katanya, andai ada tawaran sesuai dan kena pada masa, dia tidak akan menolak.
Bintang filem Sembilu, Maria Maria dan Merah ini berharap karakter yang bakal dilakonkan itu berbeza dan sesuai dengan status serta usianya.
"Sudah lama saya tak beraksi di depan kamera. Kalau ikutkan, memang rindu dan harap ada tawaran tahun ini. Pun begitu, kena tengok juga sama ada tawaran itu sesuai atau tidak dengan usia dan kedudukan saya sebagai isteri serta ibu.
"Watak juga biar berbeza daripada yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Lebih mencabar lagi elok dan itu yang saya nanti-nantikan," kata ibu penyayang ini.
Mengulas program anjuran Astro, Gegar Vaganza yang baru melabuhkan tirainya minggu lalu, Ziana berkata, ia pendedahan bagus buat nama besar yang pernah popular satu ketika dulu.
Dia menyokong usaha Astro dan bangga melihat ramai kenalan lama kembali menghangatkan kaca TV.
"Ramai orang suka program ini, termasuk saya. Seronok melihat kawan lama kembali menyanyi, malah ramai membesar dengan lagu mereka.
"Ada antara mereka sudah lama tidak muncul depan khalayak dan menerusi program ini, terbukti mereka masih berbisa. Saya bangga dengan mereka dan berharap terus bersinar selepas ini," katanya.
Mengenai kemungkinan dirinya menjayakan program itu untuk musim akan datang, Ziana berkata, sudah banyak program dijayakannya dan berasakan peluang itu wajar diberi kepada yang lebih layak.
Katanya, masih ramai rakannya mahu kembali aktif namun tidak diberi ruang.
Sebagai sahabat, dia akan menyokong perjuangan mereka.
Dalam program berakhir 4 Januari lalu menyaksikan Ayai Ilusi dinobatkan juara, Haleeda tempat kedua dan Mamat Exists (ketiga) manakala finalis lain, Rahmat Mega, Fazli Zainal dan Ifa Raziah.
Turut menjayakan program itu pada peringkat awal ialah Shima, Adilla, Nadia, Hasnol, Sam Innuendo dan Sharifah Zarina.