PEPATAH ada menyebut, jauh perjalanan, luas pemandangan. Pepatah itu sudah cukup untuk mendefinasikan kembara pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini bagi menghadiri siri junket antarabangsa dan temu bual eksklusif bersama beberapa bintang dan pengacara saluran hiburan tersohor, E!.
Berpeluang berbual dengan pengacara Apa Kata Malaysia itu menerusi panggilan telefon Sabtu lalu, Aznil yang masih berada di AS hingga 13 Januari (esok) berkata, dia berasa sungguh teruja kerana berpeluang mengutip pengalaman baharu sepanjang berada di sana.
Katanya, selain dapat beramah mesra dan mewawancara selebriti terkenal, beliau turut tertarik untuk berkongsi cara kerja yang diamalkan oleh produksi di sana bersama kakitangan Astro sebaik sahaja pulang ke tanah air kelak.
Artis Meletop!: Apa khabar Aznil, harap panggilan telefon ini tidak mengganggu anda. Bolehkah anda ceritakan sedikit mengenai junket yang sedang anda hadiri di sana?
AZNIL: Oh, tidak sama sekali. Saya berada di AS sejak 7 hingga 13 Januari ini bagi memenuhi jemputan pihak NBC Universal untuk menemu bual selebriti yang terlibat dalam rancangan-rancangan baharu saluran E!.
AZNIL diberi peluang oleh pengacara-pengacara E! News untuk beraksi di depan kamera.
Siapakah selebriti yang terlibat dalam siri junket tersebut?
Antara selebriti yang terlibat adalah Kim Kardashian dan adiknya, Khloe Kardashian. Mereka hadir bagi mempromosikan musim baharu program realiti Keeping Up With The Kardashian. Selain itu, saya juga berpeluang menemu bual Christina Milian untuk rancangan Turned Up yang bakal bersiaran pada 18 Januari ini dan Giuliana Rancic bagi musim baharu Fashion Police dan Live From The Red Carpet.
Bagaimanakah layanan yang diberikan oleh mereka sepanjang mengendalikan temu bual tersebut?
Saya sungguh terkejut kerana mereka melayan saya dengan begitu baik. Walaupun Giuliana, Christina dan Kim merupakan nama yang besar di Hollywood, namun mereka tidak sombong dan boleh dibawa bergurau.
Apa yang istimewa, Giuliana turut bersetuju untuk merakamkan mesej berbentuk video bagi mangsa-mangsa banjir yang berada di negeri-negeri di Pantai Timur baru-baru ini.
Apakah perkara utama yang anda pelajari sepanjang berada di sana?
Ada dua perkara penting yang saya pelajari di sana. Pertama ialah cara kerja mereka yang cukup profesional dan teliti. Jadi, saya bercadang mahu membentangkan cadangan baharu bagi memperbaiki kualiti kerja kami di Malaysia kepada pihak Astro sebaik sahaja saya tiba di tanah air nanti.
Pada masa yang sama, saya juga belajar untuk membina keyakinan diri sebagai seorang pengacara. Sebelum tiba di AS, saya kurang berani untuk menemu bual mereka dalam bahasa Inggeris, kerana ia bukan bahasa utama saya. Namun, apabila mereka memberikan respons yang positif ketika ditemu bual, maka semangat untuk meneruskan kerja semakin bertambah.
Boleh kongsikan perkembangan terbaharu anda?
Selepas pulang dari AS, saya akan muncul dengan musim terbaharu rancangan Apa Kata Malaysia. Selain itu, kembara saya ini juga bakal disiarkan di Astro Ria (saluran 104) dalam masa terdekat nanti.