Tuah Aziz Harun


AZIZ HARUN berasa sungguh bertuah kerana diberi peluang untuk bernaung di bawah syarikat rakaman milik penyanyi terkenal Malaysia, Faizal Tahir.

MEMUAT naik video saduran di laman perkongsian YouTube merupakan trend yang semakin digilai oleh golongan muda masa kini. Selain mudah dan percuma, ia juga adalah platform paling pantas untuk mereka mempertontonkan bakat nyanyian yang ada secara bebas pada khalayak umum.

Tidak dinafikan, usaha tersebut selalunya tidak berakhir secara sia-sia. Seperti sudah menjadi fenomena, ada antara pengguna YouTube yang mula melakar nama sebagai penyanyi komersial setelah bakat yang dipertontonkan secara atas talian dihidu oleh syarikat-syarikat rakaman.

Tempias fenomena yang sama turut dirasai oleh penyanyi remaja kelahiran Brunei, Aziz Harun apabila dia dilamar oleh penyanyi Faizal Tahir untuk bernaung di bawah syarikat rakamannya, Faithful Music.

Walaupun agak terkejut tatkala menerima lamaran tersebut, Aziz atau nama sebenarnya, Abdul Aziz Harun, 15, mengakui berasa sungguh teruja kerana peluang itu dapat membuka pintu untuknya melebarkan sayap sebagai penyanyi di Malaysia.




“Saya berasa agak terkejut dan tidak percaya apabila mula-mula ditawarkan untuk bernaung di bawah syarikat rakaman milik Faizal Tahir.

“Namun, peluang sebegini hanya datang sekali seumur hidup. Justeru, saya mengambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut dan berkolaborasi mencipta lagu dengan abang Faizal menerusi single berjudul Senyum,” ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi yang berlangsung di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai proses rakaman lagu tersebut, anak bongsu daripada enam beradik ini menjelaskan, dia dan Faizal sering berbalas e-mel sebelum rakaman terakhir di buat sewaktu dia berada di Malaysia selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu.


WALAUPUN berdepan dengan jadual seni yang padat, namun Aziz Harun masih memberi keutamaan kepada pelajarannya.

“Dari segi melodi, lagu Senyum dicipta oleh abang Faizal. Begitupun, dia memberi kepercayaan penuh kepada saya untuk menulis lirik bagi lagu tersebut.

“Disebabkan saya menetap di Brunei, proses penulisan lirik lagu terpaksa dibuat menerusi kiriman e-mel. Bagaimanapun, lagu tersebut siap dirakamkan ketika saya singgah di Malaysia bagi memenuhi undangan persembahan sekitar bulan September tahun lalu,” katanya yang cuba memperbaiki penggunaan bahasa Me­layu menerusi penulisan liriknya itu.

Jelas Aziz, menerusi percubaan pertamanya menulis lirik lagu dalam bahasa Melayu, dia menerima banyak reaksi positif, terutamanya daripada peminat di Malaysia dan Brunei.

“Sejak lagu Senyum dimainkan di radio, saya menerima banyak komen yang memberangsangkan daripada pendengar.

“Alhamdulillah, usaha saya untuk menempa nama di sini sudah mula menunjukkan hasil,” katanya yang menjadikan penyanyi Jamal Abdillah dan Jason Mraz sebagai idolanya.

Utamakan pelajaran

Ketika berbicara mengenai jadual seninya yang kian padat, juara pertandingan nyanyian Bintang Kecil Brunei 2009 itu enggan terus terleka sehingga mengabaikan pelajarannya.

Katanya, walaupun memilih untuk menyanyi pada usia yang agak muda, dia tetap meletakkan pelajaran sebagai keutamaan.

“Keluarga saya tidak pernah membantah keinginan dan minat saya untuk bergelar penyanyi. Malah, mereka juga banyak memberikan semangat dan dorongan untuk saya terus mengejar impian dalam bidang seni.

“Kepercayaan yang diberikan oleh mereka seharusnya tidak disia-siakan. Walaupun saya aktif menyanyi, pelajaran tetap menjadi perkara nombor satu dalam hidup,” jelasnya.

Menurut Aziz, bagi mengelakkan aktiviti seninya bertindih dengan jadual persekolahan, dia hanya akan menerima undangan nyanyian pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

“Lebih senang bekerja pada hujung minggu, lebih-lebih lagi jika saya diundang untuk menyanyi di Malaysia.

“Walaupun terpaksa berulang-alik, sekurang-kurangnya ia tidak mengganggu kosentrasi saya ketika berada di sekolah,” ujarnya mengakhir perbualan.



Previous Post Next Post