MENJULANG gelaran juara persembahan terbaik Anugerah Juara Lagu pastinya member nafas baharu kepada kumpulan Caliph Buskers dalam menempuh industri hiburan tanah air.
Dengan gelaran artis baharu, Caliph Buskers pastinya semakin sibuk memenuhi jadual seharian dengan aktiviti nyanyian dan persembahan.
Pun begitu, terdapat desas desus mengatakan Caliph Buskers tidak lagi menerima undangan persembahan di majlis perkahwinan.
Menepis dakwaan tersebut, ahli kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat tampil menjelaskan, mereka masih menerima jemputan untuk persembahan di majlis seperti itu.
“Jangan risau. Kami masih lagi menerima jemputan untuk orang kawin. Kami tak kan lupakan sahabat-sahabat Caliph yang telah mengundi kami sehingga dinobatkan sebagai pemenang persembahan terbaik tempoh hari.
“Saya yakin, kebanyakan pengundi bukanlah dari keluarga yang senang. Pengundi juga bukanlah sebuah syarikat. Semua undian datang dari individu. Tapi kerana semangat untuk menyokong, kalian tetap mengundi.
Lebih-lebih lagi yang mendoakan kejayaan kami,” katanya menerusi petikan dari laman Facebooknya.
Tambahnya lagi, pada kebiasaannya pihaknya akan mengenakan kadar bayaran yang jauh lebih rendah kepada mana-mana individu atau pihak yang mengundang mereka untuk membuat persembahan di majlis perkahwinan.
“Memang biasanya jemputan orang kawin bayarannya lebih rendah. Sebab jemputan orang kawin bajetnya datang dari poket individu. Lain kalau jemputan makan malam dari syarikat-syarikat besar. Mereka ada bajet untuk bayar walaupun bayarannya besar.
“Kami sekumpulan buskers. Kami tahu susah senang mencari rezeki. Insya ALLAH, selagi para sahabat ada disamping kami, kami akan cuba berikan yang terbaik selagi kami mampu. Tujuan bermuzik adalah untuk didengari dan menghiburkan orang bukan untuk mencari kekayaan.
Jangan ada yang takut untuk mengundang kami kerana kami tetap seperti yang dulu. Kami tetap Caliph Buskers yang akan menjadi Buskers sampai bila-bila,” katanya lagi.