SEMBILAN tahun lalu, filem terbitan, KRU Films, Cicakman yang mengetengahkan pelawak hebat, Saiful Apek, berjaya merakam dimensi baharu dalam dunia perfileman tempatan apabila pertama kali menampilkan karya berasaskan adiwira.
Mencatat rekod tersendiri apabila meraih kutipan setinggi RM350,000 untuk hari pertama tayangan, secara keseluruhannya, filem yang membariskan pelakon hebat termasuk Fasha Sandha, Datuk Aznil Nawawi, Adlin Aman Ramlie dan Datuk AC Mizal ini mengutip hampir RM7 juta di sepanjang tayangan.
Merupakan filem yang paling banyak menggunakan Imej Janaan Berkomputer (CGI) dalam industri filem tempatan, Cicakman 2 : Planet Hitam, kembali setelah dua tahun sekuel pertamanya meledak di pawagam.
Berjaya mengekalkan pengaruh dan sambutan, kini Cicakman 3 yang dinanti-nantikan kembali meneroka imaginasi penonton di seluruh pawagam bermula 12 Mac depan.
Masih mengekalkan genre aksi komedi dengan lawak jenaka yang pastinya lebih lucu dan bersahaja, ianya juga turut mengadun elemen lain termasuk aksi dan drama yang mampu menyentuh hati.
Malah, dengan pengalaman yang hampir satu dekad dalam bidang penerbitan, KRU Studios menjanjikan kelainan dan kemantapan kesan khas visual terhadap pembinaan semula bandaraya Metrofulus yang dibina satu ketika dahulu.
Menurut pengarah hebat, Yusry Abdul Halim, walaupun latar belakang Cicakman masih dikekalkan, namun banyak perubahan yang telah dilakukan demi memantapkan lagi jalan cerita dan penyampaian.
"Cicakman 3 bukanlah sambungan Cicakman 1 dan 2, namun kisah mengenai bandar Metrofulus dikekalkan daripada filem berkenaan. Jalan cerita Cicakman 3 juga lain daripada sebelum ini apabila ia mengisahkan mengenai Man yang tidak matang dalam hal rumah tangga menyebabkan Linda mengambil keputusan menuntut cerai.
"Masalah rumah tangganya semakin rumit dengan kehadiran Inspektor Adam yang juga rakan sekolahnya apabila dia mencuba merampas Linda dari Man.
"Namun, kehidupan Man berubah apabila dia menjumpai minyak serum milik Cicakman yang mampu memberi kuasa luar biasa kepadanya. Dia yang kembali bersemangat dengan kuasa dimiliki itu begitu teruja untuk menjadi superhero. Pun begitu, kehadiran Man tidak lagi bermakna di Metrofulus kerana adanya hero baru iaitu Super-Bro," jelasnya.
Kerjasama tiga produksi
Mengambil masa selama 44 hari untuk proses penggambaran yang mula dilakukan pada tahun lalu, filem ini turut mendapat kerjasama terbitan daripada Grand Brilliance dan Astro Shaw.
Walaupun pembikinan filem ini menelan tempoh yang panjang atas beberapa faktor termasuk pertukaran di kerusi pengarahan, namun Yusry bersyukur kerana ia bakal ditayangkan tidak lama lagi.
"Salah satu cabarannya adalah pertukaran pengarah dan saya juga turut berdepan dengan kerja-kerja lain sehingga perlu melepaskan kerusi pengarahan itu kepada pengarah lain.
"Namun, alhamdulillah, cabaran itu berjaya diatasi dan kerjasama dengan pengarah hebat, Ghaz Abu Bakar, sememangnya mengujakan walaupun ada percanggahan dari segi pendapat.
"Saya menerima baik pendapat dan cadangan beliau kerana saya tahu dia adalah pengarah yang hebat dan ideanya juga nyata tidak mengecewakan saya dalam memantapkan lagi jalan cerita," katanya lagi.
Filem yang membariskan pelakon hebat, Zizan Razak, Lisa Surihani, Rykarl Iskandar, Fizz Fairuz, Yus Jambu, Bell Ngasri, Rashidi Ishak, Adam Corrie, Azizah Mahzan dan Sathiya ini turut mendapat tajaan rasmi daripada Kit Kat.
Manakala Yusry yang turut berada di sebelah Lisa ketika wawancara tersebut berkata Lisa sangat komited untuk wataknya dan tidak mengambil kesempatan walaupun berstatus isteri pengarah.
Meskipun meletakkan isteri tercinta sebagai penggerak Cicakman 3, namun akui Yusry, status yang dimiliki Lisa tidak digunakan sewenangnya untuk bekerja sambil lewa.
"Lisa banyak bertanya mengenai wataknya sebagai Linda dalam filem ini. Malah, dia juga banyak membuat kajian mengenai watak yang digalasnya.
"Walaupun dia isteri saya, namun dia tidak melakukan kerja ini sambil lewa. Dia sangat profesional dalam urusan kerja," katanya.
Cabaran besar Ghaz Abu Bakar
Bekerjasama dengan pengarah hebat seperti Yusry, bagi Ghaz Abu Bakar, ia adalah satu cabaran yang besar buat dirinya sebagai pengarah bersama.
Diberi kepercayaan untuk bersama-sama memberi sentuhan dalam Cicakman 3, peluang ini sememangnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pengarah filem Hantu Kapcai ini.
"Saya memang teruja apabila mendapat tawaran untuk menjadi pengarah bersama filem ini. Malah, saya banyak meluangkan masa dalam mengkaji jalan cerita dan babak-babak menarik untuk diketengahkan.
"Saya seronok bekerja dengan Yusry kerana dia memberi kebebasan kepada saya untuk berkarya, malah dia juga seorang yang senang menerima pandangan dan pendapat orang lain.
"Untuk filem ini, saya amat yakin ianya bakal memberi kepuasan kepada penonton. Bagi saya, Cicakman 3 adalah filem tempatan yang hebat," katanya lagi.
Tambah Ghaz, kehebatan dan kemantapan Cicakman 3 terbukti dari beberapa sudut termasuk penulisan skrip, penyediaan cerita, lokasi penggambaran dan gandingan pelakon yang hebat.
Trailer: Cicakman 3
REAKSI PELAKON
"Bukan mudah untuk menggalas watak Man dalam filem ini kerana bagi saya ia adalah tanggungjawab berat. Saya memang suka bawa watak adiwira dan ini bukanlah buat kali pertama kerana sebelum ini, saya pernah membawanya dalam filem, Kapoww!! dan telefilem, Kubung Man.
Jika ada yang membandingkan antara saya dan Saiful Apek, saya tiada masalah dalam hal ini kerana saya menganggap Cicakman 3 amat berbeza dari sekuel sebelum ini.
Untuk babak aksi lagak ngeri pula, saya lakukan sendiri, namun ada juga yang menggunakan khidmat pelagak ngeri dari Thailand untuk aksi yang berat. Kalau ikutkan hati, memang mahu buat sendiri, namun produksi tidak mahu mengambil risiko." -Zizan Razak
"Walaupun bekerja dengan suami sendiri, namun saya tidaklah merasa begitu selesa malah, ada juga rasa janggal. Namun, kami tetap profesional di set penggambaran malah, Yusry memanggil saya dengan nama watak.
Untuk bergandingan bersama Zizan pula, saya cukup seronok kerana Zizan memang terkenal dengan sikap lawaknya. Namun, bila masuk set, dia jadi serius dan perangai itu kembali pada asalnya bila di luar set. Dia juga memberikan kerjasama yang baik di sepanjang proses penggambaran." -Lisa Surihani
INFO
JUDUL : Cicakman 3
Tarikh Tayangan : 12 Mac 2015
Genre : Aksi, Komedi
Pengarah : Yusry Abdul Halim, Ghaz Abu Bakar
Pelakon : Zizan Razak, Lisa Surihani, Fizz Fairuz, Rykal Iskandar, Yus Jambu
Penerbit : KRU Studios, Grand Brilliance, Astro Shaw