Bayaran ciput punca Zalif Sidek tinggalkan MIG?



KISAH artis yang meninggalkan syarikat yang dinaungi bukanlah asing dalam industri seni tempatan. Malah, sebelum ini ramai artis yang selesa bergerak sendiri selepas menamatkan kontrak dengan sesebuah syarikat itu.

Tidak terkecuali bagi artis dibawah naungan Metrowealth Movies Production (MIG), jika sebelum ini Yana Samsudin dengan rela hati meninggalkan MIG dan menguruskan kariernya sendiri, kini tiba pula giliran pelakon yang terkenal menerusi filem Papa I Love ini.

Mengakui menamatkan kontrak bersama Metrowealth Movies Production (MIG) Disember lalu, selepas empat tahun bersama syarikat penerbitan tersebut, Zalif Sidek berkata, tiba masanya dia membawa haluan sendiri.

Meskipun produksi milik Mejar (K) David Teo itu pernah berdepan kontroversi bayaran tidak setimpal, namun bagi Zalif pengundurannya dari MIG bukanlah kerana isu tersebut.

"Saya akui ketika di awal penglibatan saya sebagai pelakon memang saya mendapat bayaran yang rendah.

"Lagipun siapalah saya ketika itu, tetapi MIG satu-satunya syarikat yang memberi peluang kepada saya sehingga dikenali hari ini.

"Malah selepas empat tahun, saya sendiri terkejut apabila mendapat bayaran yang agak tinggi dan di luar jangkaan saya sendiri," katanya.

Ditanya mengapa dia tidak menyambung kontrak bersama MIG, jelas Zalif, ia tiada kaitan dengan sebarang isu atau hubungan kurang baik yang timbul bersama syarikat berkenaan.

"Keluarnya saya dari MIG adalah selepas perbincangan bersama dengan David. Dia sendiri memberi peluang kepada mana-mana artis untuk bergerak sendiri jika telah bersedia.

"Saya yakin, kerjaya bersama MIG masih ada memandangkan beliau sendiri sudah memberitahu akan terus menawarkan projek kepada saya selepas ini," jelasnya.




Tunggu lamaran Astro

Menurut Zalif, rezekinya juga semakin bertambah selepas meninggalkan syarikat berkenaan sekali gus menepis spekulasi yang timbul ketika dia bersama MIG.

"Ada yang kata saya hanya mengambil projek dan berlakon filem-filem MIG sahaja.

"Bukan kerana sebelum ini saya terikat dan tidak boleh menerima tawaran daripada syarikat lain, tetapi menjadi tanggungjawab artis MIG untuk memberi keutamaan kepada syarikat yang kami naungi.

"Adakala bila mendapat tawaran dari pihak lain, saya terpaksa menolaknya kerana sudah ada lain komitmen bersama MIG," katanya.

Dalam pada itu, pelakon kelahiran Terengganu ini berkata, meskipun selesa bergerak sendiri, dia akan mempertimbangkan untuk menerima tawaran menjadi artis bagi mana-mana syarikat jika ia berbaloi.

"Ia merujuk kepada masa depan saya, bayaran dan lain-lain lagi. Sebelum bersama MIG, saya pernah berada di bawah Astro First, manalah tahu mereka berminat bekerja dengan saya semula," katanya.



Previous Post Next Post