PERNAH menjuarai MLM musim pertama dan keempat bukan bermakna Sepahtu berjaya menawan hati juri dan peminat bagi MLM 2014.
Malah, ia juga bukan faktor kumpulan yang dianggotai Jep dan Shuib ini mampu memberi persembahan yang konsisten setiap minggu.
Kerana itu, mereka akur dengan keputusan juri dan peminat yang telah memilih Zero sebagai juara MLM kali ini.
Kata Jep, dia sebenarnya sangat terharu dan puas apabila kemenangan tersebut berpihak kepada Zero.
“Sebelum ini pun mereka ada berjumpa saya dan bercerita mengenai hasrat mereka sekiranya dinobatkan sebagai juara.
“Bagi saya, kemenangan mereka adalah sesuatu yang tepat kerana ia adalah di saat mereka sangat memerlukan wang kemenangan tersebut.
“Apapun, mereka memang layak bergelar juara kerana mampu memberikan persembahan terbaik setiap minggu,” katanya akur pada rezeki yang tidak berpihak kepada Sepahtu.
Menyokong kenyataan Jep, Shuib memberitahu, dia juga tidak berasa kecewa kerana Sepahtu masih mempunyai peminat dan aura tersendiri dengan berada di
kedudukan naib juara.
“Kami pernah merasa pengalaman menjadi juara sebanyak dua kali. Rezeki kami pun setakat ini sudah cukup baik untuk kami menampung kehidupan keluarga.
“Biarlah kali ini mereka yang lebih memerlukan pula menerima manfaat daripada gelaran juara itu,” katanya hubungan Sepahtu cukup rapat dan baik bersama Zero.
Nabil terkejut
Meskipun ramai yang meragui kemampuan satu-satunya peserta solo ini berentap dengan finalis lain, namun siapa sangka anak jati Negeri Sembilan ini telah diangkat sebagai tempat ketiga menerusi MLM kali ini.
Menurut Ahmad Nabil Ahmad atau lebih popular sebagai Nabil ini, dia sebenarnya terkejut dengan keputusan tersebut.
“Apabila Bocey diumumkan berada di kedudukan kelima, saya dah dapat agak yang saya akan mendapat tempat keempat.
“Lagipun, persembahan kumpulan lain boleh dikatakan lebih hebat daripada saya.
“Kerana itu saya membuat percaturan sendiri dan menganggap saya tidak akan mendapat keputusan yang lebih baik berbanding di tempat keempat atau
kelima,” katanya.
Tambah Nabil, dia menganggap kemenangannya kali ini adalah rezeki anak keduanya.
“Sebagai peserta solo, memang saya menghadapi kesukaran mencari sesuatu yang bernas untuk dipersembahkan.
“Malam ini juga, persembahan peserta lain sangat hebat berbanding saya yang hanya sedang-sedang sahaja.
“Alhamdulillah, mungkin ini sudah rezeki saya dan keluarga, lebih-lebih lagi saya bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi,” ujarnya MLM tahun ini adalah yang terakhir buatnya.