Kak Engku teruja jayakan kempen



RAJA AZURA atau lebih dikenali sebagai Kak Engku menyertai menghantar bantuan mangsa banjir menerusi kempen #HarapanSemangatKekuatan.

BENCANA banjir yang melanda negara awal tahun lalu menyaksikan banyak kemusnahan serta kerugian yang dialami penduduk di negeri-negeri sekitar Pantai Timur. Selain itu, mangsa-mangsa banjir yang terlibat turut mengalami kesukaran mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian akibat jalan raya yang terpaksa ditutup setelah dinaiki air.

Walaupun banyak bantuan dihulurkan, namun masih kurang penglibatan sukarelawan yang turun padang bagi membantu menyalurkan bantuan tersebut kepada mangsa banjir yang menghuni pusat-pusat pemindahan.

Menyedari hakikat itu, pengacara dan penyampai radio, Raja Azura memilih untuk mengikuti satu misi menghantar bantuan kepada mangsa banjir bersama anggota keselamatan negara ke Kuantan, Pahang pada Januari lalu menerusi kempen #HarapanSemangatKekuatan anjuran Astro Radio dan Sinar FM.




Kempen tanggungjawab sosial itu dianjurkan bagi memupuk semangat bantu membantu dalam kalangan rakyat di Malaysia.

Bercerita mengenai misi kempen tersebut, tuan empunya nama, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin atau lebih mesra disapa Kak Engku, 43, berkata, penghantaran bantuan kepada mangsa banjir tidak semudah seperti yang disangkakan.

Menurutnya, dia bersama anggota-anggota keselamatan yang lain terpaksa menaiki helikopter serta meredah banjir dengan menggunakan bot, memandangkan kebanyakan jalan darat yang menghubungkan bandar dan pusat pemindahan telah ditutup.

“Memang sukar untuk kami menghantar bantuan kerana hampir setiap kawasan telah dinaiki air. Jadi, cara paling mudah dan cepat ialah dengan menaiki helikopter atau bot.

“Walaupun proses penghantaran bantuan begitu mencabar, namun saya berasa gembira kerana berjaya meringankan beban mangsa banjir pada waktu itu,” katanya ketika ditemui selepas selesai menjalani penggambaran iklan televisyen bagi penjenamaan semula stesen radio Sinar FM di Putrajaya baru-baru ini.

Tambah Kak Engku, selain dapat merasai sendiri pengalaman menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, misi tersebut juga telah membuka matanya tentang cabaran dan dugaan yang perlu dilalui oleh anggota keselamatan sewaktu menjalankan tugas.

“Setelah bersama-sama menjayakan misi tersebut, baru saya sedar tentang erti pengorbanan yang harus dilakukan oleh anggota keselamatan ketika menjalankan tugas.

“Walaupun terpaksa menggadaikan nyawa mengharungi arus banjir, namun mereka tetap menghantar bantuan dan memastikan ia sampai ke pusat-pusat pelindungan,” katanya.

Melanjutkan perbualan mengenai kempen tersebut, pengendali segmen Sinar Pagi itu berkata, selain memberi bantuan kepada mangsa banjir, kru Sinar FM turut melakukan kebajikan secara rawak di tempat-tempat awam yang lain di sekitar ibu kota.

“Kami turut pergi ke beberapa pusat beli-belah dan membayar barangan yang mahu dibeli oleh pelanggan secara rawak.

“Mungkin ada yang berasa pelik dengan tindakan kami. Namun, kami cuma berharap dapat membantu apa yang yang sepatutnya,” kata Kak Engku.

Baharu


RAJA AZURA merasai pengalaman naik helikopter yang penuh bekalan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Bercakap mengenai penglibatannya sebagai penyampai radio, tahun 2015 merupakan tahun kesembilan Kak Engku ke udara sebagai pengendali segmen pagi di stesen radio Sinar FM. Pada masa yang sama, stesen radio yang popular dengan lagu-lagu berentak retro itu turut mengalami perubahan baharu sempena menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-10 pada 1 Mac depan.

Mengakui perubahan tersebut mampu menarik golongan muda untuk mendengar Sinar FM, Kak Engku positif terhadap pengisian baharu yang bakal mewarnai slot pagi kendaliannya bersama Salih Yaacob dan Krill Rashid.

“Selepas penjenamaan semula dengan slogan Menyinari Hidupmu, saya berasa yakin bahawa Sinar FM mampu menarik pendengar, terutamanya golongan muda.

“Jika dahulu, kami memainkan lagu-lagu berentak retro tetapi bermula tahun ini, Sinar FM turut memutarkan lagu-lagu dari tahun 2000 sehingga yang terkini,” katanya.

Tambah Kak Engku, segmen pagi di Sinar FM juga turut disaratkan dengan pengisian menarik, sesuai dengan kematangan usia stesen radio tersebut.

“Selain perubahan dalam konsep pemilihan lagu, pengisian Sinar Pagi juga telah diberi nafas baharu dan disuntik dengan elemen keagamaan.

“Pendengar boleh menikmati seleksi motivasi daripada Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah serta mendengar soal jawab agama secara santai bersama Imam Muda Asyraf,” katanya lagi.

Hala tuju karier

Melihat pada perkembangan kariernya, Kak Engku lebih menyerlah dalam bidang pengacaraan dan penyampaian radio berbanding lakonan. Walaupun berkebolehan berlakon dan menyanyi dengan baik, namun kelibatnya di kaca televisyen mahupun di pentas nyanyian tidak segah jika mahu dibandingkan dengan pilihan karier sekarang.

Bagaimanapun, pengacara rancangan Primadona itu tetap berpegang teguh dengan pendiriannya meletakkan bidang seni sebagai platform yang universal.

“Bidang seni itu luas. Walaupun saya kini selesa bergelar penyampai radio, namun itu tidak bermakna saya perlu melupakan bidang seni yang lain.

“Hati saya tetap ada pada bidang lakonan dan nyanyian. Sekali-sekala, saya masih boleh menyanyi dan berlakon ketika saya bertugas di konti,” katanya sambil tersenyum.



Previous Post Next Post