Tomok mahu saksi kelahiran anak kedua


TOMOK bersama isterinya, Rahayu dan anak sulung mereka, Arrianshah.

Penyanyi dan pelakon popular Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 31, tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya kerana dia dan isteri, Rahayu Abbas, bakal menimang cahaya mata kedua yang dijangka lahir pada minggu hadapan.

Tomok yang sudah mempunyai seorang cahaya mata, Arrianshah Akid, dua tahun sembilan bulan, memberitahu, anak yang bakal lahir itu juga merupakan anak lelaki.

Selain berkongsi kegembiraan bakal menimang anak kedua, Tomok bercerita mengenai pengalamannya menyanyikan lagu tema filem Isyarat Cinta lakonan Adi Putra, Fizo Omar dan Liyana Jasmay yang akan ditayangkan bermula 19 Mac depan.

Pelakon filem Istanbul Aku Datang itu ditemui pada majlis sidang akhbar pelancaran muzik video lagu Tak Harus Memiliki di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini, tidak kisah andai dia dilabelkan sebagai penyanyi lagu tema filem tempatan.




Artis Meletop!: Apakah perasaan Tomok apabila bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi?

Tomok: Alhamdulillah, sudah pasti saya gembira. Perasaan teruja sama sahaja seperti menyambut kelahiran anak pertama. Cuma sekarang saya dalam langkah berjaga-jaga kerana isteri dijangka melahirkan anak pada minggu hadapan.

Adakah anda sudah tahu jantina anak kedua?

Saya bakal dapat seorang lagi anak lelaki. Saya bersyukur kerana sejujurnya tidak kisah dengan jantina anak, asalkan semua selamat dan sihat sudah memadai buat saya. Apa yang pasti selepas ini rumah saya akan bertambah meriah kerana ada dua hero (ketawa).

Bagaimanakah persiapan menyambut anak kedua?

Disebabkan anak pertama saya lelaki dan kedua pun lelaki, jadi banyak pakaian dan barang sedia ada digunakan semula. Namun, ada juga beberapa barang seperti pakaian baharu telah dibeli cuma tidak sebanyak sewaktu membuat persediaan untuk anak pertama dahulu. Rasanya tidak perlu membazir jika sudah ada banyak barang yang masih elok.

Apakah langkah persediaan yang dilakukan anda?

Disebabkan isteri dijangka melahirkan anak pada minggu hadapan, kebanyakan tawaran nyanyian di luar kawasan Kuala Lumpur terpaksa saya tolak. Saya terpaksa menghadkan kerjaya nyanyian dalam masa terdekat kerana mengambil langkah berjaga-jaga andai kelahiran berlaku lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan oleh doktor. Sama seperti kelahiran anak pertama dahulu, kali ini saya masih mahu duduk di dalam bilik bersalin bersama doktor dan melihat sendiri proses kelahiran anak kedua saya. Saya tidak mahu melepaskan momen emas seperti ini, jadi saya tidak kisah untuk menolak tawaran menyanyi, asalkan saya menjadi saksi kepada kelahiran anak kami.

Bercakap tentang projek anda menyanyikan lagu tema filem Isyarat Cinta, Tak Harus Memiliki, bolehkah anda ceritakan sedikit tentang pembabitan tersebut?

Sebenarnya pihak penerbit iaitu Datuk Rosyam Nor meminta komposer Gigie daripada kumpulan Sixth Sense mencipta lagu tema berdasarkan filem Isyarat Cinta yang ketika itu sedang menjalani proses suntingan. Sebelum saya terpilih, sebenarnya ada beberapa nama penyanyi lain. Namun, disebabkan Gigie merupakan sahabat saya dan kami sering bekerjasama, akhirnya dia memilih saya untuk menyanyikan lagu Tak Harus Memiliki.

Nampaknya anda kerap menyanyi lagu tema filem, adakah anda tidak kisah andai dicap sebagai penyanyi lagu OST (runut bunyi) filem?

Sebenarnya ini masuk kali ketiga saya menyanyikan lagu tema filem. Sebelum ini saya telah menyanyikan lagu tema untuk filem Istanbul Aku Datang dan Sejoli. Saya tidak kisah dilabel sebagai penyanyi lagu OST kerana bagi saya, lagu tema sesebuah filem sama penting dengan karya filem itu sendiri. Contohnya filem Ombak Rindu, lagu itu antara pendorong peminat untuk memenuhi panggung wayang. Saya harap lagu nyanyian saya akan memberi impak yang sama terhadap filem Isyarat Cinta.

Boleh ceritakan tentang tayangan amal filem Isyarat Cinta yang akan berlangsung pada 4 Mac depan?

Tayangan amal filem Isyarat Cinta bersama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Wham) akan diadakan pada 4 Mac depan di Cathay e@Curve Damansara, Selangor pada pukul 8 malam. Sekeping tiket dijual pada harga RM100 dan peminat juga berpeluang beramah mesra dengan pelakon filem itu. Jualan tiket amal itu akan diberi kepada mangsa banjir. Buat peminat yang ingin menempah tiket tayangan amal itu boleh hubungi talian 012-257 8884 dan 017-242 9699.



Previous Post Next Post