Anis Aneesa kembali berdangdut



ANIS bersama Pengarah Urusan ZZ Entertainment, Muzaffar Mustapa (tengah) dan penyanyi serta komposer, Dior (kanan) memotong kek sebagai simbolik pelancaran single terbaharu bertajuk Terusik.

Setelah hampir dua tahun lenyap daripada arus seni tempatan, penyanyi Anis Aneesa muncul semula dengan single bertajuk Terusik. Pernah popular dengan lagu Qasidah Cinta, penyanyi yang sinonim dengan irama dangdut itu mahu membuka lembaran baharu dengan sebuah single.

Masih mengekalkan konsep dangdut, namun lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi Dior atau Shahril Shaari itu cuba menyuntik kelainan. Membawa elemen dangdut groove, lagu berkenaan seperti mengimbau semula nostalgia kegemilangan irama tersebut suatu ketika dahulu.

Berusaha mencuri perhatian peminat, Anis yakin taruhan baharunya itu bakal memberi impak positif kepada peminat.

“Kini, saya telah bersedia untuk berjuang habis-habisan dalam mempromosikan lagu Terusik termasuk mengatur strategi dalam usaha meraih perhatian peminat,” jelasnya usai melancarkan single berkenaan Terusik di Pusat Hiburan Karaoke Neway, One Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.


Sepanjang tempoh dua tahun sebelum ini, kehidupan Anis jauh daripada kemeriahan dunia hiburan kerana fokus kepada keluarga.

Perkahwinannya dengan seorang lelaki warga Syria yang hanya dikenali sebagai Abdul pada tahun 2012 juga berbunga bahagia apabila mereka dikurniakan cahaya mata yang diberi nama Muhammad Kaiser, 2 tahun.

“Setelah melahirkan anak pertama, saya mengalami masalah berat badan yang naik secara mendadak. Selain itu, kesibukan membantu suami menguruskan restoran di Rawang juga antara kekangan untuk kembali menyanyi.

“Sepanjang tempoh dua tahun menyepi, saya masih lagi menerima undangan persembahan namun ia tidak mendapat liputan media cetak mahupun elektronik,” jelas penyanyi yang mempunyai nama sebenar Anis Hazwani Mushidi itu ceria.

Sebagaimana strategi yang sering digunakan rata-rata penyanyi, Anis yang berhasrat untuk tampil dengan sebuah album juga harus melancarkan single demi single bagi meneruskan survival muziknya.

Untuk lagu Terusik, Anis bekerjasama dengan syarikat rakaman ZZ Entertainment, manakala edaran dilakukan oleh Warner Music.

Mengakui rentak lagunya itu dipengaruhi oleh muzik dangdut dari Indonesia, Anis bagaimanapun mengambil idea tersebut dan diolah semula mengikut cita rasa pendengar tempatan.

Tambahan, Dior yang berperanan sebagai komposer, penulis lirik dan pengarah klip video lagu Terusik merasakan, kombinasi sebegitu mampu menarik semula minat pendengar khususnya golongan muda terhadap dangdut.

“Kami tidak meniru lagu dari Indonesia, sebaliknya mengambil konsep yang sama untuk dijadikan eksperimentasi dalam karya terbaharu ini.

“Saya yakin lagu ini akan memberi pandangan baharu kepada pendengar tentang perkembangan dunia muzik tempatan,” jelas Dior bersungguh-sungguh.

Disuakan persoalan, adakah kehadiran Anis itu bersaing dan mengikut jejak ratu dangdut Amelina yang turut melakukan perkara yang sama, Anis ada jawapan tersendiri.

“Kemunculan semula saya ini juga tidak membawa sebarang maksud untuk mencabar kedudukan Amelina kerana dia merupakan diva dalam irama dangdut dan mempunyai pengikutnya tersendiri,” jelas Anis.

Meskipun menjadikan dangdut sebagai genre pilihan, Anis sebelum ini menyifatkan penglibatannya dalam irama itu yang bermula sekitar 2005 bertitik tolak daripada rasa terpaksa.

“Perasaan itu berpunca daripada rasa kekok selain banyak mendengar tanggapan negatif tentang muzik dangdut.

“Namun, tanggapan begitu hilang dengan sendiri sebelum saya menzahirkan album mini berjudul Qasidah Cinta kerjasama dengan penyanyi Ajai pada 2011,” ujar penyanyi yang berusia 29 tahun itu.

Pada era popularitinya, Anis sempat membina nama sehingga ke Indonesia, Singapura dan Brunei selain berusaha menembusi pasaran di India. Bakat dan kehebatan menyanyikan lagu-lagu Bollywood juga melayakkan Anis menyertai program realiti Saregamapa Challenge Asia Pasifik pada tahun 2008 yang berlangsung di Mumbai, India.

Selain itu, Anis sempat merakamkan album kompilasi Lagenda Cinta & Dang Dang Dut 3 bersama syarikat rakaman Iwan Entertainment pada 2005, mini album Kau Tetap Di Hati (2008) dan album kompilasi Anugerah menerusi lagu Abadi Selamanya (2009) yang diterbitkan oleh Datuk Adnan Abu Hassan.

Previous Post Next Post