Siti Nurhaliza rai kaum ibu 15 Mei ini



TERIMA kasih ibu, engkaulah ratu hatiku’. Itulah ungkapan indah yang sering kali diucapkan kepada insan yang bergelar ibu sempena Hari Ibu. Tiada harta yang tinggi nilainya selain curahan kasih sayang seorang ibu kepada anak-anaknya tanpa mengira saat duka dan suka.

Malahan, setiap tahun, masyarakat di seluruh dunia menyambut Hari Ibu pada setiap Ahad minggu kedua Mei. Tahun ini, sambutan Hari Ibu jatuh pada 10 Mei.

Tidak ketinggalan, artis tersohor Datuk Siti Nurhaliza turut meraikan hari istimewa itu bersama-sama ibu kesayangannya, Siti Salmah Bachik. Bagaimanapun, jelas pelantun lagu Terbaik Bagimu ini, sambutan Hari Ibu untuk tahun ini bergantung sepenuhnya atas kelapangan masa ibunya itu.

Hal ini kerana, kata Siti, ibunya kini sedang sibuk mengurus dan menjaga neneknya, Teh Tek yang uzur akibat sakit tua.


"Mak kini berada di kampung kerana menjaga nenek yang uzur. Jika Mak ada di Kuala Lumpur, agak mudah untuk kami adik beradik berkumpul dan meraikannya bersama-sama.

"Usia nenek kini menjangkau 90 tahun dan keadaannya sangat tidak mengizinkan," katanya kepada Zass ketika ditemui selepas sidang media sempena Mother’s Day Miracle Night With Datuk Siti Nurhaliza, kelmarin.

Begitu menghargai pengorbanan ibunya, penyanyi berusia 36 tahun ini turut meluahkan rasa kagum terhadap ibu kesayangannya itu.

"Secara ikhlas, sebagai seorang anak, saya bangga dengan Mak. Lihat saja, pengorbanannya menjaga dan menguruskan kami adik beradik, menghabiskan masanya dengan arwah Abah dan kini menjaga ibunya sendiri. Saya sangat kagum dengannya, malah saya sangat berharap untuk menjadi sehebat Mak," azamnya.

Selepas tiga tahun tidak mengadakan persembahan sempena Hari Ibu, isteri kepada Datuk Khalid Muhammad Jiwa ini bakal menghiburkan 600 tetamu di Kristal Hall TM Convention Centre (TMCC) Bangsar, Kuala Lumpur pada 15 Mei ini.

Tidak keseorangan, sebaliknya pelantun lagu Jaga Dia Untukku ini bakal berkolaborasi dengan dua pelawak popular iaitu Nabil dan Angah Raja Lawak yang bertindak sebagai pengacara majlis.

"Pemilihan Nabil dan Angah adalah hasil perbincangan bersama penganjur. Tambahan pula, ini adalah kali pertama saya bekerjasama dengan Nabil manakala Angah pula, seperti sedia maklum, saya selalu menonton persembahannya bahkan dia juga boleh menyanyi dengan baik," katanya.

Bakal menyampaikan lebih lapan lagu, pelantun lagu Aku Cinta Padamu ini memberitahu, terdapat satu segmen khas di antaranya dan kedua-dua pelawak tersebut.

"Saya percaya dengan kesesuaian dan keserasian kami bertiga malah kami juga akan menyanyi bersama-sama.

"Apa yang saya harapkan, gandingan ini akan menghidupkan lagi perjalanan majlis seterusnya menimbulkan suasana meriah dan menarik," katanya.

Tidak hanya akan memasak untuk si ibu bertuah, pelantun lagu Cindai ini juga bakal membawa kejutan lain kepada seorang ibu bertuah yang dipilih.

"Si ibu bertuah bakal membawa pulang hadiah khas daripada saya. Ia merupakan barangan kesayangan saya.

"Tapi, saya tidak mahu memberitahu dengan jelas bagaimana kriteria yang menyebabkan seseorang ibu terpilih. Biarlah ia menjadi rahsia sehingga pada hari tersebut. Saya mahu melakukannya secara spontan," katanya.

Malam amal Mother’s Day Miracle Night With Datuk Siti Nurhaliza dianjurkan oleh OMGFest Venture dan mendapat tajaan dari kosmetik Nouvelles Vissages, Laurea Home Furnishing, Que Tres Hermanos, Cool Hijab, SimplySiti dan Pak John Steamboat.

Tiket yang ditawarkan bermula RM3,990 hingga RM9,990 semeja. Untuk maklumat lanjut, sila emel ke booking@omgfest.my dan tempahan secara online di www.redtix.airasia.com atau www.omgfest.my.

Sokongan terhadap Tun M

Sebagai penyanyi yang telah berkecimpung selama 20 tahun dalam industri seni, Siti adalah antara selebriti yang sangat kurang dikaitkan dengan kontroversi.

Bagaimanapun, tindakannya dalam menyatakan sokongan secara terbuka kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di laman Instagramnya secara tidak langsung menarik perhatian ramai sekali gus mengundang pelbagai reaksi dan spekulasi daripada masyarakat.

Masakan tidak sebelum ini, Tun M pernah meluahkan isi hatinya dengan menyatakan dirinya kini keseorangan sewaktu menghadapi kemelut di antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya tidak boleh menghalang jika ada pihak yang mahu melihatnya daripada sudut politik. Ia terpulang pada sudut pandangan masing-masing.

"Ketika memuat naik status berkenaan, saya langsung tidak berfikir apa-apa. Status itu hanyalah merupakan satu sokongan moral daripada saya kepada beliau.

"Tambahan pula, saya sebagai salah satu generasi yang membesar dalam era pemerintahan beliau," katanya.

Selain Siti, pelakon jelita Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa sebagai Che Ta juga melakukan tindakan serupa di laman Instagramnya.

Previous Post Next Post