Cita Citata tolak tarian erotik



Pertemuan pihak media tempatan dengan Cita Citata, penyanyi dangdut sensasi dari Indonesia dihiasi dengan canda tawa. Masakan tidak, penyanyi yang hadir ke Malaysia untuk majlis pelancaran single popularnya Sakitnya Tuh Di Sini di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, seorang yang mudah mesra dan lucu.

Melihat fizikal tubuh genitnya dan keceriaan wajah, tidak terpancar beban berat yang telah ditanggung Cita atau nama sebenarnya Cita Rahayu. Pada usia 21 tahun, dia telah bergelar janda muda apabila diceraikan secara rasmi oleh suaminya, Galih Purnama di Pengadilan Agama Bandung pada 10 Mac lalu.

Menariknya, Cita yang berkahwin pada usia 18 tahun hanya sempat memegang status isteri sebulan sahaja. Hal ini kerana lelaki yang dinikahinya atas dasar cinta itu menghilang selama tiga tahun sebelum muncul mengaku dirinya sebagai suami Cita saat dia meniti populariti sebagai penyanyi.

Sempat menafikan berita perkahwinan dengan Galih Purnama, kata Cita sambil tertawa, dia tidak pernah berniat untuk menyembunyikan status dirinya yang sebenar kepada umum. Cuma pada peringkat awal bergelar penyanyi, pihak media di negaranya tidak bertanya tentang status dirinya.


“Saya tidak berniat sembunyikan status diri, cuma tiada pihak yang bertanya terus kepada saya. Saya sering disoal bila mahu ada kekasih atau mahu berkahwin bukannya bila mahu berkahwin lagi? Dua soalan itu sangat berbeza maksudnya. Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah. “Kemunculan bekas suami secara tiba-tiba di media dengan mempersoalkan status perkahwinan saat saya sedang popular, akhirnya menyelesaikan masalah status yang saya hadapi selama ini.

“Sekarang saya sudah sah bercerai di mahkamah syariah dan boleh meneruskan hidup dengan aman tanpa sebarang kebimbangan,” tutur Cita panjang lebar.

Bercerita lanjut tentang perkahwinan yang terbina pada usia belasan tahun itu, kata Cita, mereka berdua masih muda dan hanya mengikut kata hati.

Jelas wanita itu, sepanjang tempoh ditinggalkan bekas suaminya, Galuh tidak pernah menghubunginya untuk menyelesaikan penceraian mereka di mahkamah syariah.

Pengalaman ditinggalkan suami menjadikan Cita lebih matang dan mempunyai kekuatan untuk berhijrah ke Jakarta bagi mengejar impiannya bergelar seorang penyanyi.

“Darah muda dan tidak berfikir panjang, saya hanya sempat bergelar isteri selama sebulan sahaja. Bekas suami menghilangkan diri tanpa khabar berita dan sejak itu saya menjalani hidup seorang diri. Jika mengikut agama, saya sudah lama bercerai tetapi mengikut undang-undang saya sah bercerai secara rasmi pada 10 Mac lalu.

“Pengalaman lalu benar-benar mematangkan saya. Namun, saya tidak pernah serik dengan perkahwinan kerana pengalaman itu menjadikan saya lebih kuat untuk berhijrah ke Jakarta. Soal berkahwin, saya pernah berkata mahu menamatkan zaman solo pada usia 25 tahun tetapi buat masa ini hanya ingin fokus terhadap karier nyanyian sahaja,” katanya yang turut menafikan hamil sebelum berkahwin dan menggugurkan kandungan.


WALAUPUN membawa irama dangdut, Cita enggan bergoyang dan menari sensual seperti kebanyakan penyanyi dangdut yang lain.

Jazz ke dangdut

Beralih bicara kepada kariernya, Cita yang mula menyanyi sejak berusia 10 tahun mengaku dia menjadi penyanyi dangdut kerana itu merupakan cara terpantas untuknya mendapatkan wang dan popular berbanding irama jazz yang diminati. Strateginya menjadi, hanya selepas lapan bulan, single Sakitnya Tuh Di Sini dilancarkan di Indonesia, Cita meraih populariti yang luar biasa.

Meskipun kini berdiri sama tinggi dengan penyanyi dangdut terkenal lain seperti Inul dan Dewi Persik, perjalanan kehidupan Cita penuh liku. Jelas Cita, perkara paling mahal dalam hidupnya adalah proses sebelum menjadi penyanyi terkenal.

“Kegagalan membuahkan kejayaan. Walaupun kenyataan itu klise tetapi ia berlaku kepada saya. Proses sebelum terkenal itu cukup mahal harganya. Saya sempat berada di bawah, pernah tidak diberi ruang, ditolak mentah-mentah dan bakat diperlekehkan. Kesukaran hidup sebelum terkenal membuatkan saya bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini,” luahnya.

Akui Cita, pada awalnya dia menolak untuk menyanyi lagu dangdut kerana irama itu tidak masuk dengan jiwanya yang lebih meminati jazz. Selain itu, irama dangdut sering dikaitkan dengan perkara negatif termasuk tarian sensual dan lirik lagunya hanya sesuai untuk golongan dewasa sahaja.

Bagaimanapun pendirian Cita berubah saat pertama kali dia mendendangkan lagu dangdut sekitar tahun lalu.

“Fikiran saya berubah selepas melihat penonton turut menari dan menikmati persembahan saya. Sejak itu, saya mula serius menyanyikan lagu dangdut. Selain mudah diterima peminat, menyanyi lagu dangdut merupakan cara terpantas untuk saya memperoleh pendapatan yang lumayan,” akui Cita.

Sambung Cita lagi, dia enggan dilabel sebagai penyanyi dangdut murahan dan kampungan. Caranya, Cita tidak akan mempamerkan gaya tarian erotik dan menerapkan elemen moden dalam setiap lagu yang didendangkan.

“Saya mempunyai kebebasan untuk memilih lagu. Justeru, setiap lagu dangdut nyanyian saya mempunyai elemen moden supaya tidak kedengaran seperti lagu kampungan. Maksudnya, lagu tersebut boleh dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Saya juga menolak untuk menari penuh sensual dan erotik seperti kebanyakan penyanyi dangdut yang lain kerana dangdut tidak semestinya perlu bergoyang untuk menarik perhatian peminat,” ujar anak bongsu daripada enam adik-beradik itu.


PERTAMA kali datang ke Malaysia, Cita teruja untuk menghiburkan peminatnya pada mini konsert yang berlangsung pada 9 dan 10 Mei ini.

Konsert pertama di Malaysia

Ironi di Indonesia Cita dilihat berpakaian agak terdedah sama seperti penyanyi dangdut yang lain. Namun ketika muncul pada majlis pelancaran single Sakitnya Tuh Di Sini di Kuala Lumpur, penyanyi itu mengenakan pakaian yang lebih sopan dan tertutup, persis menghormati tata susila rakyat Malaysia.

Memakai baju lengan panjang dan tertutup sehingga bahagian leher serta skirt melebihi paras lutut, Cita menjelaskan dia lebih selesa menjadi dirinya sendiri. Menafikan dirinya seorang penyanyi yang seksi, kata Cita, terdapat batasan dalam soal pemakaiannya.

“Saya lebih selesa menjadi diri sendiri. Bagi saya seksi itu tidak perlu memakai pakaian yang terdedah. Kecantikan dalaman dan keyakinan diri secara automatik membuatkan seseorang wanita itu terlihat lebih seksi.

“Walaupun saya seorang penyanyi dangdut, tidak perlu berpakaian terdedah yang keterlaluan. Saya mahu imej penyanyi dangdut dilihat bersih dan lebih berkelas, bukannya dengan tayangan bentuk badan serta tarian yang erotik. Sebabnya, saya sendiri pernah mempunyai persepsi negatif tentang irama dangdut sebelum menceburkan diri sebagai penyanyi dangdut,” katanya yang tidak menolak tawaran menyanyikan lagu genre berbeza daripada dangdut.

Berbicara tentang single Sakitnya Tuh Di Sini yang turut popular di Malaysia, Cita terkejut kerana tidak menyangka lagu nyanyiannya diterima baik oleh peminat di sini. Tuah lagu tersebut telah membawa Cita mengadakan mini konsert pertama di Malaysia di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 9 Mei dan Menara Kuala Lumpur pada 10 Mei ini.

“Saya teruja datang ke Malaysia untuk mempromosikan lagu dangdut. Rasa seperti tidak percaya kerana turut diundang mengadakan mini konsert di dua lokasi berbeza. Saya tidak boleh berkongsi banyak tentang persembahan pada mini konsert kerana mahu beri kejutan kepada peminat yang hadir. Peluang sudah diberikan dan pastinya saya akan memberikan persembahan terbaik,” ujar Cita menutup bicara.

Buat peminat yang ingin menyaksikan mini konsert pertama Cita Citata di Malaysia, tiket berharga RM40 boleh didapati di pintu masuk lokasi konsert berkenaan.

Previous Post Next Post