MODEL terkenal, Zahnita Wilson mengakui dirinya kini berbahagia bersama suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Ghafoor di samping dua anaknya, Zahrafeena dan Zasharayna.
"Saya bahagia. Semuanya dalam keadaan baik-baik saja.
"Kami masih mahu kekal sebagai sebuah keluarga," katanya kepada Zass ketika ditemui selepas majlis pelancaran Festival Tari Malaysia (Festari) 2015, baru-baru ini.
Sebelum ini, sekitar Disember 2013, pelakon filem Kuliah Cinta ini pernah memfailkan penceraian ke atas suaminya, bagaimanapun keputusan itu ditarik semula kira-kita lima bulan selepas itu.
Namun begitu, dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai kehidupan keluarganya itu.
Dalam pada itu, menyedari hayat kerjayanya sebagai model tidak berpanjangan, pemilik nama sebenar Zahnita Dorothy Hussein Wilson mengambil inisiatif lain dengan menjadi pensyarah di sebuah universiti swasta.
"Sudah lebih dua bulan saya berkhidmat sebagai pensyarah secara separuh masa.
"Saya sukakannya kerana ia cabaran baharu buat saya. Benda baharu dan ia memberi pengalaman yang sangat bermakna.
"Mungkin selepas ini saya akan cuba untuk tampil secara sepenuh masa," katanya.
Mengulas mengenai aktiviti lakonannya pula, Zahnita mengakui rindu untuk kembali berlakon.
"Saya akui saya rindu untuk berlakon semula. Tapi saya bosan apabila kerap diberi watak yang sama.
"Saya teringin membawakan sesuatu watak yang mencabar dan saya masih menunggunya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zahnita bakal terlibat secara langsung dalam persembahan tarian pada malam kemuncak Festival Tari Malaysia (Festari) 2015 pada 6 Jun ini.
Yakin diri dan suka akan cabaran baharu menyebabkan ibu beranak dua ini menerima pelawaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) untuk menyertainya.
Atas sebab itu jugalah, sewaktu diberi tawaran untuk terlibat dalam Festari 2015, dia tidak berfikir panjang untuk menerimanya.
"Keinginan untuk menari itu memang ada, tetapi tidaklah secara profesional. Biasanya saya sekadar suka-suka di rumah bersama keluarga.
"Jadi, apabila dapat peluang begini, saya menerimanya kerana mahu mencabar diri," katanya,
Zahnita banyak terlibat di pentas peragaan juga memberitahu, biarpun bidang itu di luar kebolehannya, dia cukup optimis untuk memberikan persembahan tarian yang terbaik.
"Kalau di pentas peragaan, saya perlu berjalan dengan penuh gaya dan yakin diri.
"Saya percaya, di pentas tarian juga segala aspek yang disebut itu dihimpunkan dalam memastikan lenggok serta bahasa tubuh yang disampaikan kena pada tempat," katanya.