Remy Ishak akui belum bersedia



SETIAP orang pasti mempunyai impian dan apabila peluang tiba di depan mata, pasti tidak rela melepaskan ia sebegitu sahaja.

Namun berbeza dengan aktor kacak, Remy Ishak, dia terpaksa menolak lamaran yang tiba kerana belum bersedia sepenuhnya.

Bagaimanapun ujar aktor berusia 33 tahun ini, lamaran itu bukan berkaitan pasangan hidup, sebaliknya lamaran untuk menjadi pengarah.

"Saya tidak nafikan menerima beberapa tawaran dan lamaran syarikat produksi yang berhasrat mengambil saya sebagai pengarah.

"Keinginan menjadi pengarah itu ada, manusia itu semua bernafsu, saya pun ada nafsu ke arah bidang pengarahan.

"Tetapi saya tahu jika saya ikutkan nafsu pada masa sama ilmu saya tidak cukup nanti tidak guna. Jadi lebih baik saya kumpul pengetahuan, kemahiran, bakat dan pengalaman sebanyaknya buat masa ini.

"Apabila saya rasa sudah puas dan cukup ilmu di dada, barulah saya akan bersedia dengan menjadi pengarah. Namun buat masa sekarang saya mahu fokus bidang lakonan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui Zass pada penggambaran filem Redha - Beutiful Pain di Pusat Akuatik Shah Alam, baru-baru ini.


Meskipun sudah lapan tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, anak kelahiran Melaka ini menegaskan masih banyak ilmu yang perlu dikutip sebagai anak seni.

"Banyak juga pengarah yang mempunyai nama besar di negara ini dan saya masih belum berpeluang bekerja dengan mereka, sebab itu saya masih berlakon.

"Saya mahu berlakon dalam pelbagai watak dan suasana kerana dunia lakonan ini besar," katanya.

Mengulas pula mengenai watak yang diimpikan selama menjadi pelakon yang masih belum tercapai, pelakon yang popular dengan drama Nur Kasih ini memberitahu, impian dalam sesuatu watak itu bukanlah menjadi keutamaannya kini.

"Lebih utama penghayatan lakonan yang saya bawakan dapat dirasai penonton seterusnya berkongsi rasa dengan mereka.

"Lagi pula, lakonan saya masih banyak yang perlu diperbaiki, daripada saya pilih watak begini begitu, lebih baik saya tumpukan pada kualiti lakonan yang diberikan," katanya.

Ditebak dengan kehadiran muka-muka baharu di dalam industri, Remy berkata, dia sedikit pun tidak terkesan apatah lagi cemburu dengan kehadiran mereka.

"Saya memandang ia sebagai satu pertandingan positif, dalam apa juga bidang akan lahir produk baru dan jika ia datang dengan tujuan untuk bertahan lama bersama kualiti dan selari untuk mengembangkan industri hiburan, itu baik.

"Saya tidak cemburu. Dunia perfileman dan drama kini belum cukup bagus, jadi dengan kehadiran mereka boleh bersama mencapai perkembangan industri ini," katanya.


Cabaran menjadi jurulatih

Dalam pada itu, Remy yang kini sibuk menjalani penggambaran filem Redha – Beutiful Pain arahan Tunku Mona Riza, terbitan Current Pictures Sdn Bhd berkata, wataknya sebagai jurulatih renang bernama Azim memberi cabaran yang tersendiri buatnya.

Ujar Remy, dalam filem ini, dia perlu melatih seorang kanak-kanak mempunyai masalah autisme bernama Daniel.

"Cabaran sepanjang berlakon dalam filem ini memerlukan saya banyak bergerak dan dek kerana itu, bahu saya kembali sakit kerana kecederaan yang pernah saya alami ketika zaman muda dahulu.

"Menjadi seorang jurulatih memang perlu banyak babak berenang dan ada juga babak saya perlu menyelamatkan mangsa dengan cara profesional di lautan luas.

"Saya tahu berenang pada kehidupan biasa, tetapi bukanlah secara profesional. Saya perlu tahan sakit sikit apabila perlu banyak bergerak dan ia memang satu cabaran untuk filem kali ini," katanya.

Previous Post Next Post