Ledakan koleksi jenaka 15 saat Ucop



UCOP tidak menyangka percubaannya memuat naik video jenaka mendapat sambutan hangat.


Usai menjayakan sebuah babak tarian dalam teater muzikal Baik Punya Cilok di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur sekitar Mac lalu, penari bernama Yusof Hashim, 22, bergegas ke bilik menunggu di belakang pentas bersama teman-teman penari yang lain.

Sementara menunggu giliran untuk kembali beraksi, salah seorang daripada rakannya mencadangkan supaya mereka mencuba sebuah aplikasi baharu yang dipanggil Dubsmash.

Menerusi aplikasi yang mampu merakamkan video mimik wajah sambil dilatari bermacam audio popular tersebut, Yusof atau lebih senang disapa sebagai Ucop memuat naik video Dubsmash pertamanya, I’m an Albatraoz di laman Instagram miliknya, @ucopppp.

Melewati rutin tersebut seperti pemilik telefon bimbit yang lain, graduan jurusan komunikasi dari Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam, Selangor itu tidak pernah membayangkan radar popularitinya naik mendadak selepas video yang dihasilkannya menjadi viral.


Ketagih

“Sebenarnya, saya tidak tahu menahu tentang aplikasi tersebut sebelum diberitahu oleh rakan-rakan. Lagipun, saya sangat sibuk dengan persembahan tarian, jadi, saya tidak ambil pusing sangat dengan perkembangan aplikasi terkini.

“Namun, selepas diajak mencuba, saya pun terjebak merakamkan video Dubsmash dan memuat naik di Instagram,” tutur penari sepenuh masa itu memulakan bicara.

Jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu menambah, keasyikan melakukan proses rakaman suara dan mimik muka menerusi aplikasi tersebut menjadikannya sedikit ketagih, sehingga mendorong untuk menghasilkan lebih banyak klip video.

“Selepas selesai memuat naik video pertama, saya jadi ketagih, saya sanggup merakamkan video Dubsmash sehingga lewat malam.

“Agak keterlaluan, tetapi ia merupakan satu proses yang menyeronokkan,” katanya sambil tertawa.

Namun, tanpa diduga, ketagihan yang terbit dalam diri Ucop terhadap aplikasi berkenaan telah membuka lembaran baharu apabila secara tiba-tiba diterima sebagai seorang penghibur, khususnya oleh pengguna internet.

“Khalayak umum mula mengenali saya selepas kompilasi video yang saya rakam dimuat naik ke Facebook oleh individu yang tidak dikenali.

“Kebetulan, individu tersebut turut mempunyai bilangan pengikut yang sangat ramai.

“Selepas itu, pengikut saya di Instagram terus meningkat. Situasi itu menyebabkan saya bertambah rancak menghasilkan video Dubsmash dan memenuhi beberapa permintaan pengikut di Instagram,” ujar Ucop yang kini memiliki kira-kira 129,000 pengikut berbanding hanya 1,095 sekitar beberapa bulan lalu.

Kualiti

Berbicara mengenai pengisian video-videonya, Ucop memberitahu, dia menghasilkan jalan cerita dan watak mengikut dialog yang terkandung dalam aplikasi tersebut.

“Pada mulanya, saya merakamkan video Dubsmash mengikut cita rasa sendiri secara spontan.

“Tetapi, selepas pengikut di Instagram mula meningkat, saya cuba menjaga kesinambungan dan memperkenalkan watak-watak agar penonton tidak berasa bosan,” katanya yang turut memperkenalkan watak-watak antarabangsa bagi menarik perhatian penggemar Dubsmash dari negara luar.

Menerusi video-video yang disiarkan, Ucop telah memperkenalkan tiga watak utama iaitu Tilagesh, karakter seorang gadis India, Rowena (gadis Filipina) dan Siska (watak dalam drama bersiri Indonesia popular Bawang Putih Bawang Merah).

Setiap watak yang diketengahkan pula mempunyai ciri-ciri yang berbeza, sesuai dengan perjalanan cerita yang diangkat menerusi kapsyen video.

Ditanya mengenai proses pembikinan video Dubsmash, Ucop memberitahu, dia memerlukan masa selama 30 minit sebelum menyiapkan video Dubsmash yang berdurasi selama 10 hingga 15 saat.

“Jika dikira tempoh masa untuk solekan dan rakaman, saya hanya memerlukan setengah jam untuk menyiapkan sebuah video Dubsmash.

“Saya sangat mementingkan hasil akhir dalam setiap video yang dimuat naik. Jadi, soal kualiti perlu dititik-beratkan dalam setiap video tersebut,” katanya yang mementingkan kreativiti dan mempunyai bakat tarian secara semula jadi.

Bukan selebriti

Walaupun angka pengikut Instagram makin meningkat, Ucop tidak melihat pertambahan tersebut sebagai tiket untuk bergelar selebriti popular.

Tutur Ucop, sesiapa sahaja mampu dikenali menerusi laman sosial, asalkan, apa yang dimuat naik menjadi viral dan dikongsikan orang ramai.

“Saya tidak anggap diri sebagai selebriti sebab saya sendiri tidak tahu definisi sebenar gelaran itu.

“Bagi saya, semua orang mampu mengecapi populariti menerusi laman sosial. Muat naik apa sahaja, jika sudah viral, maka mereka akan popular,” ujar Ucop.

Jejaka berkulit sawo matang itu tidak menolak, jika gelaran selebriti yang diterimanya kini membuka ruang dan peluang cerah menceburkan diri dalam industri seni kelak.

“Saya memang teringin untuk masuk ke dalam industri hiburan. Mungkin sebagai pelakon atau pengacara.

“Lagipun, ramai antara pengikut di Instagram tidak putus-putus memberikan galakan agar saya cuba berlakon,” katanya.

Berbicara lanjut mengenai impian itu, Ucop bagaimanapun tidak akan meninggalkan dunia tarian yang sudah menjadi darah daging sejak berusia 12 tahun.

“Saya sangat suka menari. Saya sudah menari sejak di bangku sekolah. Jika ditakdirkan suatu hari nanti saya bergelar selebriti dan masuk ke dalam industri hiburan, saya mahu bergelar penari selebriti.

“Dalam erti kata lain, bidang tarian memang tidak akan saya tinggalkan,” tegasnya.

Sambung Ucop, perancangan masa depan juga difikirkan, memandangkan dia tidak boleh melakukan perkara yang sama sampai bila-bila.

“Saya tidak melihat diri saya akan terus menghasilkan video Dubsmash dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang. Saya suka menghiburkan dan memberikan inspirasi kepada orang lain.

“Jadi, saya bercita-cita untuk membuka studio tarian atau bergelar pereka tari suatu hari nanti,” katanya.

Masih menyesuaikan diri dalam sorotan lampu glamor dunia hiburan, Ucop tidak menafikan, ada menerima kritikan yang kurang enak sepanjang menghasilkan video Dubsmash di Instagram.

Ujarnya, perkara tersebut sudah dapat ditebak dan menganggap situasi itu sebagai satu perkara normal dalam dunia hiburan.

“Tidak dinafikan ramai yang mengkritik penampilan dan kandungan video saya. Tetapi, saya lakukan semata-mata untuk menghiburkan pengikut di Instagram, tidak lebih daripada itu,” ujar Ucop yang tidak membaca komen-komen negatif yang dilemparkan kepadanya.

Previous Post Next Post