Titik bahagia Tomok



Tomok mengadakan majlis akikah anak keduanya, Andrashah Iman dan majlis sambutan hari lahir yang ketiga Arrianshah di kediaman mereka di Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Kepetahan dan kecomelan anak lelaki sulung vokalis kumpulan New Boyz, Tomok sememangnya mencairkan hati sesiapa sahaja yang melihat kanak-kanak bernama Arrianshah Akid itu.

Kekerapan Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 31, memuat naik video Arrian (nama panggilan Arrianshah) yang fasih berbahasa Inggeris sentiasa dinanti-nantikan, sehingga muncul usikan nakal bahawa anak sulungnya itu lebih popular berbanding Tomok.

Tidak kisah berkongsi keletah Arrian yang sedang membesar, Tomok bagaimanapun mengakui, dia sentiasa memantau perkembangan anaknya itu di laman sosial agar tidak didorong ke arah negatif.

“Arrian memang ramai peminat. Kadangkala gambar atau videonya yang dimuat naik boleh mencecah ribuan Like di Instagram. Saya tidak kisah jika orang mengatakan dia lebih popular berbanding saya kerana Arrian masih kecil, isu popular atau tidak, belum difahaminya.

“Malah ada yang bertanya, adakah Arrian pernah ditawarkan berlakon iklan komersial, jawapannya, ya! Tetapi, saya dan isteri, Siti Rahayu Abas (Ayu) masih meneliti apa yang terbaik untuk Arrian,” katanya ketika ditemui pada majlis akikah anak keduanya, Andrashah Iman dan sambutan hari lahir ketiga Arrian di Taman Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain bijak berkata-kata, Arrian turut dilihat mewarisi bakat nyanyian Tomok apabila boleh menyanyi mengikut alunan piano dan tidak kekok apabila aksinya dirakam.

Namun, secara jujurnya Tomok memberitahu, hatinya berat untuk melihat anak-anak turut berkecimpung dalam bidang seni.


“Saya mahu mereka membesar dan fokus kepada bidang akademik. Hati saya memang tidak senang untuk membiarkan anak-anak terlibat di dalam dunia artis kerana saya tahu, situasinya tidak seindah yang digambarkan.

“Untuk permulaan, biarlah anak-anak saya membesar seperti kanak-kanak lain, tumpukan pada pelajaran dan didikan agama dahulu. Jika sudah besar dan mereka masih mahu menjadi anak seni, saya tidak akan halang,” jelasnya lagi.

Mahu anak perempuan

Umum tahu, Tomok dan Ayu baru sahaja menimang cahaya mata kedua iaitu Andrashah yang berusia tiga bulan Februari lalu. Bersyukur dikurniakan dua orang putera, namun Tomok tidak dapat menafikan impiannya untuk menimang kehadiran seorang puteri dalam rumah tangga yang dibina sejak Julai 2011 itu.

Tambah juara One In A Million musim ketiga itu, isterinya juga menyatakan hasrat sama untuk memiliki anak perempuan bagi melengkapi keluarga kecil mereka.

“Ayu memang mahukan anak perempuan dan kalau boleh, kami mahu dua orang anak perempuan.

“Insya-Allah kami akan berusaha, cuma masa juga memainkan peranan kerana Ayu sudah berusia 36 tahun.

“Kalau ada rezeki, kami terima dengan hati terbuka,” tuturnya yang merasakan kehadiran keluarga banyak mengubah hidup ke arah lebih stabil.

Walaupun impian mahu memiliki ramai anak, Tomok masih mengekalkan prinsip tidak mengambil pembantu rumah untuk menguruskan keluarga. Isterinya juga lebih selesa menjaga dan membesarkan sendiri anak-anak mereka.

Menurut Tomok, kelincahan Arrian yang cepat membaca dan petah bercakap juga hasil didikan Ayu yang sentiasa bersama dua puteranya itu. Dia kagum dengan komitmen isterinya selama ini.

“Ayu memang jenis yang mahu anak-anak membesar tanpa diserahkan kepada orang lain. Arrian pandai membaca dan bercakap, itu semua dia yang ajar ketika di rumah.

“Saya sangat menghargai pengorbanan isteri menjaga anak-anak ketika saya sibuk bekerja dan pastinya, apabila ada kelapangan, saya turut sama menolong Ayu menguruskan Arrian dan Andra,” katanya yang bercadang mahu menghantar Arrian ke tadika bermula tahun depan.

Kerjaya konsisten

Tatkala menyentuh perihal kerjaya, Tomok bersyukur kerana karier nyanyiannya masih berada dalam fasa stabil, bahkan jauh lebih baik berbanding ketika zaman bujang dahulu.

Meskipun lagu baharunya tidak muncul sekerap penyanyi lain, Tomok berpuas hati dengan prestasi yang dicapai dan mahu kekal begitu.

“Kalau boleh, saya tidak mahu kembali ke zaman bujang terutama ketika saya mengalami saat kejatuhan dan merasa peritnya hidup sebagai anak seni.

“Benarlah kata orang, perkahwinan dan anak-anak itu pintu rezeki. Kerjaya saya sekarang berada pada fasa tidak terlalu di atas dan bukan terjunam ke bawah.”

“Saya berada di tengah-tengah dan saya bersyukur dengan apa sahaja rezeki serta peluang yang diterima,” katanya selesa dengan corak hidup dan pencapaiannya kini.

Menelaah perkembangan terbaharunya, Tomok kini dalam proses mempromosi lagu duet bersama komposer dan penyanyi rap terkenal, Altimet bertajuk Aku Tahu.

Previous Post Next Post