Alif Satar teruja bergelar bapa muda



ALIF berkongsi kegembiraan menyambut kehadiran puteri sulungnya, Alisha Anugerah yang dilahirkan pada 31 Mei lalu menerusi akaun Instagram.

DUNIA hiburan sekali lagi diserikan dengan berita gembira apabila penyanyi popular, Alif Satar selamat bergelar bapa selepas menyambut kelahiran bayi sulungnya pada Ahad, 31 Mei lalu.

Bayi perempuan yang diberi nama Alisha Anugerah itu dilahirkan secara normal pada pukul 9.25 pagi di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.

Bersyukur dengan kurniaan terindah itu, Alif, 25, berkongsi kegembiraan saat bergelar bapa pada usia yang muda.

Ikuti temu bual pelantun lagu Akhiri Penantianku itu bersama Artis Meletop!.


Artis Meletop!: Tahniah atas kelahiran bayi sulung anda. Pastinya saat 31 Mei lalu menjadi pengalaman paling berharga buat Alif yang kini bergelar seorang bapa.

ALIF: Alhamdulillah, isteri saya, Sha Dila, 31, selamat melahirkan bayi pertama kami secara normal pada pukul 9.25 pagi, 31 Mei lalu.

Sepatutnya, dia dijangka bersalin pada 27 Jun ini, namun pada hari Jumaat (29 Mei lalu), dia sudah berasa sakit mahu bersalin.

Sejurus dihantar ke hospital, dia masih dapat bertahan sehinggalah pada pagi Ahad lalu, bayi kami seberat 3.2 kilogram selamat dilahirkan.

Sebagai seorang bapa, perasaan ini sukar digambarkan. Saya terlalu gembira, bersyukur dan teruja dengan kehadiran orang baharu dalam hidup kami.

Bayi dan isteri juga dalam keadaan selamat dan sihat.

Selain perasaan teruja dan gembira, boleh ceritakan pengalaman paling berharga ketika menyambut kedatangan cahaya mata pertama ini?

Perkara yang paling tidak akan saya lupakan ialah ketika melihat sendiri proses kelahiran bayi di dalam bilik bersalin. Saya sendiri yang memotong tali pusat bayi.

Pengalaman itu sesuatu yang sangat bermakna, tidak tergambar dengan kata-kata saat berpeluang menyambut kelahiran anak sendiri.

Mula-mula, saya seakan-akan mahu menangis melihat proses kelahiran yang berlaku depan mata tetapi selepas memegang sendiri bayi kami, perasaan saya itu berubah. Ia sesuatu yang sangat indah. Mulanya rasa macam tidak percaya. Terasa seperti dalam mimpi. Saya kini sudah bergelar bapa dan ada anak! (ketawa).

Kelahiran Alisha bukan sahaja penyeri buat kami seluruh keluarga kedua-dua belah pihak. Istimewanya, dia merupakan cucu pertama dalam keluarga saya tetapi dalam keluarga isteri, dia merupakan cucu ketiga.

Bercakap mengenai nama anak, mengapa memilih nama Alisha Anugerah dan apakah maksud di sebalik nama itu?

Kami memilih nama Alisha Anugerah kerana Alisha merupakan gabungan antara nama saya dan isteri (Aliff dan Sha). Ia membawa maksud, dilindungi oleh Allah.

Nama Anugerah itu pula sengaja diberi kerana kehadirannya merupakan anugerah terindah buat kami. Waktu kelahirannya sangat fleksibel. Jatuh pada tarikh cuti sekolah dan memudahkan keluarga saya dari Pulau Pinang turun ke Kuala Lumpur untuk sama-sama meraikan kehadirannya.

Sebagai seorang selebriti, apakah anda sudah ada perancangan tersendiri dalam mengawal setiap perkongsian mengenai aktiviti anak di laman sosial selepas ini?

Dalam soal perkongsian gambar di akaun laman sosial, sebenarnya saya berada di tengah-tengah. Dalam erti kata lain, saya tidaklah terlalu menyorokkan perihal anak atau sebaliknya, iaitu terlalu menunjuk-nunjuk. Bagi saya, apa yang perlu dan boleh dikongsi, tiada masalah untuk saya beritahu kepada semua orang.

Sebagai contohnya, berita kelahiran ini. Setidak-tidaknya saya memberitahu kepada semua orang terutama kepada peminat bahawa saya sudah menjadi bapa.

Pada zaman sekarang, medium untuk berkomunikasi terlalu banyak. Jadi, saya gunakan medium media sosial seperti Instagram dan Facebook untuk berkongsi berita gembira dengan semua orang. Tidak salah untuk berkongsi tetapi biarlah berpada-pada.

Beralih kepada perkembangan terkini anda, apa yang lagi yang boleh dikongsikan dengan peminat selain perihal anak?

Saya akan menjalani penggambaran sebuah filem terbitan Astro Shaw pada 19 Jun nanti. Namun, kesahihan perkara ini masih pada peringkat perbincangan kerana sebelum ini, penggambaran filem tersebut sudah banyak kali tertangguh. Jadi, semuanya bergantung kepada keadaan.

Saya juga bakal menjalani penggambaran program Suka Lattew bersama Shahrol Shiro untuk musim kedua tidak lama lagi. Program ini disiarkan menerusi saluran Astro Ria (104).

Dalam perkembangan karier nyanyian pula, saya sudah menandatangani satu kontrak baharu dengan syarikat rakaman Sony Music. Dengan kontrak baharu itu, saya merancang untuk merakamkan album baharu di luar negara, kemungkinan di Sweden.

Jika sebelum ini penyanyi Indonesia, Judika sudah merakamkan lagu di luar negara, mengapa tidak untuk penyanyi tempatan mengikuti jejak yang sama. Ini merupakan salah satu inisiatif terbaik daripada pihak Sony Music untuk membawa tenaga kerja tempatan menimba pengalaman dan kepakaran di luar negara.

Previous Post Next Post