KALAU dah cantik apa sahaja yang dilakukan dan diperkatakan menjadi perhatian dan perbualan orang. Begitulah harga yang perlu dibayar bagi pelakon jelita Emma Maembong.
Hari demi hari, ada sahaja mengenai gadis berusia 23 tahun ini yang menjadi pertikaian netizen dan terbaharu, isu mengenai kenyataannya bersabit latar belakang pendidikan yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kecoh didebatkan.
Ada yang berpendapat kenyataan Emma yang menyebut tidak mempunyai SPM juga boleh menyara keluarga boleh mempengaruhi orang lain dan dikhuatiri menjadi ikutan anak muda di luar sana.
Tidak mudah melatah, gadis kelahiran Terengganu ini memberikan penjelasan kepada Zass.
“Sebenarnya apa yang orang lain sampaikan atau perkatakan itu salah faham saja. Saya maksudkan walau pun saya tak sekolah. Tiada pendidikan. Tak bermaksud saya ini duduk rumah dan tak fikirkan masa hadapan. Saya bukan contoh buruk supaya budak-budak tak ambil SPM. Tidak pernah niat begitu. Orang kalau dah benci saya dia benci juga.
“Saya bukan bagi galakan supaya orang tak sambung belajar. Saya ada masalah keluarga saya. Ada masalah diri saya. Saya nak bagi semangat pada orang luar sana yang mana tak ada famili, kosong, tapi bukan tak boleh ke hadapan. Ada banyak cara untuk berjaya dalam hidup,” jelas Emma.
Bukan dari keluarga senang
Anak kesembilan daripada sebelas adik-beradik ini meminta masyarakat tidak mudah membuat kesimpulan terhadap apa yang diperkatakannya hanya kerana dia mengambil jalan untuk membela diri sendiri.
“Saya bukan lahir dari keluarga yang senang. Saya dari keluarga yang susah. Jadi saya tak mampu. Saya ada kekurangan saya.
“Takkanlah disebabkan orang tak ada pelajaran tak perlu hormat atau diperbodohkan. Walau pun saya tak ada pelajaran, tapi saya bukan duduk rumah goyang kaki. Masa depan tidak gelap kalau tak ada pelajaran. Rupa ke apa ke tak ada kena mengena kerana apa yang penting adalah usaha.
"Saya tak kisah orang nak cucuk saya atau buat apa pun kerana saya tetap akan ke depan. Saya akan jaga ibu ayah saya. Saya harap tak ada yang fikir negatif,” katanya.
Terbaharu, Emma menganjurkan majlis buka puasa amal dalam program Sentuhan Kasih Ramadan anjuran kelab peminatnya Emmavengers.
Seramai 90 anak yatim menerima buku-buku agama, coklat, kek dan jam tangan serta sumbangan duit raya daripada Emma dan kelab peminatnya.
Diusik soal jodoh, gadis cantik ini tidak pernah menafikan sedang mengenali hati budi pelakon kacak Kamal Adli. Meski pun begitu, Emma lebih mengambil pendekatan untuk tidak bercerita lanjut mengenai sisi hatinya kini.
Sementara itu, bercakap soal karier, Emma bakal muncul dalam drama 30 episod berjudul Jodoh Sebelah Pintu terbitan Dark Wave Production Sdn Bhd. Drama ini bakal bersiaran di saluran Hip TV.