Daphne Iking mahu ambil anak angkat



Celoteh seorang Daphne Iking membuatkan sesiapa sahaja yang mendampingi dirinya selesa. Banyak hal yang dikongsikan pemilik nama sebenar Daphne Eleanor Mozes Iking atau nama Islamnya Dahlia itu pada pertemuan kami baru-baru ini.

Bual bicaranya yang bercampur aduk bahasa Melayu dan Inggeris kadang kala terbabas slanga Sabah sedikit melucukan, namun ia menyerlahkan sisi sebenar Daphne yang mesra.

Siapa yang boleh menidakkan kontroversi-kontroversi yang pernah menghimpit pengacara, personaliti televisyen dan pelakon kelahiran Keningau, Sabah itu sebelum ini, namun mengenali sisi sebenar Daphne persepsi nyata berubah. Benar kata bidalan, tak kenal maka tak cinta.

Di sebalik keceriaan wajahnya berkongsi cerita, tiada siapa yang menyangka ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu menyimpan aspirasi atau keinginan yang kuat ingin memiliki anak angkat.

“Selepas mendapat dua anak perempuan, saya berhasrat untuk tambah anak lagi. Sudah setahun saya cuba untuk mengandung tetapi tidak ada rezeki.

“Suami saya pula, selepas melihat saya menderita melahirkan anak kedua, dia macam kasihan untuk membenarkan saya mengandung lagi. Dia cakap jika saya mahu sangat anak, boleh ambil anak angkat, tetapi senarai yang menunggu untuk dapatkan anak angkat sangat panjang,” ujar ibu kepada Isobel Daniella, 7, anak hasil daripada perkahwinannya sebelum ini dan juga Iman Daniella, 4, buah hati bersama suaminya, Azmi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Joe Lebosi sedikit hampa.

Membaca kisah bayi-bayi terbuang dan dikerat 15 cebisan anggota badan sebelum dibuang dan ditemui tersangkut pada perangkap sampah loji kumbahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, Johor pada Mei lalu membuatkan hati Daphne dirundung sayu.

Lantas, pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-23 menerusi filem Belukar itu memuat naik status di laman sosial Facebook untuk membantu wanita-wanita yang mengandung anak luar nikah.

“Saya bekerja dengan sebuah rumah kebajikan yang dapat membantu ibu-ibu ini. Bila saya tahu fasal kes potong bayi itu saya terus muat naik status dekat Facebook meminta wanita-wanita ini menghubungi saya. Selepas itu, ramai yang menghubungi saya,” katanya yang sudah membantu sebanyak 25 orang wanita yang mengandung anak luar nikah.

Biarpun niat Daphne murni, namun ada segelintir masyarakat yang melabelnya bukan-bukan.

“Ada yang beranggapan saya mengalu-alukan wanita mengandung di luar nikah. Sebenarnya, ramai yang tidak tahu ke mana mahu pergi apabila disahkan mengandung anak luar nikah. Jadi, saya sekadar mahu membantu mereka,” ungkapnya yang sedikit lelah kerana acapkali disalah erti.


Persoalan

Ada kalanya, dia sendiri tidak faham dengan sikap sesetengah masyarakat yang terlalu mendesaknya untuk berubah secara total selepas memeluk Islam pada 8 Januari 2011.

Ramai yang terlalu cepat menjatuhkan hukuman padanya. Mengatakannya berdosa dan macam-macam tohmahan lagi tatkala dirinya dilihat tidak menggambarkan seperti Islam sejati.

Hakikatnya, sungguhpun pengacara berusia 37 tahun itu sudah memeluk Islam selama empat tahun, namun kata Daphne, dia masih perlu dibimbing dan masih banyak yang tidak difahaminya tentang hukum-hukum Islam.

“Ada banyak persoalan yang masih berlegar di fikiran. Kenapa sebagai orang Islam, tidak sah air solat jika memakai pewarna kuku? Saya mahu tahu jawapannya tanpa orang ramai menghentam saya. Baru-baru ini, saya ada menerima beberapa isu berkaitan tidak pakai tudung dan berbikini. Ada juga yang mengatakan jika isteri buat dosa suami yang akan terima balasan.

“Saya masih tidak faham mengenai perkara-perkara tersebut. Itu pentingnya untuk saya belajar menyeluruh tentang apa yang terkandung dalam al-Quran dan secara perlahan-lahan belajar tentang hadis pula,” luahnya yang berharap masyarakat sentiasa berlapang dada menerima dirinya yang masih dalam proses pembelajaran.

Dia juga sedih kerana ada yang mengecamnya memakai bikini dan memuat naik gambar tersebut di laman Instagram sebelum ini. Sedangkan, dia memakai bikini itu di sebuah kolam privasi yang hanya terdapat suami dan anak-anaknya.

Apa yang penting pada Daphne adalah bukan penampilannya, tetapi bagaimana hubungannya dengan Allah.

“Suami yang rakam gambar tersebut dan saya memuatkan naik gambar itu dengan meletakkan efek kartun. Saya tidak mahu memperbesarkan hal itu. Saya cuma ingin baritahu, gambar tersebut tidak menunjukkan saya beraksi ghairah.

“Saya akan pakai apa yang selesa dan kena pada situasi. Jika menyelam, saya akan memakai baju selam yang menutupi keseluruhan tubuh. Begitu juga jika bercucuk tanam, saya akan memakai topi dan sebagainya,” ujarnya yang sudah lali dengan tohmahan orang kepadanya.




Tarawih

Menganggap Islam sebuah agama yang cantik, Daphne mengakui, dia sangat menyukai bulan Ramadan.

Katanya, bulan tersebut (Ramadan) dapat membuatkan dirinya fokus pada ibadah dan tidak terlalu memikirkan kerja.

“Bulan Ramadan kerja pun tak banyak jadi saya boleh fokus pada ibadah. Sambutan Ramadan saya sama seperti tahun-tahun lalu. Saya akan lakukan perkara yang sama. Buat solat lima waktu tepat pada masanya.

“Saya juga suka berpuasa kerana ia dapat membuang toksin di dalam badan. Umur seperti saya susah untuk mengurangkan berat badan. Ini adalah masa yang sesuai untuk saya lakukannya. Jadi, setiap kali bersahur saya cuma makan oat, beras perang atau makanan yang mengandungi protein. Makanan-makanan tersebut dapat menahan diri saya daripada lapar sehingga berbuka. Berbuka pula, saya lebih suka makan ayam percik dan mengelak untuk makan apa sahaja yang dijual di bazar,” ujarnya yang gembira kerana anak perempuannya, Isobel telah cuba berpuasa penuh pada tahun ini.

Jika tahun lalu Isobel cuba berpuasa tetapi tidak dapat bertahan sepanjang hari, tahun ini dia akan cuba melatih anaknya berpuasa dengan bersahur mengikut makanannya iaitu oat. Daphne turut teruja untuk membawa anaknya itu mengikutnya mengerjakan solat sunat Tarawih pada tahun ini.

“Saya tahu solat sunat Tarawih tidak wajib. Kita juga boleh buat solat tersebut di rumah. Saya akan cuba membawa anak-anak dan pembantu rumah untuk menunaikan solat Tarawih di masjid pada tahun ini,” katanya yang tahun kelima beraya sebagai seorang Islam.

Berkongsi mengenai perkembangan terkininya, Daphne mengakui, dia baru selesai menghasilkan program Ekspresi Kreatif DIY bersama Daphne Iking untuk RTM.

Mengakui pada mulanya gementar untuk mengambil tawaran mengacarakan program tersebut kerana dia perlu mengacarakannya dalam bahasa Melayu, namun Daphne menyahut cabaran tersebut.

“Sebelum ini, jika ada tawaran mengacarakan program sepenuhnya dalam bahasa Melayu saya tidak akan ambil. Sebabnya, saya tidak lancar bertutur dalam bahasa Melayu. Jika saya bertutur pun, akan keluar slanga Sabah. Selepas diyakinkan suami dan penerbit program itu saya terima. Alhamdulillah, saya berjaya melakukannya,” katanya.

Previous Post Next Post