
Lama dia mengunci mulut enggan mengiyakan percintaan yang terjalin bersama Stacy, namun akhirnya Akim Ahmad tidak lagi berselindung perihal kisah hatinya.
Februari lalu, penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh itu mengakui mencintai Stacy, malah cinta yang disulam indah itu sudah dibaja selama tiga tahun.
Luahan cinta Akim itu disambut baik penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah biarpun dirinya berasa terkejut dan malu dengan pengakuan kekasihnya itu.
Sejak itu, pasangan itu mula menjadi perhatian dan ramai yang ingin mengetahui fasa hubungan Akim dan pemilik nama sebenar Stracie Angie Anam itu seterusnya.
Persoalan-persoalan bilakah pasangan ini akan ke jenjang pelamin dan isu sensitif mengenai agama Stacy mula ditanya berkali-kali.
Enggan cinta yang dipenuhi madu dirosak dengan hempedu, Akim akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti berkongsi mengenai Stacy buat masa ini.
“Saya rasa cukuplah selama ini berkongsi mengenai Stacy. Bukan apa, apabila saya bercakap jujur ramai pula yang salah interpretasi.
“Ada juga kenyataan saya yang diubah suai. Jadi, lebih baik saya tidak berkongsi langsung mengenainya,” ujar Akim yang menolak hubungannya dengan Stacy kini dalam keadaan bermasalah.
Kata Akim, hubungannya dengan Stacy masih dalam keadaan baik cuma dia enggan lagi menjaja kisah cintanya bersama Stacy lebih lanjut.
Fokus utama kini pada album sulung Akim & The Magistrate iaitu Patriot yang akan dipasarkan Ogos depan.
“Buat masa ini, saya dan The Magistrate tengah sibuk mempersiapkan album sulung. Kami merancang mengeluarkan single ketiga tetapi bukan dalam masa terdekat.
“Kami masih memberi laluan pada single kedua iaitu Potret. Single tersebut masih diterima dan kami tidak mahu mengacau momentum lagu tersebut,” ujarnya.
London
Akim juga mengaku, bukan mudah bagi dirinya dan ahli-ahli yang lain memilih single seterusnya untuk diketengahkan selepas kejayaan Mewangi dan Potret.
Berkat single terdahulu, Akim & The Magistrate berjaya memenangi Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Dalam Lagu di Anugerah Industri Muzik 21 (2014), Artis Duo atau Berkumpulan Popular di Anugerah Bintang Popular (2014), bahkan Band dan Lagu MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era (2015).
“Kami tengah pening susun single ketiga. Ada beberapa lagu yang dicadangkan ahli tetapi kata putus masih belum dibuat,” jelas Akim yang turut merancang untuk mengadakan konsert jelajah di beberapa buah negeri usai pelancaran album Patriot itu.

Selain album, kumpulan itu juga kini sedang sibuk membuat persiapan untuk mengadakan persembahan di Melbourne, Australia dan London, United Kingdom.
Ia merupakan julung-julung kalinya kumpulan itu mengadakan persembahan di luar negara dan mereka tidak akan melepaskan peluang untuk menelusuri muzik-muzik yang terdapat di sana.
“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang mengadakan persembahan di sana pada bulan September nanti. Dalam masa yang sama saya akan melihat dan belajar mengenai muzik yang terdapat di sana,” kongsinya yang mengurangkan sedikit kerja di bulan Ramadan demi menambahkan amalan.
Talam keladi
Memilih juadah talam keladi sebagai menu kegemaran ketika iftar, penyanyi kelahiran Johor Bahru itu menyifatkan rasa keladi, lemak dan masin yang terdapat pada kuih itu sempurna bagi dirinya.
“Kuih talam keladi memang menjadi kegemaran saya setiap kali bulan Ramadan. Saya lebih suka talam keladi yang dijual di bazar Ramadan Kampung Melayu, Johor. Rasanya lebih sedap,” kongsi Akim yang belum berkesempatan menyambut Ramadan di Johor pada tahun ini.
Biarpun tidak dapat berpuasa di kampung halaman, namun Akim tidak bersedih kerana kedua-dua ibu bapanya kini berada di Kuala Lumpur.
Pemilik nama sebenar Afiq Hakim Ahmad itu juga merancang untuk pulang bersama kedua-dua ibu bapanya menyambut Aidilfitri di Johor.
“Insya-Allah, saya akan balik ke Johor bersama-sama ibu dan ayah, seminggu sebelum raya,” ungkapnya.
Ditebak sama ada dia akan turut membawa Stacy beraya di Johor, ini jawapan Akim.
“Buat masa ini tiada perancangan untuk bawa Stacy,” kata Akim ringkas.