
KEHADIRANNYA menyertai program realiti Mentor Legend bimbingan penyanyi dan komposer terkenal, Ajai nyata telah mengubah radar kehidupan pemilik nama pentas Fahmi Esmail.
Karier jejaka bersusuk tegap dari Shah Alam, Selangor itu jelas mula menampakkan perubahan selepas berjaya menzahirkan single pertama berjudul Halang baru-baru ini.
Meskipun perjalanan seni penyanyi berusia 27 tahun itu sedang membuahkan hasil, namun di sudut hatinya masih wujud perasaan rindu yang menebal untuk kembali terbang ke awan biru.
Fahmi yang merupakan ketua pramugara di syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad mengakui tidak sabar untuk kembali bertugas selepas mengambil cuti panjang demi mengejar cita-cita sebagai penyanyi.
“Saya mengambil cuti tanpa gaji kerana komitmen dalam Mentor Legend sejak November tahun lalu selama enam bulan. Kemudian, selepas tempoh cuti tersebut berakhir, saya menyambung semula cuti sehingga bulan Ogos demi promosi single pertama.
“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, saya akan kembali berkhidmat pada September depan. Sejujurnya, saya tidak sabar untuk kembali bertugas. Saya sangat rindukan suasana kerja dan gelagat serta telatah kawan-kawan.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada jadual kerjaya nyanyian. Sekiranya saya perlu menyambung cuti lagi, saya terpaksa akur dan reda kerana karier nyanyian adalah keutamaan saya kini,” ujar Fahmi ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.
Tambah Fahmi, sekiranya ditakdirkan dia perlu meninggalkan kerjaya sebagai pramugara demi memberi perhatian sepenuh masa terhadap karier nyanyian, dia mengakui sudah bersedia dan tidak menyesal tentang keputusannya kepada dunia yang lebih mencabar.
“Biarpun sayang untuk melepaskan kerjaya ini, tetapi memikirkan soal masa depan, saya sanggup letak jawatan. Lagipun saya percaya berkat bantuan syarikat rakaman Wake The Baby Records, saya mampu pergi lebih jauh dalam industri seni tanah air.

“Lagipun saya fikir sampai bila saya akan bergelar pramugara. Tak mungkin saya mampu bertahan lama memandangkan usia yang semakin meningkat. Jadi, saya fikir mungkin inilah jalan terbaik untuk saya mengukuhkan nama dalam industri seni nyanyian.
“Tidak dinafikan, kerjaya nyanyian merupakan jiwa saya sejak kecil lagi. Sebelum ini, saya tidak berkesempatan untuk bergelar penyanyi. Sejak menyertai Mentor Legend saya diberikan ruang dan peluang untuk menghiburkan pendengar. Oleh itu, saya fikir selepas enam tahun berkhidmat sebagai pramugara, saya perlu mengubah angin baharu,” kata Fahmi yang mengakui berat hati untuk meninggalkan kerjaya di awan biru.
Sementara itu, diajak bercerita tentang single Halang yang dicipta sepenuhnya oleh Ajai, Fahmi memberitahu, buah tangan terbaharu itu bukanlah lagu pertama yang diberikan kepadanya. Mereka berdua berbincang dan memerah otak memilih lagu yang terbaik untuk diangkat sebagai single pertamanya.
“Sebelum ini, saya diberikan dua demo lagu daripada Ajai. Alhamdulillah, hasil perbincangan bersama, kami bersepakat memilih single Halang sebagai lagu perkenalan saya kepada peminat.
“Lagu ini lebih kepada rentak pop balada kerana saya percaya Ajai lebih tahu tahap kesesuaian vokal dan suara saya dalam setiap lagu yang dibawakan,” kongsi Fahmi sambil memberitahu, single pertamanya mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat selepas dilancarkan pada bulan lalu.