
EWAL dan Aisyah sibuk dengan jadual aktiviti seni sepanjang Ramadan ini.
Dalam masa seminggu lebih lagi umat Islam bakal menyambut kedatangan Syawal. Semestinya, pada saat-saat akhir inilah menjadi pilihan orang ramai membuat persiapan menyediakan keÂperluan hari raya.
Bagi dua selebriti tanah air, Ewal dan Aisyah masing-masing berasa teruja untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Dalam kesibukan orang lain membuat persiapan awal, dua orang anak seni kelahiran program realiti Akademi Fantasia ini masih lagi sibuk dengan jadual harian mereka deÂngan aktiviti seni pada bulan Ramadan ini.
Berkesempatan bertemu kedua-dua mereka sewaktu menghadiri Majlis Buka Puasa Bersama Astro di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual dua penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia itu.
Ikuti kisah yang dikongsikan Ewal dan Aisyah mengenai sambutan lebaran dan perkembangan terbaharu dalam karier masing-masing:
Kebiasaannya, pada bulan puasa ini, golongan artis lebih memilih untuk berehat seketika daripada dunia seni. Bagaimana pula dengan anda berdua?
EWAL: Pada bulan puasa ini saya masih meneruskan aktiviti seni saya. Cuma mungkin saya lebih kepada menghadiri undangan program berbuka puasa.
AISYAH: Sama juga seÂperti Ewal, jika tidak kepada persembahan nyanyian, saya lebih kepada mengisi dengan jadual sesi fotografi dan promosi lagu saya di stesen-stesen radio.
Anda memilih untuk masak sendiri atau makan di luar sewaktu berbuka?
EWAL: Memandangkan baÂnyak undangan majlis yang perlu dihadiri di luar, jadi kebanyakannya saya akan berbuka puasa di luar sahaja. Mungkin akan ada empat atau lima kali sahaja berkesempatan berbuka di rumah. Cuma masa makan dengan keluarga itu dapat dipenuhi pada waktu sahur sahaja. Saya memang jenis wajib bangun sahur walaupun hanya sekadar untuk minum air.
AISYAH: Jika tidak berbuka di rumah dengan kawan-kawan, saya akan berbuka di luar sahaja.
Di manakah kalian akan menyambut kehadiran Syawal pada tahun ini?
EWAL: Saya sekeluarga akan menyambut raya di Kuala Lumpur sahaja. Ini merupakan tahun kedua keluarga di kampung yang terletak di Teluk Intan, Perak akan bertandang berhari raya di Kuala Lumpur. Jadi, kami sekeluarga akan menyewa rumah inap desa untuk duduk beramai-ramai di sana.
AISYAH: Tahun ini saya akan meÂnyambut hari raya di kampung seÂbelah ayah di Johor Bahru, Johor. Jadi, kami sekeluarga tidak beraya di Singapura.

KEDUA-DUA artis kelahiran program realiti Akademi Fantasia ini tidak sabar menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Adakah anda berdua akan bercuti panjang bagi meÂnyambut Aidilfitri?
EWAL: Saya mungkin tidak lama bercuti. Dalam empat hingga lima sahaja. Selepas itu, saya akan kembali semula dengan jadual seni saya keÂrana ada beberapa persembahan nyanyian yang perlu dihadiri.
AISYAH: Biasanya, saya akan bercuti dalam seminggu sahaja. Cuti yang ada itu pun digunakan untuk menziarahi sanak saudara di kedua-dua belah ibu bapa yang jarang sekali berjumpa. Sewaktu Syawal inilah masa yang ada untuk mengeratkan lagi silaturahim.
Apakah yang sering menjadi tradisi keluarga kalian berdua setiap kali menjelang sambutan hari raya?
EWAL: Kami akan berkumpul pada malam raya membuat persiapan secara bergotong-royong. Menu tradisi yang menjadi kewajipan setiap kali lebaran adalah serunding dan ayam rendang.
AISYAH: Biasanya setiap tahun akan pulang di kampung sebelah ayah di Johor. Pada malam raya lagi sudah ada di Johor untuk berkumpul dengan sepupu-sepupu yang lain mengemas rumah dan menyediakan keperluan raya. Kemudian, keesokanÂnya pada raya pertama, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, kami akan pergi ziarah rumah ke rumah saudara mara yang lain beramai-ramai.
Jika dahulu, mungkin anda menerima duit raya, tetapi sekarang tidak lagi. Jadi, berapa banyak selalunya peruntukan disediakan untuk duit raya?
EWAL: Ini merupakan tahun kedua saya memberi duit raya kepada kanak-kanak. Bagi duit raya, saya peruntukan dalam RM2,000 untuk sepupu dan anak-anak buah lain.
AISYAH: Saya pun sama juga. Peruntukan lebih kurang sama dengan Ewal. Jika dahulu kita menerima, sekarang ini kita pula memberi kepada sanak saudara.
Boleh kongsikan perkembangan terkini kalian?
EWAL: Saya baru sahaja tamat penggambaran untuk sebuah telefilem raya bersama bekas pelajar Akademi Fantasia 2014.
Cerita berjudul Ketupat Jantung Hati itu dijadual ditayangkan pada hari raya pertama di saluran Astro Ria. Saya juga mempromosikan single terbaharu bersama penyanyi Indah Ruhaila berjudul Cerita Cinta Kita.
AISYAH: Saya kini sedang mempromosikan lagu single kedua berjudul Pilihan Sejati. Lagu itu merupakan naskhah ciptaan komposer Aizat Amdan. Lagu itu merupakan runut bunyi bagi drama Ayuni Safira.