BEEGO dan Linda kini bahagia menanti kelahiran cahaya mata kedua mereka. Pasangan itu sudah memiliki anak sulung, Jelita Clarissa yang berusia 15 bulan.
Mendirikan rumah tangga sekitar dua tahun lalu, pelakon Linda Hashim teruja apabila mendapati dirinya sedang hamil anak kedua. Kandungannya kini mencecah usia tiga bulan.
Menurut Linda, dia mula menyedari tentang kehamilannya setelah membuat pemeriksaan ketika kandungan berusia tujuh minggu.
Katanya, suaminya, Beego menjadi individu paling gembira saat mengetahui berita tersebut.
“Alhamdulillah, saya berasa amat bersyukur dengan kurniaan Allah meskipun usia anak pertama, Jelita (Jelita Clarissa) baru mencecah usia 15 bulan.
“Pada awalnya, kami merancang agar jarak usia antara anak pertama dan kedua itu sekitar dua atau tiga tahun. Namun, inilah yang dikatakan rezeki. Tidak siapa yang dapat menyangkal,” jelas pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu.
Mengulas mengenai kesihatan, Linda gembira kerana dia tidak mengalami sebarang alahan ketika awal usia kehamilan anak kedua berbanding pertama.
Baginya, menjalani kehidupan yang aktif di rumah dapat membantunya mengekalkan stamina daripada terbaring tanpa melakukan sebarang aktiviti.
“Jika kita terlalu manjakan diri dengan berbaring di atas katil tanpa melakukan sebarang aktiviti, pastinya penyakit akan datang.
“Oleh itu saya selesa melakukan pelbagai aktiviti di rumah, namun tetap memastikan faktor keselamatan agar tidak menjejaskan kandungan,” tambahnya.
Bercerita soal penjagaan anak, Linda nekad ingin membesarkan sendiri anaknya tanpa bantuan pembantu rumah. Perkara itu turut dipersetujui Beego atau nama sebenarnya, Mohd. Aszerul Nizam Abdullah, 35.
Berkongsi pengalaman membawa permata hatinya, Jelita yang ketika itu berusia sekitar lapan bulan ke set penggambaran drama bersiri Anak Kelima pada tahun lalu, Linda merasakan itu merupakan kali terakhir dia melakukan perkara tersebut.
Berasa kasihan melihat bayinya terpaksa ikut serta ke lokasi, Linda membulatkan hati untuk berehat daripada dunia lakonan.
Tambahan, sikapnya yang sukar mempercayai orang luar untuk menjaga anaknya berikutan kebimbangan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini jika tugas itu diserahkan kepada pembantu.
“Saya bimbang jika pembantu membawa lari anak"