KECOH atmosfera hiburan tanah air apabila pelakon dan pengarah berbakat, Hasnul Rahmat, 43, memuat naik gambar kontroversi dia sedang memegang anjing dan patung Jesus di laman Instagram miliknya, kelmarin.
Lebih buruk lagi, gambar tersebut menjadi viral di laman sosial apabila tindakannya itu mendapat banyak maklum balas negatif daripada orang ramai sehingga ada yang menyifatkannya sebagai free thinker (tidak mempercayai agama) serta murtad.
Tidak mahu mengeruhkan serta memanjangkan lagi keadaan, Hasnul kemudian bertindak memadam gambar kontroversi tersebut serta menukar status akaun Instagram miliknya itu kepada tatapan privasi. Kata Hasnul, apa yang dilakukannya itu hanya sekadar gurauan yang tidak mempunyai erti apa-apa.
Bertemu dengan pemenang Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM 16) itu pada tayangan perdana filem CCTV di ibu negara baru-baru ini, Hasnul menjawab isu panas yang melanda dirinya itu.
Artis Meletop!: Bukan berniat mahu terus menghukum, tetapi boleh jelaskan sedikit apakah motif di sebalik tindakan Hasnul memuat naik gambar yang terang-terang akan mengundang kemarahan serta pemikiran negatif terutama dalam kalangan umat Islam negara ini?
HASNUL: Sebenarnya saya tiada niat apa-apa, cuma sekadar berkongsi. Anjing itu adalah patung, sementara patung yang dikatakan menyerupai Jesus itu adalah sebiji tabung milik rakan saya di sebuah kafe di Singapura. Saya masih waras dan kuat pegangan agama. Saya diberikan ilmu agama yang secukupnya oleh keluarga sehingga ke hari ini.
Difahamkan gambar tersebut telah lama dimuat naik di laman Instagram milik anda iaitu sekitar seminggu lalu. Bagaimanapun ia menjadi viral akibat pendedahan oleh sebuah portal hiburan, apa komen anda?
Ya, benar. saya sendiri tidak tahu apa motif portal hiburan tersebut menjadikan ia isu besar sehingga menjadi viral dalam kalangan peminat di laman sosial. Sejujurnya, saya berasa sedikit terkilan dengan hebahan portal hiburan tersebut. Namun, saya sedia maafkan sesiapa yang menjaja cerita ini dan juga meminta maaf sekiranya tindakan itu mengguris hati mana-mana pihak. Bukan niat saya untuk bergurau senda berkenaan hal agama. Saya sayangkan Islam dan pada masa sama menghormati agama lain.
GAMBAR di Instagram miliknya bersama dua ekor anjing yang menjadi kontroversi.
Tidakkah anda sedar bahawa isu sensitif seperti agama dan perkauman tidak seharusnya menjadi bahan gurauan memandangkan anda juga merupakan seorang Melayu beragama Islam?
Ya, saya sedar. Saya tekankan di sini, tidak pernah mempunyai niat untuk bergurau dalam soal agama. Sebenarnya ia lebih kepada berkongsi perasaan teruja saya. Patung atau tabung Jesus itu mengingatkan saya kepada watak John Travolta dalam filem Grease. Itu sahaja. Saya rasa ia comel sebab itu saya muat naik ia ke Instagram.
Ramai yang mula meragui keutuhan iman anda setelah kontroversi tersebut meletus menjadi viral serta bualan peminat. Adakah benar dakwaan orang ramai mengatakan anda seorang yang tidak mempercayai agama?
Orang boleh bercakap apa-apa yang mereka mahu. Apa yang pasti, saya tahu siapa diri sendiri. Mak saya pun ada berpesan supaya bersabar dengan kontroversi ini dan saya percayakan dia. Saya seorang Muslim dan saya sayangkan Rasulullah. Saya juga belajar dan hormat nabi-nabi lain seperti yang tertulis dalam kitab suci, al-Quran.
Isu ini tidak mahu lagi dipanjangkan oleh anda selepas memadam gambar tersebut dan menukar status akaun Instagram anda kepada privasi. Apa yang ingin anda katakan kepada mereka-mereka di luar sana yang suka menghukum dan mencari salah orang lain?
Ya, saya mengaku saya padam gambar itu dan tukar Instagram saya kepada private kerana tidak mahu lagi isu ini dibesarkan. Saya tidak mahu orang mendapat dosa daripada kekhilafan saya dan mahu keadaan kembali seperti sedia kala. Saya sebenarnya suka apabila ramai di luar berfikiran kritikal tapi ia harus datang dengan kandungan yang positif bukan sekadar menghamburkan caci makian. Itu tidak mendatangkan faedah kepada masyarakat di negara ini.
Ada yang berpendapat isu tersebut sengaja dibangkitkan untuk melariskan produk terbaharu anda iaitu filem CCTV yang ditayangkan bermula 30 Julai ini?
Tidak. Saya tidak pernah berniat begitu. Secara kebetulan isu ini menjadi bualan ramai pada ketika CCTV menjengah pawagam. Kalau isu tersebut dapat melariskan jualan tiket filem itu pun apa salahnya (ketawa). Terus terang, bukan itu niat saya.
Bercakap mengenai watak anda sebagai Mutalib dalam filem CCTV. Anda melakonkan watak seorang doktor psiko yang kemaruk seks. Bagaimana anda menyesuaikan diri dengan watak tersebut?
Banyak cabaran berlakon dalam filem CCTV. Antaranya apabila adegan saya perlu bersetubuh dengan mayat. Namun, sebelum turun ke set penggambaran, saya sudah melakukan kajian menyeluruh melalui YouTube, bacaan di internet dan sebagainya agar lakonan saya nampak natural dan tidak dibuat-buat. Alhamdulillah, filem ini menjalani penggambaran selama 18 hari sahaja dan saya berharap ia mendapat tempat di hati peminat.