
KISAH perceraian dalam kalangan artis pasti akan mendapat perhatian umum tanpa mengira tahap usia seseorang selebriti itu, sama ada baru setahun jagung dalam lapangan hiburan mahupun layak digelar aktor dan aktres senior.
Situasi getir itu turut berlaku dalam rumah tangga pelakon Raja Farah. Mahligai yang dibina bersama lelaki pilihannya, Megat Bashirun Qhuyum Zakaria hanya mampu bertahan selama lima tahun apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mei lalu.
Menggalas gelaran janda pada usia muda, Farah atau nama lengkapnya Raja Farah Raja Aziz mengakui, ia mengundang pelbagai persepsi masyarakat, sementelah banyak pihak mendakwa, keruntuhan rumah tangga pelakon filem Aku Masih Dara itu berlaku akibat tinggal berjauhan.
Berkongsi rasa mengenai satu persatu tohmahan menimpa dirinya di laman sosial, mata wanita kelahiran Kuala Lumpur itu kelihatan berkaca. Cuba mencari kekuatan dalam meneruskan kata-kata, seperti ada sesuatu yang tersekat di kerongkong yang menghalangnya daripada meneruskan bicara.
“Saya berasa sedikit kesal dengan apa yang diperkatakan segelintir pihak apabila isu anak dikatakan menjadi punca utama perpisahan saya dan bekas suami. Tidak berniat untuk menyalahkan sesiapa tetapi masalah soal rumah tangga biarlah menjadi rahsia saya.
“Apa yang boleh saya katakan, keputusan ini (bercerai) terpaksa diambil kerana kami berdua tidak lagi mempunyai persefahaman dan keserasian. Biarpun pelbagai tohmahan diterima, saya bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga dan peminat yang tetap menyokong saya meneruskan kehidupan,” kata pelakon berusia 27 tahun itu.
Mengakui terhimpit trauma untuk kembali membenihkan perasaan cinta terhadap bekas suami, Farah sejujurnya mahu membenamkan dahulu ceritera cintanya bersama Megat Bashirun tertanam jauh di lubuk jiwa. Persoalan sayang tidak mahu diungkit, begitu juga pertanyaan ramai adakah hubungan itu boleh kembali jernih.
Bagi Farah, cukuplah hubungannya dengan bekas suami sekadar teman baik, tidak lebih daripada itu.
Masih menjalin hubungan baik dengan bekas keluarga mertua, Farah juga merasakan wasilah yang terbina tidak mungkin dibiarkan begitu sahaja. Mereka tetap bertanya khabar. Bagi Farah, walau apa pun berlaku, ikatan kekeluargaan tetap dijaga. Keputusan perceraian terpaksa diambil demi kebaikan bersama.
“Meskipun pada awalnya penerimaan mereka agak dingin mengenai perpisahan ini, namun saya yakin, lama-kelamaan segalanya pasti berjalan lancar. Bagaimanapun, saya sendiri akan berusaha menjaga keharmonian kekeluargaan sebaik mungkin.
“Bukan bermaksud menidakkan kuasa jodoh tetapi cukuplah sekali sahaja saya bersamanya. Tidak bertujuan mengaibkan sesiapa, namun keputusan itu telah dibuat sejak hari pertama saya memfailkan perceraian,” tambah Farah.

PERKAHWINAN Raja Farah dan suaminya hanya bertahan selama lima tahun.
Mengajaknya merungkaikan sedikit persoalan yang mengundang keretakan rumah tangganya, Farah tetap dengan pendiriannya. Dia harus mengunci mulut demi menghormati keputusan mahkamah. Namun, pelakon filem Anak Halal itu tidak menolak kenyataan bahawa hubungan jarak jauh antara punca yang mendorong kehancuran rumah tangganya.
Akui Farah, rumah tangganya mula memasuki fasa bergolak sejak memasuki usia ulang tahun keempat perkahwinan. Tidak lagi mempunyai keserasian, namun kedua-duanya cuba berusaha mempertahankan bahtera yang sedang dilanda badai. Farah akhirnya memfailkan permohonan cerai pada 5 Mei lalu.
Menyingkap soal hati dan naluri kewanitaannya, Farah tidak menafikan keinginannya untuk kembali menjalani kehidupan bergelar isteri. Masih dalam tempoh edah, Farah bagaimanapun merasakan persoalan itu masih terlalu awal untuk diperkatakan.
Bagaimanapun, Farah tetap menaruh harapan agar dipertemukan sekali lagi dengan lelaki yang mampu menjaganya sehingga ke hari tua. Mendambakan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap keluarga, Farah juga berharap impiannya mahu bergelar ibu akan tertunai suatu masa nanti.
Mahu bergelar ibu
Baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-27 pada 5 Julai lalu, sikap Farah yang terlalu sukakan kanak-kanak menambahkan keinginannya untuk memiliki zuriat sendiri. Baginya, anak merupakan pelengkap fasa matang seseorang wanita.
“Sejak dahulu lagi saya sememangnya sukakan kehadiran kanak-kanak. Saya terlalu inginkan cahaya mata sendiri, namun belum ada rezeki.
“Setiap hari saya mendoakan agar Allah memakbulkan impian saya untuk bergelar ibu, sekali gus berpeluang membesarkan anak sendiri,” tuturnya sambil melemparkan senyuman,
Meskipun harus memendam rasa untuk bergelar ibu, mahupun kembali sekali lagi menggalas tanggungjawab sebagai isteri, wanita berbintang Cancer itu meletakkan segalanya kepada ketentuan Illahi. Tidak ingin terburu-buru membuat keputusan, Farah sebenarnya masih gusar untuk membuka hati menerima kehadiran seorang lelaki.
Mengakui terkesan dengan kegagalan rumah tangga, Farah meminta agar diberikan tempoh untuk merawat luka.
“Saya mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang ketika berusia 22 tahun. Mungkin disebabkan gelora darah muda, beberapa perkara tidak diambil kira. Berbeza dengan sekarang, perceraian ini banyak memberi pengajaran kepada saya,” katanya.
Kembali berlakon
Menyelongkar sedikit kisah kariernya, Farah mula berjinak-jinak dengan lakonan apabila muncul dalam beberapa iklan komersial ketika masih di bangku sekolah. Popularitinya memuncak saat membintangi filem Salon, Anak Halal dan Aku Masih Dara.

FARAH menyifatkan kenangan beraya sebagai isteri sebagai momen yang sukar dilupakan.
Setelah berumah tangga, kerjaya lakonan pelakon itu mula perlahan, sementelah dia sendiri turut berhijrah ke Pasir Mas, Kelantan kerana mengikut bekas suaminya bertugas di sana.
Masa silih berganti. Seiring dengan statusnya yang telah berubah. Farah kini giat merancang semula kerjaya seninya dan berhasrat untuk membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan.
“Segalanya bergantung kepada kekuatan naskhah yang diterima. Sekiranya watak ditawarkan bersesuaian dengan keadaan saya sekarang, insya-Allah saya akan mempertimbangkan.
“Lagipun, industri hiburan kini sedang dibanjiri kehadiran pelakon baharu, sekali gus menyebabkan saya sedikit ketinggalan.
“Tidak dinafikan, saya juga berasa rindu untuk kembali semula ke set penggambaran,” jelasnya optimis.
Persiapan Lebaran
Kesempatan bertemu Farah tidak mahu dipersia-siakan. Hatinya ditebak persoalan menjalani ibadah puasa tahun ini sengaja diusik, begitu juga dengan persiapan menjelang Syawal tidak lama lagi.
Kata Farah, peluang meraikan Syawal sebagai isteri kekal tersemat menjadi antara momen yang sukar untuk dilupakan.
Menyediakan segala kelengkapan suami termasuk hidangan juadah raya di pagi lebaran telah menjadi rutinnya selama lima tahun.
Namun, berbeza pada tahun ini, Farah lebih senang beraya di ibu kota bersama keluarga tercinta. Menjalani semula rutin sebagai anak, pelakon drama Cinta Medik itu meletakkan segala keputusan kepada kedua orang tuanya.
Ada getar pada nada suaranya, raut wajah Farah bagaimanapun berubah, tatkala di tebak dengan persoalan raya. Mengambil sedikit masa untuk menjawab sambil menghela nafas yang panjang, Farah mengakui, sambutan Aidifitri tahun ini sangat berbeza berbanding dahulu.
“Sejujurnya persiapan menjelang hari raya akan dibuat secara sederhana sahaja tetapi bergantung juga kepada keadaan. Apa yang jelasnya, Lebaran kali ini pastinya membuka lembaran baharu sejajar dengan status saya sekarang,” katanya saat menutup bicara.