Najwa Latif masih belum bersedia memikirkan soal cinta.
Penyanyi Najwa Latif belum bersedia untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki atas faKtor usianya yang masih muda.
Najwa, 20, berkata, fokus utamanya memberi tumpuan kepada pengajian di universiti selain mengembangkan kariernya ke tahap lebih tinggi.
"Tiada teman lelaki. Saya masih muda dan masih banyak perkara lain yang menjadi keutamaan terutamanya pengajian saya di universiti yang berbaki dua tahun lagi.
"Kalau berkawan biasa memang ada tetapi untuk bercinta rasanya belum sampai masanya lagi," katanya kepada mStar Online.
Najwa ditemui pada majlis pelancaran kempen 'Kecapi Impianku Bersama Sunsilk' di Flora Terrace Hampshire Place di sini, Selasa.
Selain Najwa, kempen tersebut turut menampilkan pelakon dan pengarah, Melissa Saila dan wartawan penyiaran Khairunnisa Kasnoon sebagai mentor program berkenaan.
Najwa bakal muncul dengan album terbaharu pada penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, Najwa berkata, dia mempunyai pelbagai impian yang harus dicapai terlebih dahulu sebelum memikirkan soal cinta.
Jelas Najwa, dia ingin membahagiakan keluarganya kerana mereka adalah tunjang kejayaan dia hari ini.
"Selain karier dan pengajian, keluarga juga fokus saya. Mereka adalah cinta saya.
"Tiada teman lelaki pun tidak mengapa kerana selagi keluarga bersama saya, ia sudah cukup membahagiakan," jelasnya.
Sementara itu, bercakap mengenai peranannya sebagai mentor dalam kempen 'Kecapi Impianku Bersama Sunsilk', Najwa menjelaskan dia ingin berkongsi pengalamannya sebagai penyanyi dengan protoge pilihannya kelak.
Kata Najwa, dia mencari seorang protoge yang mempunyai keyakinan diri selain tidak takut menjadi diri sendiri selain menpunyai impian dan misi yang jelas.
Wartawan penyiaran Khairunnisa Kasnoon (kiri), pelakon dan pengarah, Melissa Saila dan Najwa bakal bertindak sebagai mentor kempen 'Kecapi Impianku Bersama Sunsilk'.
"Saya harap dapat bertemu protoge dalam bidang yang sama agar dapat saya kongsi pengalaman selama empat tahun bergelar artis.
"Saya berbesar hati terpilih sebagai mentor kempen ini kerana dapat membantu rakan sebaya saya mengejar impian mereka," katanya.
Dalam pada itu kempen berkenaan bertujuan memberi inspirasi kepada wanita muda berhijab dalam mengejar impian dalam bidang filem, muzik dan kewartawanan.
Episod mengenai kempen berkenaan akan disiarkan sebagai segmen khas di hlive! (Astro Ria), setiap Rabu, Khami dan Jumaat pada 8.30 malam bermula 14 Oktober depan.
Dalam perkembangan lain, Najwa berkata, dia kini sedang dalam proses menyiapkan album terbaharunya dan ia dijangka dipasarkan pada penghujung tahun ini.
Single pertama daripada album berkenaan berjudul 'Satu' bakal dilancarkan pada September depan.