Farish Aziz ulang-alik Sabah-KL



MESKIPUN peluangnya lebih terbuka luas di Kuala Lumpur, pelakon dan pengacara, Farish Aziz tidak pernah menyesal dengan keputusan yang dibuat untuk menetap di kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah sejak 2011.

Bahkan, pemilik nama sebenar Mohd Farish Aziz Sulaiman ini turut menyifatkan pasaran hiburan di Sabah juga semakin berkembang maju sekali gus menerima sokongan yang sangat baik daripada masyarakat tempatan biarpun tidak begitu besar seperti di Kuala Lumpur,

Menguatkan lagi fakta, kata artis berusia 31 tahun itu, ramai bintang Akademi Fantasia (AF) yang berasal dari Sabah masih bernafas dalam karier seni mereka di negeri di bawah bayu itu.

"Tugas hakiki saya adalah menjadi penyampai radio di Suria FM Sabah bagi mengendalikan segmen Ceria Pagi Sabah bersama bintang AF4, Lotter.

"Tetapi, saya juga masih aktif memenuhi tawaran mengacara majlis tidak kiralah sama ada di Sabah mahupun di Kuala Lumpur.

"Pada masa sama, saya juga masih terbabit sama sebagai penerbit menerusi syarikat penerbitan Apna Addo bersama pelakon Sari Yanti, Intan Ladyana dan Tam Suhaimi," katanya kepada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.

Biarpun kerap berulang-alik di antara Kuala Lumpur dan Sabah, Farish bagaimanapun tidak pernah bercadang untuk berpindah semula ke Kuala Lumpur.

Katanya, jadualnya yang fleksibel memudahkannya untuk merancang aktiviti tanpa mengganggu masanya bersama-sama keluarga tercinta.

"Isteri saya, Zahrah Fowzi bekerja sebagai peguam dan sudah pasti jadual kerjanya tetap dan saya pula fleksibel.

"Jadi, saya tak boleh mementingkan diri dan perlu berkorban untuk keluarga saya.

"Apa yang paling penting, jadual perlu disusun dengan teratur dan teliti supaya tidak menimbulkan masalah di kemudian hari," katanya.

Begitu pun, pengacara Trek Selebriti ini memberitahu dia hanya akan berada di Kuala Lumpur sekiranya mempunyai tawaran berlakon dan mengacara.

"Biasanya, saya takkan berada terlalu lama di ibu kota kerana komitmen utama adalah pada karier di konti radio.

"Apatah lagi sejak kehadiran anak, Aydan Naeem yang kini berusia 18 bulan dalam kehidupan saya dan isteri, sukar untuk berpisah terlalu lama dengannya.

Saya cepat rindu pada anak kerana Aydan pun sekarang sudah makin membesar.

Jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang melihat keletahnya setiap hari yang sudah pandai bercakap dan bermain," katanya.


Pengalaman hadapi gempa bumi

Dalam pada itu, Farish sempat berkongsi pengalamannya sendiri dalam menghadapi kejadian gempa bumi yang melanda Ranau, Sabah pada awal Jun lalu.

Katanya, kejadian itu berlaku, dia sedang berada di konti radio kerana sedang bertugas.

"Apabila berlakunya gegaran, ramai rakan-rakan saya beranggapan berlakunya kejadian bangunan runtuh.

"Keadaan itu menyebabkan timbulnya suasana panik dan kelam-kabut," katanya.

Berbaki pengalaman lalu yang pernah dirasainya, Farish mengakui tenang dalam menghadapi situasi kecemasan tersebut.

"Pertama kali saya melalui insiden gempa bumi adalah pada 2009 ketika menjalani penggambaran drama Kau Dan Aku di Jakarta, Indonesia.

"Jadi, apa yang saya lakukan, saya tenangkan diri dahulu sebelum menghubungi keluarga bertanyakan keadaan mereka.

"Memang gegaran itu ada terasa tapi saya tidak sangka keadaannya begitu teruk sekali terutamanya di kawasan Gunung Kinabalu," katanya.

Tambahnya lagi, apa yang dikesalkan, terdapat informasi yang tidak tepat mengenai kejadian tersebut sekali gus menyebabkan masyarakat negeri itu panik.

"Ramai orang suka menggunakan medium laman sosial untuk menjadi pemberi informasi yang pertama mengenai sesuatu kejadian tanpa menyelidik dahulu walaupun kebanyakan informasi itu adalah auta.

"Jadi, apabila pelbagai spekulasi dikeluarkan di laman sosial mengenai kejadian gempa bumi, membuatkan masyarakat panik dan risau dengan keadaan mereka yang kononnya bakal ditimpa musibah.

"Lebih terkilan apabila orang ramai terus berkongsi pelbagai maklumat sejurus selepas gempa bumi dengan pelbagai versi dan spekulasi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Farish kini terbabit dalam program realiti terbaru yang menggabungkan konsep permainan dan diari kembara ke pelbagai destinasi menarik di serata Eropah berjudul, Awak Kat Mana.

Program yang bersiaran di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran (123) jam 9.30 malam, mulai 13 Ogos lalu menggandingkan Farish dengan koreografer, Alam Wakaka atau nama sebenarnya Muhamad Haslam Abd Rahman.

"Dalam program ini, saya dan Alam berpeluang mengembara ke Jerman.

"Sejujurnya, saya sangat suka akan konsep program ini kerana ia menarik tambahan pula saya sememangnya seorang gemarkan aktiviti melancong.

"Saya teruja kerana dapat terbabit sama dalam program seperti ini," katanya.

Previous Post Next Post