Jalan baharu Lah Ahmad



BUKAN sehari dua atau cerita baharu mengenai transisi kehidupan Lah Ahmad yang telah berlaku sejak beberapa tahun lalu. Namun, perihal yang selalu menarik perhatian tentang penghijrahan seseorang ialah bagaimana hati mereka digerakkan untuk berubah. Begitu juga buat Lah, bekas anggota kumpulan VE yang cukup sinonim dengan untaian lagu cinta dalam balutan nuansa R&B, hip hop dan pop soul.

Memberitahu nalurinya mula terdetik untuk mengubah corak perjalanan hidup selepas mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya, Puteri Yasrina sekitar 2007, semangat itu diperkemas dengan peralihan fasa dirinya sebagai bapa yang menerima kelahiran puteri sulungnya, Amira Zaharah pada 2009.

Butir bicara Lah tersusun rapi dan lembut. Katanya yang tidak pernah lelah mengikuti kelas agama yang dibimbing oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid pada setiap hari Jumaat di Surau Al Hidayah, AU3 Keramat dan hari Ahad di Madras an-Nur, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, dia gembira dengan corak kehidupannya sekarang.

Tidak pernah terduga segalanya dipermudahkan, Lah bagaimanapun berperang dengan diri sendiri saat membuat keputusan untuk kembali bergerak aktif dalam dunia seni.


“Pada awalnya saya sendiri buntu mencari di mana garis mula untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Namun, berkat memohon doa dan kuasa Allah telah mempermudahkan segalanya.

“Saya tidak pernah putus berdoa agar Allah memberi petunjuk dan keredaan dalam mencari kerjaya. Sehingga pada suatu malam, selepas berdoa saya dapat merasakan bahawa permintaan saya direstui Allah. Sejak itu saya kembali aktif semula di bidang seni, namun paksi dan pengisiannya kini sudah berubah,” jelas Lah saat memulakan bicara.

Terasa seperti menghadiri kuliah agama, tutur kata Lah tidak ubah seperti seorang ustaz mahupun penceramah yang sering ditonton di kaca televisyen. Sesekali dia melepaskan ketawa kecil apabila sikapnya itu diperkatakan.

Terus bercerita, dalam tempoh tiga tahun menuntut ilmu akhirat, Lah mula merasakan perkara itu tidak akan pernah cukup sekiranya dia terus mencari. Timbul niat untuk berkongsi, Lah membuat keputusan untuk kembali ke pentas, namun tujuannya berbeza berbanding dahulu.


BAKAL muncul dengan single terkini berjudul Dendang Abah, ia menyaksikan Lah berkolaborasi bersama pelakon cilik, Puteri Balqis.

Jika pada awal kerjaya dia gigih memperjuangkan elemen hip hop, R&B dan pop soul, kini Lah meletakkan transisi dengan menggunakan pentas nyanyian sebagai medium untuk berdakwah.

Vokal

Ditawarkan untuk membuat persembahan qasidah bersama stesen televisyen AlHijrah lebih dua tahun lalu merupakan permulaan buat Lah meneruskan niatnya berkecimpung dengan irama berbentuk ketuhanan.

Tidak menoleh ke belakang, Lah terus melaksanakan hasrat bertemu pihak Inteam Records untuk mempersembahkan karya penulisan liriknya. Tanpa diduga niatnya itu telah membuka peluang melahirkan album solo bertajuk Lah Ahmad: Jalan Untuk Kembali pada tahun lalu.

Memiliki kekuatan dengan sembilan buah lagu bersama alunan qasidah dan instrumental, Lah gigih memperjuangkan kerjaya seninya meskipun bergerak sedikit perlahan berbanding dahulu.

“Secara tidak sedar peluang itu tiba tanpa diduga. Tambahan, aspek vokal memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian sementelah dalam Islam sendiri pun penggunaan vokal diperlukan untuk melaungkan azan.

“Bukan berniat untuk bercakap besar tetapi insya-Allah sekiranya cara bersesuaian digunakan, pasti dapat melembutkan hati yang keras,” kata Lah yang mengambil kesempatan menggunakan medium hiburan menyampaikan kebaikan kepada masyarakat.

Mempertaruhkan sentuhan magisnya dalam kesemua karya, Lah selesa menghasilkan sendiri nukilan kerohanian dalam bait lirik lagunya. Cara itu lebih memudahkan diri untuk bercerita tentang perjalanan penghijrahan yang dilalui.

Meletakkan kata-kata pujian kepada sang pencipta yang Esa, Lah menumpahkan rasa kagum terhadap keperibadian Rasulullah dalam lagu Salam, Agung dan Nazam Tok Nenek.

Meskipun perjuangan lagu menjurus ke arah ketuhanan, Lah tetap memilih konsep R&B dan pop soul sebagai rencah utama untuk diadunkan dengan bait penulisan liriknya.

Diberi kepercayaan dan peluang untuk berkarya, Lah yakin pertaruhannya itu relevan dengan perkembangan muzik semasa sementelah penampilannya juga dilihat sama seperti penghibur dari Asia Barat, Maher Zain.

Imej

Biarpun penampilannya yang kemas dengan kot dan topi baret dilabelkan sama seperti penyanyi yang popular dengan lagu Insha Allah itu, Lah memberitahu, dia memilih imej serupa dengan Maher Zain kerana ia bersesuaian dengan persembahan dan konsep album yang dipasarkan.

“Saya berpakaian seperti ini untuk nampak segak tetapi ia lebih selesa dan menepati kehendak serta cita rasa peminat sekarang. Tambahan juga, konsep R&B yang cuba diketengahkan turut mempengaruhi imej.


ALBUM solo Lah berjudul Lah Ahmad: Jalan Untuk Kembali yang diterbitkan pada tahun lalu.

“Selain memenuhi konsep lagu, saya berpakaian seperti ini hanya untuk mengikut kesesuaian majlis. Sekiranya memerlukan memakai jubah dan berkopiah itu lebih selesa buat saya.

“Terus terang imej sebegitu (jubah) lebih memberikan keselesaan terutama saat bertemu Ilahi (solat). Jika diberi pilihan pasti berpakaian seperti itu akan saya pilih,” katanya.

Membezakan tentang urusan kerjaya dengan peribadi, Lah tidak melihat cara berpakaian melambangkan peribadi individu seseorang. Secara peribadi, dia berpendapat cukup seseorang itu menutup aurat dan bersesuaian dengan keadaan sudah memadai etika pemakaiannya.

Tidak perlu kelihatan keterlaluan untuk menarik perhatian umum mahupun mengatakan diri terlampau alim sehingga timbul perasaan riak. Sebaliknya biar ia ikhlas dan dinilai sendiri oleh Allah.

Perjalanan seni

Beralih bicara mengenai perkembangan terkininya, Lah teruja berkongsi mengenai karier seninya yang berkembang. Tidak berhenti hanya dengan sebuah album, dia kini dalam proses untuk menghasilkan album kedua sekitar penghujung tahun ini.

Masih dalam peringkat rakaman, Lah menampilkan sisi berbeza dari segi ‘cara kerja’ daripada album pertama.

Karya kali ini diisi dengan banyak kerjasama Lah bersama beberapa rakan artis lain. Antaranya, menerusi single berjudul Dendang Abah ciptaan Adeep Nahar, Lah berduet dengan bintang cilik, Puteri Balqis Azizi.

Mereka mula bekerjasama selepas bertemu sekitar Mei lalu. Pada awalnya, kehadiran Balqis hanya untuk mendengar lagu tersebut, sementelah dirinya sedang terlibat dengan naskhah berkaitan kehidupan antara anak dan seorang bapa.

Tertarik dengan penulisan lirik yang dihasilkan Lah, Balqis kemudian bersetuju untuk berganding dengan penyanyi tinggi lampai itu. Mengambil tempoh selama empat jam, lagu Dendang Abah berjaya dirakam dan menjadi pertaruhan pertama Lah untuk buah tangan keduanya itu.

“Saya tidak menyangka perkara seperti ini akan berlaku. Pada awalnya, semua tiada langsung dalam perancangan tetapi Allah mempermudahkan kerja baharu ini.

“Kerjasama kami berjalan lancar kerana Balqis seorang yang mudah didekati selain bijak dalam menzahirkan emosi sama seperti kerjaya lakonan,” ujar Lah memuji Balqis.

Selain Balqis, Lah juga berkolaborasi dengan Altimet menerusi lagu Mengelamun.

Biarpun menyaksikan perbezaan cara kerja, namun Lah masih mengekalkan konsep yang sama terhadap karya iaitu dengan genre R&B dan pop soul.

Previous Post Next Post