DAVID FOSTER berjaya dengan siri konsertnya, Hitman David Foster & Friends Asia Tour apabila menarik lebih 5, 000 peminat menonton persembahan mereka.
MENGAGUMKAN. Barangkali itu perkataan yang terpacul daripada mulut lebih 5,000 peminat yang membanjiri Arena of Stars, Genting Highlands selepas menyaksikan konsert Hitman David Foster & Friends Asia Tour Jumaat lalu.
Gabungan penyanyi handalan antarabangsa seperti Boyz II Men, Natalie Cole, Peter Cetera, Ruben Studdard dan Jackie Evancho ternyata memberi keriuhan dan kesegaran kepada setiap petikan piano yang dimainkan oleh penerbit muzik handalan dunia, David Foster.
Konsert berdurasi dua jam itu diberi introduksi dengan kehadiran Foster di atas pentas yang mendapat sorakan gemuruh daripada peminat. Katanya, beliau sangat teruja kerana dapat kembali ke Malaysia.
“Saya sangat sukakan negara ini (Malaysia). Banyak kali saya telah berada di sini. Ia sangat hangat dan saya rasa seperti tidak mahu tinggalkannya,” ujar Foster yang kini berusia 65 tahun.
Sebelum memberi ruang kepada penyanyi pertama membuat persembahan, Foster sempat mengalunkan lagu berjudul Snowbirds dan Winter Games dengan kepakarannya bermain piano.
Penyanyi pertama yang membuat persembahan ialah Jackie Evancho iaitu satu bakat luar biasa yang berjaya dicungkil oleh Foster melalui program realiti televisyen popular Amerika Syarikat (AS), America’s Got Talent pada tahun 2010.
Vokal klasikal Evancho sememangnya membuat bulu roma penonton berdiri tegak ketika dia mendendangkan tiga buah lagu berjudul Lovers, Music Of The Night dan Nessun Dorma.
Walaupun baru berusia 15 tahun, ternyata Evancho berada dalam kelasnya yang tersendiri dan Foster memuji transformasi remaja yang dikenalinya ketika dia berusia lapan tahun.
“Lihatlah dirinya sekarang. Dia sangat menakjubkan,” ujar Foster memuji anak didiknya itu.
Balas Evancho: “Saya tidak akan berada di sini tanpa sokongan dan tunjuk ajar daripada Foster. Dia adalah individu yang sangat hebat dan saya sangat terhutang budi kepadanya.”
Persembahan kemudian diteruskan dengan penyanyi R&B yang juga merupakan juara American Idol musim kedua iaitu Ruben Studdard. Ruben menyanyikan tiga buah lagu berjudul I Swear, Love Love What You’ve Done dan Home. Menariknya, dia sempat menyanyikan sebuah lagu yang dicipta secara spontan di atas pentas selepas didedahkan oleh Foster bahawa dirinya boleh mencipta lagu dengan cepat.
Kekuatan vokal Ruben sememangnya tidak boleh disangkal lagi selepas menjuarai American Idol pada tahun 2003. Dalam kemerduan Ruben mengalunkan vokalnya yang sangat merdu, peminat kadangkala tertawa melihat gelagatnya di atas pentas yang mudah berpeluh dan akan mengesat peluhnya dengan bersahaja menggunakan kain.
Kata Foster: “Kamu (Ruben) bersaiz seperti patung beruang tetapi vokal kamu umpama marshmellow. Penonton sukakan kamu!”
NATALIE COLE masih bertenaga dan berbisa dengan kemampuannya sebagai penyanyi biar sudah berusia 65 tahun.
Kemunculan Peter Cetera sememangnya ditunggu-tunggu peminat dan apabila dia berdiri di atas pentas, penonton tidak berhenti memberi sorakan kuat.
Sebelum membuat persembahan, Cetera sempat memberitahu penonton bahawa malam tersebut merupakan kali pertama dia berada di Malaysia.
“Saya tidak pernah ke Malaysia sebelum ini dan saya sangat teruja dan terkejut dengan negara ini.
“Ia sebuah negara yang sangat unik. Cuaca di sini sangat hebat,” kata Cetera penuh optimis.
Dia kemudian mendendangkan lagu-lagu hitnya seperti I You Leave Me Now, Hard To Say If I’m Sorry, You’re The Inspiration dan 25 Or 6 to 4.
Bekas vokalis utama band rock terkenal 70-an bernama Chicago itu sempat menunjukkan kepakarannya bermain gitar bass selepas dicabar oleh David yang turut mengiringinya bermain piano ketika melakukan ke semua persembahan.
Uji bakat rawak
Seperti biasa, setiap kali Foster melakukan persembahan atau berdepan dengan media, beliau memberi peluang kepada sesiapa untuk mencuba nasib selama 30 saat di atas pentas dengan bertemankan sebuah mikrofon dan petikan piano.
Justeru, tiga orang peminat bertuah sempat menonjolkan bakat menyanyi mereka. Itulah istimewanya David yang sangat komited dan bersemangat tentang perkara yang melibatkan seni dan muzik.
“Saya suka melihat bakat yang terpendam. Saya tahu ramai antara kamu yang mempunyai bakat menyanyi. Saya mempunyai keyakinan di mana sahaja membuat persembahan, pasti ada jiwa yang melonjak-lonjak untuk menunjukkan bakatnya kepada umum,” bicara Foster sambil berseloroh.
Persembahan terus dihangatkan dengan kemunculan penyanyi prolifik yang masih lagi mampu menggunakan kudratnya walaupun harus diakui secara fizikal beliau semakin dimamah usia membuatkan pergerakannya agak terbatas.
Bintang yang dimaksudkan ialah Natalie Cole, 65, yang tampil mengubatkan kerinduan para penonton terhadapnya dengan menyanyikan tiga buah lagu berjudul Miss You Like Crazy, Unforgettable dan This Will Be. Menariknya, ketika mendendangkan lagu Unforgettable, penyanyi itu berduet bersama mendiang bapanya, Nat King Cole melalui bantuan paparan teknologi skrin yang membuatkan hari penonton tersentuh.
Kata Natalie, beliau tetap rindukan bapanya (Nat King Cole) walaupun lelaki itu sudah lama meninggal dunia.
BAKAT Jackie Evancho yang terkenal dengan genre klasikal dikesan Foster sewaktu dia berusia lapan tahun.
“Saya diberi pengenalan terhadap muzik olehnya dan sangat berbangga dengannya walaupun dia tiada lagi di sisi,” getus Natalie yang kelihatan menawan mengenakan gaun panjang berwarna kuning.
Akhir sekali pastinya kemunculan dan persembahan yang dinantikan ramai iaitu kumpulan acapella terunggul dunia, Boyz II Men.
Boyz II Men yang dianggotai Nathan Morris, Wanya Morris dan Shawn Stockman memulakan persembahan mereka dengan menyanyikan lagu berjudul Motown Philly. Walaupun usia semakin meningkat, gelagat mereka masih lagi bertenaga dan lincah di atas pentas.
Tahu apa yang didahagakan peminatnya, Boyz 11 Men mendendangkan untaian hit mereka seperti Water Runs Dry, I’ll Make Love To You dan lagu berhantu berjudul End Of The Road yang berjaya mengajak penonton turut sama menyanyi, sekali gus menggamit suasana meriah.
Dalam keghairahan Boyz II Men melakukan persembahan, Foster sempat mengusik kumpulan tersebut dengan beberapa persoalan.
“Sepanjang bekerja sebagai pemuzik, saya tidak pernah menulis lagu untuk kamu. Namun, apa yang pasti, saya merupakan salah seorang peminat kamu,” ujar Foster yang mengakui kehebatan kumpulan tersebut.
Persembahan penutup menyaksikan kesemua penyanyi bergabung menyanyikan lagu berjudul Hey Jude sebelum pulang dengan seribu kenangan manis.