Dari jauh, kelihatan sosok tubuh kecil seorang wanita sedang berdiri sambil tersenyum melambai tangan kepada rakan media yang menuju ke arahnya.
Manis berbaju kurung kain kapas bercorak bunga biru, lengkap tudung bawal warna yang sama, langsung tidak menampakkan dirinya sebagai Neelofa, pelakon serta pengacara yang terkenal sebagai ikon fesyen orang muda.
Polos wajahnya, bersih daripada sebarang contengan solekan, itulah watak terbaharu yang dibawa oleh nama sebenar Noor Neelofa Mohd.Noor, 26, menerusi sebuah telefilem bertajuk Wan Embong sempena tayangan bulan kemerdekaan ini.
Cereka pendek yang turut dibintangi oleh Faizal Hussein, Izreen Azminda, Johan Asa’ari dan Vanidah Imran itu mengisahkan pergolakan rumah tangga seorang lelaki yang beristeri tiga, iaitu Seri (Vanidah), Cempaka (Izreen) dan Wan Embong (Neelofa).
Dua tahun menggantung lesen daripada menjadi seorang pelakon untuk memberi fokus terhadap bidang perniagaan dan pengacaraan, tahun 2015 menyaksikan Neelofa membuka lembaran baharu anak wayang sejak dia mengenakan hijab awal tahun lalu.
“Saya teruja untuk kembali ke set penggambaran setelah agak lama memperlahankan kerjaya sebagai pelakon. Buat masa sekarang, saya terikat dengan kontrak lakonan bersama TV3 untuk lima telefilem dan setakat ini, baru dua yang sudah dilunaskan.
“Wan Embong adalah naskhah kedua lakonan saya sekembalinya dari rehat yang panjang, selepas telefilem Lukisan Takdir yang ditayangkan Syawal lalu,” ujarnya ketika ditemui di set penggambaran Wan Embong di Taman Botani Negara Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Antara jodoh dan cinta
Walaupun anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu sedaya upaya mengasingkan diri daripada sebarang gosip liar, terutamanya setelah berhijrah memakai tudung, masih ada lagi lalang-lalang bertiup bercakap tentang kehidupan peribadinya.
TELEMOVIE Wan Embong yang menjadi naskhah kedua lakonan Neelofa selepas kembali aktif bakal ditayangkan sempena bulan kemerdekaan.
Terkini, kisah cintanya menjadi tumpuan apabila beberapa keping gambar dirinya dan seorang lelaki berketurunan asing dimuat naik ke laman Instagram miliknya. Walaupun wajah sebenar lelaki itu tidak didedahkan dan Neelofa melabelkan hubungan mereka dalam #hanyakawan, namun ia tidak dapat menepis tebakan nakal mengenai hubungannya bersama si kacak itu.
Neelofa hanya tersenyum nipis apabila persoalan teman hidup dan perkahwinan diajukan, memberi bayangan dirinya sudah muak dengan pertanyaan tersebut.
“Saya sudah penat. Terutama untuk melayan lelaki yang baru hendak menginjak usia 22 dan 23 tahun, yang masih belum tahu tentang tanggungjawab hidup tetapi ingin bercinta.
“Kalau boleh, biarlah bakal suami saya itu jauh lebih matang daripada diri ini. Sedikit berusia tidak mengapa asalkan boleh mengawal rumah tangga andai sudah bernikah kelak,”tuturnya ikhlas sambil mengakui hatinya masih belum dimiliki oleh mana-mana jejaka.
Berbalik soal jejaka yang dikatakan sebagai teman lelakinya, Neelofa tegas mengatakan, dia hanya salah seorang model yang terlibat dalam kerja-kerja pengiklanan tudungnya, Naelofar Hijab.
Malah, heroin filem Pilot Cafe itu juga secara terang-terangan mengakui dia dalam proses muhasabah diri dan ingin menyingkirkan anasir-anasir yang tidak perlu untuk masa depannya nanti.
Tambah Neelofa, dia mahu membersihkan jiwanya secara perlahan-lahan dan memperbetul niat hidup dengan harapan jodoh yang sebenar akan menyapanya kelak.
“Secara umumnya, saya tidak tertekan jika ditanya tentang bila hendak berkahwin tetapi kadang-kadang hati wanita, tipulah jika tidak tercuit rasa itu. Saya memang bersedia untuk bertemu si dia yang bakal menjadi lelaki terakhir dalam hidup tetapi mungkin belum sampai masanya.
“Oleh sebab itu, saya ingin mengosongkan ruang-ruang hidup yang diisi oleh perkara-perkara tidak perlu dan menyiapkannya untuk jodoh saya yang bakal tiba,” ulasnya yang yakin kesabarannya menanti jodoh sesuai adalah penantian yang berbaloi.
NEELOFA sentiasa berpegang kepada prinsip hidupnya yang mengasingkan antara karier dan kisah peribadi.
Tulis buku
Selain kembali aktif berlakon, Neelofa juga sedang giat untuk menyiapkan sebuah buku motivasi hasil nukilan dirinya, bertajuk The Chic Codes yang diinspirasikan daripada perjalanan hidupnya.
Bukan mahu mendabik dada mengatakan dirinya sudah cukup baik untuk berkongsi rahsia kehidupan tetapi niatnya ialah berkongsi ilmu dengan harapan, kesilapan yang dilakukannya tidak akan diulang oleh remaja di luar sana.
Walaupun pada mulanya Neelofa agak ragu-ragu untuk menulis, tetapi kata hatinya kuat mahu pengalaman hidupnya itu dibaca dan dijadikan pedoman oleh mereka yang turut merasa kisah sama.
“Pernah saya bertanya pada diri sendiri, cukup layakkah saya untuk menulis sebuah buku dan menjadi pengajaran pada orang lain?
“Jawapan yang saya temui ialah andai bukan sekarang, bila lagi hendak saya mulakannya? Apa yang penting niat, bukan pandangan orang kerana mereka akan terus berkata, tidak kira perkara itu baik atau sebaliknya,” ujarnya yang memberitahu buku itu akan mengandungi 12 bab berkenaan cinta, hidup dan perniagaan.
Bagi membuktikan keinginannya untuk menulis sebuah buku itu bukan sekadar omongan kosong, Neelofa telah mengambil inisiatif menubuhkan satu kumpulan khas yang terdiri daripada empat ahli bagi menjayakan penulisannya itu.
Memperuntukkan empat jam sehari bagi mencari idea dan mengumpul bahan, proses pembikinan buku itu sudah pun bermula sejak Februari lalu dan akan diteruskan selepas Neelofa tamat penggambaran telefilem Wan Embong.