Miera Liyana, Afiq Muiz tidak terburu-buru



KALAU tiada angin, masakan pokok bergoyang. Barangkali itu pepatah yang sesuai untuk menggambarkan keintiman dua pelakon muda yang semakin meningkat naik dalam lapangan industri hiburan negara, Afiq Muiz dan Miera Liyana.

Sejak beberapa bulan lalu, bertebaran pantas gosip yang mengaitkan dua nama pelakon itu sementelah keghairahan mereka bergambar berdua sehingga mencetuskan tanda tanya buat peminat khususnya.

Kedua-duanya masih solo dan masing-masing juga pernah mempunyai sejarah silam yang duka dalam bab bercinta. Lantas, itu dijadikan sebab untuk mereka dikaitkan mempunyai hubungan cinta.

Bertemu mereka dalam satu majlis rumah terbuka hari raya baru-baru ini, Afiq dan Miera mengambil pendekatan selamat untuk tidak mengiyakan dakwaan itu. Bagi mereka, masih terlalu awal frasa yang disifatkan sebagai hubungan sesama rakan artis itu diterjemahkan kepada hubungan cinta.

Sama sekali tidak menyangka, perkenalan mereka tiba-tiba menjadi akrab hanya selepas terbabit dalam beberapa buah drama. Sejak itu, bibit-bibit perhubungan mereka mula menjalar segar sehinggalah ada yang mendakwa mereka kini sedang hangat menyulam cinta.

Ditebak dengan usikan itu, Miera hanya tertawa kecil. Baginya, masih terlalu muda untuk bercakap tentang cinta.


“Saya dan Afiq hanya berkawan. Kami sedang kenal dahulu perangai luar dan dalam. Lagipun kami mula menjadi rapat selepas beberapa kali dipertemukan dalam drama yang sama seperti Aishiteru dan yang terbaharu, Memori Cinta Suraya.

“Sejak itu kami mula rapat dan berkawan sehinggalah sekarang. Dahulu Afiq sangat sombong dan tidak mahu bercakap dengan saya tetapi disebabkan kerap digandingkan dalam satu drama yang sama, keakraban itu tercetus dengan sendirinya,” seloroh Miera membuka cerita mengenai hubungan mereka.

Pada saat Miera begitu berhati-hati membutirkan kisah hubungan akrab mereka, Afiq tanpa berselindung telah membawa Miera datang beraya di rumah keluarganya sempena hari raya. Namun, pantas dia mengelak bahawa ajakan itu hanyalah undangan biasa rakan ke rumah bagi bertandang sebagai tradisi perayaan.


MENYANGKAL dakwaan bercinta, Afiq dan Miera masing-masing mengambil pendekatan untuk menyifatkan hubungan yang terjalin hanyalah atas dasar rakan artis.

“Miera ada datang beraya di rumah baru-baru ini dan berjumpa ibu saya. Segalanya lancar dan kami beraya seperti biasa macam orang lain. Tiada apa yang istimewa tentang perkara itu,” ujar Afiq sambil tersenyum ceria.

Sejarah

Kedua-duanya punya sejarah yang sama. Miera pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan seorang pelakon lelaki, bahkan Afiq juga melalui sejarah yang sama kecewa dengan seorang artis perempuan.

Memandang semua sejarah duka itu sebagai satu pengajaran terhebat dan bermakna, mereka pantas menahan gelora jiwa muda daripada terjerumus sekali lagi dalam kancah gosip percintaan selebriti.

“Saya rasa hubungan persahabatan sesama rakan artis adalah perkara normal dan bukan kami sahaja yang berkawan baik. Ramai lagi rakan-rakan artis di luar sana yang berkawan sesama sendiri. Selagi kita bersikap profesional untuk mengawal perkara ini, itu sudah cukup.

“Lagi pula, usia kami masih muda untuk memikirkan soal kahwin. Perjalanan kami masih panjang dalam industri dan rasanya belum sesuai untuk masing-masing berfikir tentang jodoh,” ujar Afiq bersahaja.

“Ia sesuatu yang kurang manis dipandang orang jika mengaku sedang bercinta sebab bekerja di bawah satu payung yang sama. Kalau cakap lebih, nanti kalau jadi apa-apa yang tidak elok, nama kami juga yang tercemar.

“Selain Afiq, saya ada juga baik dengan pelakon lelaki lain seperti contoh, rakan artis lelaki dalam telenovela MCS, Hisham Hamid. Mengapa orang tidak kaitkan saya? Sebaliknya lebih memfokuskan kepada kami berdua. Saya senang berkawan dengan sesiapa sahaja, asalkan saya tahu menjaga batasan.


MASIH terlalu muda untuk bercinta. Itu pendirian dua anak muda ini apabila ditebak dengan status mereka yang dilihat semakin intim.

“Sebagai seorang selebriti dan hidup dalam kelompok yang menjadi perhatian ramai orang, seharusnya kami perlu tahu bagaimana untuk mengatasi semua kontroversi seperti ini dengan cara yang positif,” ujar Miera panjang lebar.

Karier

Diakui, bakat kedua-dua pelakon ini semakin galak menyinar dalam bidang lakonan. Tawaran demi tawaran diterima membuatkan nama mereka antara yang semakin kerap bermain di layar kaca televisyen ketika ini.

“Alhamdulillah, sekarang tawaran masih berjalan seperti biasa. Walaupun selalu dapat watak antagonis tetapi saya percaya ia sedikit sebanyak membantu nama saya dikenali ramai. Lagi pula, ini kerjaya pilihan dan saya akur sahaja dengan kehendak pengarah jika berasa saya lebih menyerlah menjayakan watak antagonis.

“Buat masa ini, saya memang fokus kepada MCS semata-mata kerana ia telenovela yang panjang dan menuntut para pelakon banyak menghabiskan masa di set penggambaran.

“Tambahan pula, karakter saya sebagai Airin iaitu seorang gadis psiko semakin berkembang. Dari satu episod ke episod baharu, watak Airin semakin mencabar dan ia membuatkan saya perlu betul-betul fokus untuk menjiwainya,” ulas Miera.

Bagi Afiq pula, keinginan manusia itu berbeza. Dek kerana kurang gemar bertapa lama di set penggambaran membuatkan dia jarang mengambil tawaran berlakon drama panjang.

“Alhamdulillah, syukur sekarang rezeki semakin banyak dan karier saya juga semakin stabil. Selain drama yang besar seperti MCS sehingga telemovie, syukur tawaran berlakon masih ada.

“Walaupun terikat juga dengan komitmen penggambaran MCS, sebenarnya saya memang tidak suka ambil tawaran drama yang panjang sebab takut tidak mampu membahagi masa dengan kerja lain. Kalau drama biasa atau telemovie, saya tidak kisah sebab ada lebih masa untuk buat perkara lain,” tuturnya.

Previous Post Next Post