Pengetua dan tenaga pengajar Akademi Fantasia
SEGALA persoalan dan tanda tanya mengenai pelantikan pengetua program realiti Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) kini terjawab apabila komposer terkenal, Edry Abdul Halim diumumkan sebagai perintis untuk tahun ini.
Masih mengekalkan format asal, AF 2015 bakal menyaksikan gabungan semula barisan tenaga pengajar yang cukup sinonim yang sebelum ini banyak menyumbangkan khidmat dan kepakaran dalam mendidik bintang dalam musim terdahulu.
Selaku pengetua, Edry mengakui akan membuat beberapa pembaharuan sepanjang pertandingan itu dijalankan agar ia dilihat masih relevan dengan perkembangan semasa.
“Untuk tahun ini saya mahu memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada pelajar untuk mengeluarkan idea mereka sendiri dalam setiap persembahan, di mana sebelum ini tenaga pengajar yang membuat keputusan.
“Lagi pun AF adalah platform akademi untuk pelajar menimba ilmu muzik. Rancangan ini adalah tentang pelajar-pelajar.
“Barisan tenaga pengajar hanya akan membantu dan menjadi tempat rujukan buat mereka.
“Bagi saya konsep ini akan lebih menonjolkan bakat bertepatan dengan imej pelajar yang tersendiri,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan 16 bakal pelajar, baru-baru ini.
AF 2015 menyaksikan kehadiran gabungan semula barisan tenaga pengajar yang cukup sinonim dengan penerbitan AF serta pernah menyumbang khidmat dan kepakaran dalam mendidik bakal-bakal bintang untuk musim-musim terdahulu iaitu Acis sebagai pengarah muzik
konsert, Shahrol (guru vokal), Fatimah Abu Bakar (Guru Motivasi dan Bahasa Inggeris), Linda Jasmin (guru tarian dan kareografi), Fauziah Nawi (guru seni persembahan) dan Que Haidar (guru pementasan).
Selain itu, AF 2015 juga sekali lagi memberi kepercayaan kepada Zizan Razak dan Faizal Ismail untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara mingguan, selain Nana Mahazan sebagai pengacara Diari AF 2015.
Sokong undian masuk
Pernah beranggapan konsep undian masuk pelajar terkeluar adalah konsep yang tidak bersesuaian, kini Edry lebih memahami mengapa ia diperlukan di dalam program realiti seperti AF.
“Sebelum ini saya juga salah seorang yang mempertikaikan konsep itu tapi bila dijelaskan oleh pihak produksi, barulah saya tahu bagaimana ia membantu.
“Ini adalah pendekatan yang baik buat pelajar yang memang layak meneruskan perjalanan mereka dalam program ini.
“Saya tidak mahu jika ada peserta yang bagus, tetapi tersingkir tidak diberi peluang kedua,” tegasnya.
AF 2015 akan bersiaran menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Rutin harian pelajar menjalani kehidupan di akademi boleh ditonton melalui liputan harian Diari AF 2015 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 malam bermula 3 Ogos lalu.
Manakala konsert mingguan AF 2015 pula akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap hari Ahad, jam 9 malam mulai 9 Ogos.
Bagi merancakkan lagi penerbitan musim ini, AF 2015 bakal membuat kejutan sewaktu konsert penentuan di minggu pertama kelak.
Jumlah pelajar yang bakal meneruskan perjuangan dalam AF 2015 akan terjawab pada malam konsert penentuan itu nanti.