Nana Mahazan Suara dah tak sedap



PENGACARA Nana Mahazan mengakui suaranya sudah tidak sedap untuk menyanyi seperti zamannya 12 tahun lalu.

Justeru itu, walaupun menyanyi adalah minatnya, tetapi tidak lagi dijadikan sebagai salah satu kerjayanya.

“Tambahan penyanyi baharu sekarang lebih pandai menyanyi, oleh itu lebih baik saya undur diri dalam bidang nyanyian.

“Saya juga sedar diri dengan kemampuan saya dan saya tidak terfikir pun untuk muncul semula buat masa ini dalam bidang nyanyian semata-mata untuk bersaing dengan penyanyi baharu,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis sidang media Super Spontan All Star, baru-baru ini.

Nana atau nama sebenarnya Nur Hana Che Mahazan, 32 juga memberitahu, peminat sentiasa menginginkannya kembali ke pentas nyanyian.

“Memang ada sahaja permintaan dari peminat untuk saya menyanyi semula, tetapi saya mahu lebih fokus apa yang saya lakukan kini seperti mengacara.

“Kerjaya nyanyian sudah tamat bagi saya dan tidak mungkin saya akan muncul semula dalam dunia itu,” katanya.


Berkongsi pula perasaannya apabila ditawarkan sekali lagi menyertai pentas Super Spontan All Star kali ini, ibu dua anak ini berkata, kali ini dia mahu mencari pengalaman dan gembira bersama peserta lain.

“Perasaan takut itu tetap ada, kerana ramai kawan-kawan saya cakap saya tidak siuman apabila menerima tawaran ini.

“Namun bagi saya, ini antara rezeki saya dan keluarga serta tidak salah untuk saya terus mencuba seterusnya mahukan kegembiraan sahaja melakukan segala permainan.

“Selain, seronok, Super Spontan ini menjadikan kita kreatif kerana perlu melakukan permainan secara spontan,” katanya.

Kurang masa bersama anak

Selain sibuk dengan pentas Super Spontan, Nana juga sibuk Diari Akademi Fantasia (AF) 2015 sebagai pengacara.

Justeru, Nana akui masa bersama anak sudah berkurangan kebelakangan ini.

“Siang diari AF, malam pula di pentas Super Spontan, jadi memang waktu dengan anak sedikit berubah.

“Tetapi mereka faham sebab ibu mereka kerja dan perlu cari duit. Lagipun setiap Ahad, saya pasti akan luangkan masa bersama mereka.

“Saya tidak pernah abaikan mereka walaupun saya sibuk. Saya juga selalu rindu mereka walau hanya sekejap berpisah,” katanya.

Previous Post Next Post