Sisi versatil Maya Karin



DIA pernah menjadi diva yang comel dalam filem Cun. Dia pernah menjadi pengikis dalam filem Pisau Cukur dan dia juga pernah menjadi hantu dalam filem Puntianak Harum Sundal Malam.

Tidak kalah penangannya sebagai isteri yang baik dan lemah lembut dalam filem Ombak Rindu, dua filem psikologi thriller lakonan figura cantik bernama Maya Karin ini bakal ke layar perak.

Ia adalah filem Nota arahan warga Jepun, Yasu Tanaka yang menggandingkannya dengan Hans Isaac dan filem Jwanita arahan Osman Ali, gandingan beliau dan Bront Palare.


“Saya teruja melakonkan watak psiko. Setelah berlakon banyak watak, impian saya sebenarnya mahu mewujudkan jenama Maya Karin itu sendiri. Macam kita tengok filem Tom Cruise. Sebut sahaja Tom Cruise kita nak tengok dan kita yakin filem-filem lakonannya mesti bagus dan hebat.

“Macam tu lah yang saya nak pada jenama Maya Karin,” katanya ketika ditemui pada majlis pra tonton Jwanita di Ulu Klang, baru-baru ini.

Nota merupakan filem psikologi thriller yang mengangkat kisah seorang isteri bernama Erin yang telah merancang satu tragedi pembunuhan setelah mengetahui suaminya mempunyai hubungan sulit dengan kawan baiknya.

“Nota berada di pawagam 13 Ogos ini manakala Jwanita 29 September. Setiap watak ada kekuatan dan kelainan tersendiri. Persamaannya, kedua-keduanya saya psiko.

"Menerusi Jwanita, saya mempunyai masalah mental serius akibat kisah silam dan melibatkan banyak babak fizikal.

"Memang penat berlakon sebagai Jwanita. Ada hari saya bekerja sehingga 28 jam,” katanya ketika ditemui pada majlis pra tonton filem itu di Kafe Skrin, baru-baru ini.

Bergandingan kali keenam bersama Bront, ia memberi kelebihan buat Maya untuk menjadikan lakonan mereka lebih baik.

Previous Post Next Post