HAZAMI mengaku dirinya kini lebih positif dan mahu mengamalkan pemakanan sihat.
Hati tersentak dan terkejut apabila menerima perkhabaran penyanyi Hazami dikatakan telah meninggal dunia pada Selasa lalu akibat pendarahan usus besar yang dialaminya. Rata-rata teman media juga masih tertanya-tanya adakah benar berita yang disampaikan menerusi media sosial itu. Ingatan terus terbang kepada pertemuan dengannya di pejabat Kosmo! sebelum sambutan Aidilfitri lalu.
Jika benar berita berkenaan, itulah pertemuan terakhir antara pihak media dengannya. Waktu itu beliau sedang ligat menyusun atur kemunculan semulanya dalam industri seni selepas tiga tahun menyepi.
Perasaan lega menyelubungi diri apabila disahkan berita kematian Hazami hanyalah palsu. Sewaktu berita itu hangat disebarkan, Hazami telah berada di kediaman ibunya yang terletak di Gombak, Selangor setelah dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Tropicana, Selangor selepas lima hari menerima rawatan di pusat perubatan tersebut.
Jika banyak peminatnya dan khalayak terkejut dengan berita tersebut, Hazami atau nama sebenarnya Norkamal Hazami Ahmad, 40, pula hampir pengsan serta diserang lelah sebaik menerima berita kematiannya sendiri.
“Saya terkejut dan tertekan menyebabkan saya diserang lelah secara tiba-tiba. Siapa yang tidak terkejut apabila menerima berita kematian diri sendiri! Bayangkan saya menerima panggilan telefon dari seluruh negara yang bertanyakan tentang kematian diri sendiri.
“Sebaliknya mereka semua terkejut apabila saya yang menjawab panggilan telefon tersebut. Sudahlah badan baru sahaja hendak pulih daripada pendarahan usus, saya pula perlu menenangkan semua keluarga, peminat dan rakan-rakan yang cukup terkejut dengan berita kematian berkenaan,” katanya penuh kesal.
Kini, Hazami disahkan oleh doktor telah pulih sepenuhnya daripada pendarahan usus besar. Sewaktu Kosmo! menziarah Hazami di kediaman ibunya pada Jumaat lalu, beliau kelihatan masih lemah dan tubuh badannya semakin mengecil.
Bagaimanapun, Hazami semakin menunjukkan perubahan positif dan sudah boleh bergelak tawa saat ditemu bual. Beliau tidak pernah lelah menceritakan pengalaman pertamanya dikejarkan ke hospital kepada setiap tetamu yang mengunjunginya.
Namun, sesekali matanya berkaca dan ceritanya terhenti. Pandangannya dilemparkan ke bawah dan badannya mula berpeluh. Katanya, setiap kali menceritakan detik cemas antara hidup dan mati itu, memorinya membawa dia kembali kepada kejadian tersebut yang membuatnya menjadi takut.
“Memang diakui, saya takut. Siapa yang tidak takut apabila melihat diri sendiri terbaring di atas katil yang dibanjiri dengan darah sendiri. Waktu itu saya tidak dapat melihat keadaan diri kerana badan berselirat dengan wayar.
“Perkara yang lebih membuat saya menjadi takut selepas melihat pengurus, Azsuad mengalirkan air mata. Menerusi pandangannya, saya sedar keadaan diri agak kritikal dan menyangka inilah pengakhiran hidup seorang bernama Hazami.
“Dalam hati, saya tidak henti berdoa agar Allah panjangkan usia kerana banyak lagi perkara yang ingin dilakukan dalam kehidupan ini. Selebihnya, saya berserah dan reda pada ketentuan Allah. Alhamdulillah, hari ini saya disahkan telah sembuh sepenuhnya dan hanya perlu membuat rawatan susulan sahaja,” tuturnya yang terpaksa menerima enam beg darah kerana kehilangan darah akibat pendarahan usus besar yang dialaminya.
Luah penyanyi lagu Mungkir Bahagia itu lagi, beliau juga bebas daripada kanser usus selepas doktor membuang dua sel yang mungkin menyebabkan penyakit tersebut menyerangnya.
“Setakat ini saya tiada kanser. Memang benar pada peringkat awal, doktor menyangka ia penyakit kanser tetapi sebenarnya hanya pendarahan usus sahaja. Doktor juga telah membuang sel yang mungkin menyebabkan penyakit kanser di dalam usus.
“Apa yang berlaku kepada saya segera mengingatkan kepada arwah bapa yang juga meninggal dunia kerana pendarahan usus. Cuma yang beza, arwah bapa lewat ke hospital,” ujarnya sambil melemparkan pandangan ke luar rumah.
Obses mahu kurus
Menceritakan bagaimana penyakit tersebut boleh hadir dalam hidupnya, tanpa berselindung Hazami memberitahu, semuanya bermula kira-kira 10 tahun lalu. Bergelar seorang penyanyi yang dipuja peminat, Hazami larut dalam kehidupan seorang bintang popular.
Segala apa yang dilakukan harus setaraf bintang. Bukan hanya cara kehidupan, teman sekeliling tetapi juga penampilan diri.
Pada awal kemunculan beliau dalam persada seni, Hazami yang berketinggian 157 sentimeter memiliki berat badan sebanyak 78 kilogram (kg).
Disebabkan tidak berpuas hati dengan penampilan di kaca televisyen menyebabkan beliau nekad untuk kurus. Tanpa sedar selama 10 tahun, Hazami telah merosakkan diri sendiri dengan diet yang tidak seimbang demi imej seorang bintang.
“Saya mengaku seorang yang terlalu menjaga imej. Disebabkan tidak begitu tinggi, berat badan yang ideal adalah 56kg. Jadi, saya nekad untuk kurus dan dalam tempoh itu memang dapat berat badan yang diidamkan.
“Sikap obses menyebabkan saya mahu lebih kurus dan meletakkan sasaran berat pada 50kg. Hasilnya, saya dikejarkan ke hospital kerana pendarahan usus,” tuturnya.
Tambah Hazami, selama ini beliau mengamalkan diet yang salah iaitu mengambil makanan satu hari sekali pada waktu tengah hari sahaja. Selain itu, beliau juga gemar meminum kopi pekat setiap hari.
“Setiap hari saya hanya makan pada waktu tengah hari sahaja. Saya akan makan dua pinggan nasi dan tidak boleh tinggalkan amalan meminum kopi pekat. Diakui, memang berjaya kurus tetapi diet itu salah kerana sepatutnya saya harus mengambil sarapan dan makan malam selain bersenam.
“Saya menyeru kepada orang ramai di luar sana janganlah melakukan kesalahan yang sama. Walaupun mahu penampilan yang menarik tetapi kesihatan perlu dijaga. Paling penting amalkan diet yang sihat. Apabila sakit, saya tidak lagi mementingkan imej, asalkan tubuh kembali sihat sudah memadai,” nasihatnya yang begitu terkesan dengan impak penyakit yang dialami.
Hikmah
Pengalaman sakit dan bertarung nyawa telah menyedarkan Hazami tentang banyak perkara. Antaranya, kehidupan di dunia bukanlah tentang dirinya sahaja tetapi juga orang sekeliling yang menyayangi beliau.
“Alhamdulillah, apabila sakit baru sedar yang kewujudan saya memberi impak kepada ramai orang. Selama ini saya sangka akan mengharungi kesusahan seorang diri tetapi sangkaan itu meleset.
“Begitu ramai orang yang menyayangi diri saya lebih daripada seorang penyanyi bernama Hazami. Bagi mereka saya adalah saudara, sahabat, guru, penghibur dan anak. Sokongan yang diberikan menyebabkan saya sebak dan tidak tahu bagaimana hendak membalasnya,” katanya sambil tersenyum.
Selain itu, pengalaman pertama kali dikejarkan ke hospital sepanjang 40 tahun bernafas menyedarkan beliau bahawa kehidupan di dunia hanya sementara. Nyawa seorang manusia boleh diambil pada bila-bila masa tidak kira pada waktu sihat atau sakit.
“Saya tidak pernah sakit dan tidak pernah masuk hospital. Sekali sakit memang teruk dan terus menyedarkan bahawa saya hanyalah manusia biasa. Bukannya adi wira yang boleh hidup tanpa sakit.
“Maksudnya, saya tidak boleh menganggap diri sempurna. Walaupun sibuk menjaga pesona seorang bintang, ada masanya saya tetap akan sakit. Selain itu, sakit ini juga mendekatkan diri saya dengan Allah sebab bila-bila masa boleh pergi (meninggal dunia).
“Sakit ini membuatkan saya tertanya-tanya, sudah cukupkah amalan dan pahala semasa hayat di dunia? Apabila Allah memanjangkan usia, saya berjanji akan membantu orang lain. Jika mereka memerlukan khidmat saya untuk apa sahaja kerja amal, silakan. Gunakanlah saya untuk kerja yang boleh membawa kebaikan,” tuturnya panjang lebar.
Bercakap tentang perancangan masa depannya, kata Hazami yang bakal muncul dengan album kelapan. Bagaimanapun dia memerlukan rehat selama empat bulan sebelum kembali aktif seperti biasa.
Ironinya lagu yang dipilih sebagai single adalah Ke Hujung Nyawa yang kebetulan berkaitan dengan kejadian yang berlaku kepadanya.
“Secara kebetulan lagu yang dipromosikan selepas ini berjudul Ke Hujung Nyawa. Saya anggap ia sebagai kebetulan dengan apa yang berlaku kepada saya.
“Cuma diharapkan peminat menanti kemunculan Hazami yang dilahirkan semula. Mungkin akan mengambil masa tetapi dengan apa yang berlaku, saya harus memastikan kesihatan berada di tahap terbaik sebelum kembali beraksi di atas pentas,” ujarnya menutup bicara.