GANDINGAN Sam (kiri) dan Zizan disifatkan cukup serasi oleh Ghaz Abu Bakar, selaku pengarah Polis Evo.
Demi menghasilkan karya yang terbaik, dua pelakon filem Polis Evo, Shaheizy Sam dan Zizan Razak sanggup mengambil risiko dan berusaha keras untuk kepuasan penonton. Sam misalnya, tampil dengan badan sasa, cukup berbeza dengan penampilannya dalam mana-mana filem sebelum ini.
Memegang watak seorang anggota polis bernama Khai, Sam sanggup menyahut cabaran Ghaz Abu Bakar selaku pengarah untuk mendapatkan badan yang sasa hanya dalam tempoh lima bulan bermula April sehingga September lalu. Selain bersenam, Sam juga terpaksa menjaga pemakanannya demi mendapatkan otot-otot yang terlihat seksi di layar perak.
“Saya memang bekerja kuat untuk filem Polis Evo. Selain harapan tinggi penonton, saya juga cuba menyerlahkan bahawa polis merupakan individu yang layak diangkat sebagai hero.
“Sebab itu saya melakukan senaman di gim dan menjaga pemakanan untuk mendapatkan badan yang sasa. Dalam tempoh lima bulan bermula April sehingga September tahun lepas, saya berjaya mendapatkan bentuk badan yang diinginkan. Memang masanya agak singkat tetapi saya berjaya lakukannya sebelum penggambaran bermula sekitar bulan September tahun lalu,” ujar Sam.
Dalam pada itu, Sam juga diminta mengulas mengenai tubuh badannya yang dieksploitasi sebagai pelaris dalam trailer filem tersebut.
“Trailer itu disunting oleh pihak produksi, mereka lebih arif tentang babak mana yang menarik perhatian penonton. Jika mereka rasa babak yang menyerlahkan tubuh badan dilihat sebagai pelaris, saya tidak kisah dan okey sahaja,” kata Sam.
Jika Sam terpaksa membina badan, lain pula cabaran yang dihadapi pelawak dan pelakon popular Zizan Razak. Turut memegang watak sebagai seorang anggota polis bernama Sani, Zizan tidak boleh melupakan babak yang menyebabkan dia hampir lemas.
Dalam satu penggambaran babak yang dilakukan di sebuah muara sungai di Terengganu, Zizan terpaksa berendam di dalam air dari pagi sehingga petang. Akibat memakai uniform tempur yang lengkap bersenjata, Zizan tidak dapat mengawal arus dan hampir dihanyutkan ke laut.
“Bagi saya filem ini memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi. Ketika itu, berat pakaian itu sahaja telah menyebabkan saya hampir tenggelam.
“Apabila penat bercampur beban pakaian di dalam air, saya nyaris dibawa arus. Walhal, babak itu cukup mudah. Saya sepatutnya keluar dari laut sambil memegang senjata tetapi selagi pengarah tidak berpuas hati terpaksalah saya mengulang lakonan tersebut dari pagi sehingga ke petang,” tutur Zizan.
Bukan itu sahaja, Zizan juga mempunyai masalah untuk mengalirkan air mata dalam filem aksi itu. Katanya, Sam merupakan orang yang paling banyak membantunya untuk memberi penghayatan yang baik.
“Jika watak komedi, memang mudah untuk dilakonkan tetapi apabila diminta menangis, pening kepala dibuatnya. Nasib ada Sam, teknik yang digunakan berjaya membuatkan saya menangis secara semula jadi,” luah Zizan.
Sementara itu, sebagai pengarah Ghaz menyifatkan filem berkenaan antara karya aksi terbaik yang pernah dihasilkannya. Kali kedua mengarahkan filem aksi selepas Tokan, Ghaz menafikan karyanya mempunyai persamaan dengan filem bercorak kepolisan sebelum ini iaitu Romeo Kota lakonan Aaron Aziz dan Nabil Ahmad.
“Saya tidak menafikan dua filem berkenaan ada persamaan, namun rencahnya agak berbeza. Apa yang boleh saya katakan filem tersebut lebih kepada karakter dan humor, manakala Polis Evo menampilkan 80 peratus babak aksi,” ujar Ghaz.
Tambah Ghaz, filem yang menelan kos sebanyak RM2.4 juta itu pernah berdepan penundaan kerana skripnya telah diolah beberapa kali sebelum penggambaran bermula.
“Skrip yang ditulis perlu menunggu lampu hijau daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kami juga harus melakukan pelbagai persediaan dari segi keselamatan kerana banyak babak aksi yang agak bahaya.
“Walaupun hanya sebuah filem, pihak kami telah dipantau supaya dialog dan lakonan dalam Polis Evo tidak bercanggah dengan etika PDRM,” kata Ghaz.
Filem yang turut dibintangi oleh Nora Danish, Allahyarham Harun Salim Bachik, Wan Hanafi Su, Ayie Hushairi, Pablo Amirul, Amerul Affendi dan Eyka Farhana itu bakal menemui penonton di pawagam bermula 17 September depan. Filem berkenaan turut diperkemaskan dengan sebuah lagu tema berjudul Evo nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne.