RM855 untuk bertemu Afgan


Afgan tidak meletakkan dirinya sebaris dengan penyanyi senior Indonesia lain hanya kerana menjual tiket konsert pada kadar harga yang tinggi.

PENYANYI dari Indonesia, Afgan tidak meletakkan dirinya setaraf dengan penyanyi-penyanyi senior senegaranya walaupun harga tiket bagi konsert Suara Hati Afgan yang bakal diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 18 September depan dijual pada kadar yang agak mahal.

Afgan atau nama lengkapnya, Afgansyah Reza, 26, berkata, harga yang dibayar oleh peminat sebanyak RM855 itu dianggap berbaloi memandangkan ia termasuk dalam pakej beramah mesra selepas konsert tersebut diadakan.

“Harga tiket yang mahal tidak bermaksud saya sudah setaraf dengan penyanyi hebat Indonesia yang lain. Bahkan, saya masih perlu banyak belajar tentang selok-belok dunia nyanyian.

“Cuma, melalui tiket tersebut, peminat boleh bertemu dengan saya secara dekat dalam sesi ramah mesra yang akan diadakan selepas tamat konsert.

“Tambahan pula, saya yakin persembahan yang diadakan bakal memberi kepuasan kepada penonton,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar konsert tersebut di E&O Residences, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kongsi Afgan, harga tiket yang dijual di Malaysia sama dengan tiket konsert sulungnya yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada bulan Februari lalu.



“Jika dilihat pada tukaran mata wang, harga tiket yang dijual sewaktu konsert di Jakarta lebih kurang sama dengan di Malaysia. Alhamdulillah, kesemua tiket habis dijual,” katanya lagi.

Berbicara tentang penganjuran konsertnya kelak, Afgan berkata, banyak elemen-elemen moden dan segar bakal diselitkan sepanjang persembahan.

Selain menghiburkan peminat dengan rangkaian 23 buah lagu, Afgan turut menampilkan rekaan visual menarik, sesuai dengan tiga segmen yang bakal dipersembahkan.

“Saya akan membahagikan konsert tersebut kepada tiga segmen. Ketiga-tiga segmen berkenaan merupakan rangkuman cerita yang menggambarkan tentang kehidupan saya sebagai penyanyi.

“Dalam pada itu, tiga segmen yang ditampilkan turut ditemani dengan paparan visual yang sangat unik dan menarik,” katanya lagi.

Antara kejutan lain yang dibawakan oleh Afgan termasuklah mengundang rakan baiknya, Datuk Rossa untuk berduet bersamanya. Afgan tidak ketinggalan menjemput DJ Fuzz bagi mengadun semula beberapa buah lagunya untuk dinyanyikan pada konsert tersebut.

Album baharu

Berbicara mengenai kariernya, penyanyi itu kini sedang sibuk merakamkan album baharu selain terlibat sebagai mentor dan juri menerusi program realiti X Factor Indonesia.

“Single pertama bagi album tersebut, Knock Me Out sudah mula dipasarkan. Lagu itu ditulis oleh penyanyi dari Singapura, Taufik Batisah. Pada masa yang sama, saya juga masih terlibat dalam program realiti X Factor Indonesia yang dijangka selesai dua hari sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.

“Saya akui, memang agak singkat tempoh waktunya, namun insya-Allah, semua akan berjalan lancar,” katanya yang bakal membuat latihan konsert secara penuh bermula September depan.

Tiket konsert Suara Hati Afgan berharga RM133 hingga RM855 boleh dibeli secara online menerusi laman web www.myticket.asia.

Previous Post Next Post