
AKSI ‘mikrofon terbang’ Ziana berlaku sewaktu dia membuat persembahan pada malam penutup KLFW 2015, Ahad lalu.
KELINCAHANNYA di atas pentas tidak perlu dipertikaikan. Sepanjang bergelar anak seni, penyanyi popular, Ziana Zain sememangnya sangat bertenaga dan aktif melakukan persembahan.
Gara-gara terlebih aktif di atas pentas, Ziana mengharungi detik mencemaskan apabila mikrofon yang dipegangnya terpelanting ketika melakukan persembahan pada majlis penutup Kuala Lumpur Fashion Week 2015 (KLFW2015) hujung minggu lalu.
Video berdurasi selama 15 saat itu pantas menjadi viral dalam kalangan peminat yang menyifatkan situasi tersebut adalah sesuatu yang melucukan. Tambahan pula, gelagat pelantun lagu Madah Berhelah itu saat mikrofonnya terbang mendapat pelbagai komen positif.
Mengulas insiden berkenaan, Ziana, 47, menyifatkan perkara itu adalah episod paling melucukan yang pernah terjadi dalam hidupnya selama 25 tahun bergelar artis.
Artis Meletop!: Berkenaan kejadian ‘mikrofon terbang’ yang viral di laman sosial sekarang, apa komen Ziana mengenai insiden itu?
ZIANA ZAIN: Insiden tersebut berlaku tanpa sengaja dan tidak dijangka sama sekali.
Mungkin saya merupakan artis pertama di negara ini yang mengalami nasib sebegini rupa (ketawa). Walaupun video tersebut menjadi viral, sedikit pun saya tidak rasa marah atau malu. Sebabnya, untuk apa saya mahu malu dan marah? Perkara terjadi tanpa sengaja dan bukannya saya buat sesuatu yang jahat.
Apakah punca berlakunya insiden tersebut?
Sebelum membuat persembahan pada hari itu, saya ada memakai losyen tangan kerana duduk dalam tempat berhawa dingin akan membuatkan tangan cepat berasa kering. Jadi, saya rasa ia adalah salah satu sebab kepada insiden itu. Apabila tangan licin, jadi dengan mudah mikrofon tersebut terpelanting ke bawah.
Banyak peminat memuji sikap profesional anda menangani perkara tersebut biarpun ia sedikit menimbulkan perasaan malu. Apa yang boleh anda katakan?
Ada yang memberikan bermacam-macam komen mengenai perkara itu. Kebanyakannya menyatakan rasa lucu dan terhibur dengan gelagat saya dalam video tersebut. Apa pun yang peminat komen, saya tidak marah mereka. Sebab macam saya katakan, perkara tersebut terjadi tanpa sengaja dan di luar kawalan saya. Perkara sebegini bukannya tidak pernah berlaku.
Selalu juga artis antarabangsa yang mengalami nasib serupa seperti Beyonce dan Madonna yang pernah terjatuh di atas pentas ketika melakukan persembahan.
Saya tahu, peminat sendiri cukup memahami dengan situasi sebegini. Seperti contoh, saya sangat kagum dengan penonton yang hadir dalam majlis tersebut. Mereka sanggup bangun dan bertepuk tangan untuk saya. Kalau ada yang cakap saya profesional, penonton di sana juga bersikap profesional.
Selaku artis lama dalam industri, apakah perkara yang perlu dilakukan dengan situasi sebegitu?
Bagi saya, tiada apa yang perlu dilakukan melainkan bersikap profesional. Sebab itu saya turun ke bawah tempat penonton dan mengambil mikrofon tersebut. Itu perkara yang sepatutnya dilakukan jika kita benar-benar bersikap profesional sebab perkara tersebut datangnya daripada diri sendiri juga. Bukannya lari dan meninggalkan majlis begitu sahaja.
Adakah insiden itu pertama kali berlaku dalam hidup anda sepanjang bergelar artis?
Ya, memang betul. Selama 25 tahun bergelar artis, inilah kali pertama kejadian sebegini berlaku dalam hidup saya.
Selepas insiden itu, pernahkah anda mula memikirkan jalan untuk lebih berhati-hati selepas ini?
Sebelum perkara itu terjadi pun memang saya sentiasa berhati-hati dalam apa jua perkara yang saya lakukan saban hari. Tidak kira ketika membuat persembahan, makan, tidur dan memandu. Namun, seperti yang saya katakan tadi, kalau perkara sudah mahu jadi, siapa saya untuk menghalang ia daripada terjadi. Kalau bercakap soal lebih berhati-hati, ya selepas ini saya akan menggandakan sikap berwaspada dalam apa jua rutin yang saya lakukan.
Mikrofon yang digunakan tersebut adakah ia milik peribadi atau kepunyaan penganjur?
Mikrofon tersebut milik penganjur. Sebab itu saya ambil juga mikrofon tersebut selepas terjatuh. Hak orang perlu dijaga dengan baik (ketawa).
Baiklah, beralih kepada perkembangan terkini, apa yang sedang anda lakukan sekarang?
Seperti biasa, saya sekarang banyak menghadiri undangan persembahan nyanyian dalam majlis-majlis tertentu. Selain itu, dalam masa terdekat saya akan muncul dengan beberapa material terbaharu antaranya menjadi duta kepada sebuah produk. Buat masa sekarang saya tidak boleh umumkan apa-apa mengenai perkara itu.
Bagaimana dengan bidang nyanyian atau material single terbaharu?
Buat masa sekarang masih belum ada single terbaharu daripada saya. Memang agak lama sudah tidak keluar dengan lagu baharu dan perancangan itu memang sentiasa ada.
Cuma, sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Perkara belum terjadi, saya tidak mahu bercakap lebih. Kalau ada rezeki, tunggulah masanya nanti.