Jenazah Allahyarham Karim Latiff Selamat Dikebumikan



Karim Latiff meninggal dunia pada usia 78 tahun akibat kanser.

Jenazah Allahyarham Karim Latiff selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Batu Muda, Gombak selepas solat Asar pada Selasa.

Karim atau nama sebenarnya Abdul Karim Abdul Latiff, 78, terdahulu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 11.30 pagi akibat kanser paru-paru.

Menantu Allahyarham, Norzawati Zainal, 41, ketika ditemui berkata, bapa mertuanya itu dimasukkan ke HKL pada 8 Ogos lalu selepas keadaan kesihatannya merosot dan mengalami jangkitan pada paru-paru.


"Arwah semakin uzur sejak Aidilfitri lalu selepas mengalami jangkitan pada paru-parunya," katanya.

Berasal dari Rembau, Negeri Sembilan, Karim meninggalkan isteri, Che Asma Hussain dan lima anak iaitu Izuddin Nizam, Izmir, Nur Iznita, Izhar dan Izralfiddin.

Seangkatan dengan Seniman Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Karim pernah popular menerusi filem seperti Ahmad Albab, Anak Bapak, Masam-Masam Manis dan Keluarga 69.

Allahyarham juga pernah bertugas sebagai pengalih suara di RTM sebelum mengambil keputusan berehat selepas mengalami masalah penglihatan sejak 10 tahun lalu.

Previous Post Next Post